Utama > Haji dan Umrah > Panduan Haji dan Umrah
Panduan Haji dan Umrah
Syarat adalah perkara yang paling penting dalam pelaksanaan sesuatu ibadah. Sekiranya seseorang itu tidak cukup syarat, umpamanya dia seorang kafir atau seorang Islam yang telah melakukan perbuatan-perbuatan yang menepati ciri-ciri orang murtad, maka ibadah umrahnya bukan sahaja tidak wajib dikerjakan, malahan tidak sah jika dilakukan. Berikut ialah syarat-syarat pelaksanaan ibadah umrah:
- Berakal – Tidak wajib kepada orang tidak berakal (gila) dan tidak sah jika dilakukan.
- Baligh – Tidak wajib bagi kanak-kanak. Sah jika dilakukan tetapi tidak mengugurkan kewajipannya mengerjakan umrah setelah dewasa kelak.
- Berkuasa – Berkuasa dengan menunaikannya sendiri ataupun berkuasa mengerjakannya dengan pertolongan orang lain (badal umrah).
- Islam – Tidak wajib dan tidak sah bagi orang kafir dan juga orang murtad.
- Merdeka – Tidak wajib bagi hamba abdi tetapi sah dan berpahala jika dapat dilakukan.
Takrif Berkuasa
Berkuasa mengerjakan sendiri – Seseorang itu dikira berkuasa mengerjakan umrah jika mempunyai perkara-perkara berikut:
- bekalan untuk yang pergi dan juga untuk keluarga yang tinggal;
- kenderaan;
- aman perjalanan;
- sihat badan dan akal; dan
- berkesempatan (mempunyai masa yang cukup) untuk mengerjakan umrah.
Berkuasa bagi wanita – Bagi kaum wanita, mereka perlu mempunyai tiga lagi syarat iaitu:
- Mendapat izin suami atau wali;
- Tidak berada dalam iddah(walaupun suami telah memberi keizinan atau berwasiat membenarkan pergi);dan
Ditemani oleh:
- Suami atau wali (atau jika tiada);
- Mahram iaitu seorang lelaki yang haram bernikah dengannya (atau jika tiada);
- Perempuan thiqat (dua orang perempuan yang boleh dipercayai, boleh membantu dalam urusan fizikal dan pelaksanaan ibadah. Walau bagaimanapun khidmat perempuan thiqat ini hanya boleh digunakan bagi umrah fardhu sahaja tetapi tidak bagi umrah sunat.
Terdapat lima perkara dalam Rukun Umrah yang mesti dilaksanakan oleh jemaah. Pelaksanaan Rukun Umrah tidak boleh dibuat dengan mewakilkannya kepada orang lain. Sekiranya salah satu daripada Rukun Umrah ditinggalkan secara sengaja atau tidak sengaja, ibadah umrah tersebut adalah tidak sah. Lima Rukun Umrah ialah:
- Niat
- Tawaf
- Sai’e
- Tahallul
- Tertib
Niat
Setiap ibadah hendaklah dimulai dengan niat. Jika seseorang itu tidak berniat sama ada sengaja atau terlupa umrahnya menjadi tidak sah. Berniat umrah boleh dilakukan pada bila-bila masa. Berikut ialah lafaz niat umrah:
Ertinya : “Sahaja aku berniat umrah dan berihram aku untuk melaksanakannya kerana Allah Ta’ala.”
Tawaf
Tawaf adalah salah satu rukun yang sangat penting dalam ibadat umrah. Sekiranya ia tidak dilaksanakan mengikut syarat-syaratnya, ia menjadi tidak sah dan justeru itu Sai’e, iaitu rukun yang berikutnya juga akan menjadi tidak sah.
Ertinya : “Sahaja aku berniat umrah dan berihram aku untuk melaksanakannya kerana Allah Ta’ala.”
Syarat- syarat sah tawaf:
- Berniat mengelilingi Ka’abah semata-mata untuk menunaikan tawaf kerana Allah S.W.T. Lafaz niat Tawaf Umrah :
Ertinya: “Aku berniat Tawaf Umrah di Ka’abah ini tujuh pusingan kerana Allah Taala.” - Tawaf hendaklah dilakukan di luar Ka’abah tetapi di dalam Masjidil Haram. Tawaf boleh dilakukan di bahagian atas Masjidil Haram tetapi mesti dipastikan bahu sentiasa mengiringi Ka’abah.
- Tidak boleh menyentuh mana-mana bahagian Ka’abah termasuk Syazarwan (bingkai Ka’abah) semasa tawaf.
- Tidak boleh menggunakan laluan di bawah pancur emas antara Hijr Ismail dengan Ka’abah (kerana Hijr Ismail juga dikira sebahagian daripada Ka’abah).
- Laluan tawaf hendaklah bersih daripada najis.
- Tawaf hendaklah dimulai dari belakang garisan Hijr al-aswad dan diakhiri dengan melangkah garisan yang sama.
- Tawaf hendaklah dilakukan sebanyak tujuh kali pusingan dengan sempurna dan yakin.
- Mesti mengirikan Ka’abah sepanjang masa tawaf. Beri perhatian khusus apabila tiba di penjuru-penjuru Ka’abah.
- Mesti suci daripada hadas kecil (yakni berwuduk).
- Mesti suci daripada hadas besar.
- Badan dan pakaian mesti suci daripada najis.( mendukung anak lelaki yang belum berkhatan adalah diaggap membawa najis yang menyebabkan tawaf menjadi tidak sah).
- Mesti menutup aurat.
Sai’e
Sai’e adalah juga satu rukun yang penting dan perlu dilaksanakan dengan sempurna. Walaupun begitu sahnya Sai’e bergantung kepada sahnya tawaf. Jika kerana sesuatu sebab, tawaf tidak sah maka Sai’e yang walaupun dibuat dengan sempurna akan turut menjadi tidak sah. Syarat-syarat sah Sai’e:
- Hendaklah dilakukan selepas tawaf.
- Tujuan hendaklah semata-mata untuk Sai’e.
- Sai’e hendaklah dimulai dari Bukit Safa dan tamat di Bukit Marwah.
- Sai’e dilakukan genap dan sempurna bilangan sebanyak tujuh kali. Perjalanan balik dari Marwah ke Safa dikira sekali pula.
- Jarak perjalanan Safa ke Marwah dikira dari kaki bukit ke kaki bukit. Tetapi sekurang-kurangnya ialah jarak yang ditentukan untuk mereka yang menggunakan kereta sorong.
- Perjalanan dari Safa ke Marwah dan sebaliknya tidak terputus yakni seseorang itu tidak melencong keluar melalui satu pintu dan masuk semula menerusi satu pintu lain.
Tahallul
Bertahallul maknanya melepaskan diri dari larangan ihram menurut cara yang ditetapkan untuk umrah. Bagi umrah seseorang itu boleh bertahallul setelah selesai melaksanakan dengan sempurna semua kerja-kerja rukun yang lain iaitu niat, tawaf dan Sai’e.
Syarat Tahallul
Menggunakan sekurang-kurangnya tiga helai rambut (bukan bulu) dengan cara bergunting atau dengan cara–cara lain. Tetapi adalah afdhal bagi lelaki mencukur kepalanya. Bagi orang yang kepalanya tidak berambut memadai jika dilalukan pisau di atas kepalanya.
Perkara-perkara yang berkaitan dengan jemaah wanita:
- Perempuan yang berambut panjang boleh memotong mana-mana bahagian rambutnya untuk tahallul asalkan tidak kurang dari tiga helai.
- uami boleh menggunting rambut isterinya sebelum menggunting rambutnya sendiri selepas kedua-duanya selesai Sai’e umrah. Tetapi sebaik-baiknya suami menggunting rambutnya dulu.
- Perempuan haid boleh bertahallul dan rambut yang dipotong dimasukkan saja ke dalam bekas yang disediakan.
Tertib Para jemaah hendaklah melaksanakan segala Rukun Umrah satu persatu, mengikut tertibnya (aturan).
Wajib Umrah Wajib Umrah ialah perkara-perkara yang mesti dilaksanakan oleh jemaah umrah, sekiranya ditinggalkan, ibadah umrah tersebut masih sah tetapi dikenakan bayaran Dam. Pengabaian terhadap perkara-perkara Wajib Umrah dengan sengaja adalah berdosa dan dikenakan Dam. Jika ditinggalkan dalam keadaan tidak sengaja, hukumnya tidak berdosa tetapi masih dikenakan Dam. Berikut ialah perkara-perkara Wajib Umrah:
- (1) Berniat umrah di Miqat (sempadan) yang ditetapkan ataupun sebelumnya.
- (2) Menjaga larangan ihram.
(1) Berniat Umrah di Miqat:
Miqat Makani (sempadan tempat) adalah tempat yang ditetapkan bagi seseorang yang hendak mengerjakan umrah melafazkan niatnya. Niat boleh dilafazkan pada mana-mana tempat sebelum sampai ke Miqat ini. Tetapi jika sudah melampaui Miqat ini, niat umrah masih boleh dilafazkan tetapi Dam berupa seekor kambing dikenakan.
Miqat bagi jemaah umrah dari Asia Tenggara (dengan kapal terbang):
Qarnul Manaazil – Lebih kurang 94km dari Makkah atau lebih kurang setengah jam perjalanan sebelum kapal terbang mendarat di Jeddah. Miqat ini adalah untuk jemaah yang terus ke Makkah setelah mendarat di Jeddah.
Bir Ali – (disebut juga sebagai Zulhulaifah) – Lebih kurang 10km dari Bandar Madinah atau lebih kurang 450 km dari Makkah. Miqat ini adalah untuk jemaah yang terus ke Madinah dan dari sana berniat ihram sebelum bergerak menuju Mekah. Ia juga menjadi Miqat untuk penduduk bandar Madinah itu sendiri.
Lain-lain miqat (dengan kapal terbang) ialah:
Al-Juhfah – Lebih kurang 187km dari Makkah . Ia menjadi miqat untuk penduduk Syam (Syria), Mesir dan negara-negara lain dari arah yang sama.
Zaatu ‘irqin – Lebih kurang 94 km dari Makkah. Miqat bagi penduduk Iraq.
(2) Larangan Ihram:
Mulai dari saat melafazkan niat hinggalah sempurna semua Rukun Umrah, jemaah hendaklah berwaspada supaya tidak melanggar larangan ihram seperti berikut:
Perkara-Perkara Larangan Ihram
- Mengugurkan rambut atau bulu di badan (sama ada dengan cara menggunting, mencukur,menggosok, mencabut, mengesat, menganyah,mengelap dan sebagainya)
- Memakai minyak rambut pada kepala (dan janggut, bagi lelaki)
- Menggunakan bau-bauan pada badan, pakaian,makanan atau minuman
- Memakai sarung tangan
- Mengerat kuku
- Memburu atau membunuh binatang yang halal dimakan sama ada di Tanah Haram atau di Tanah Halal
- Menebang, memotong, mencabut atau merosakkan pokok atau tumbuhan di Tanah Haram (sahaja)
- Berakad nikah sama ada berijab atau qabul untuk diri sendiri atau bertindak bagi pihak orang lain
- Bercumbuan
- Melakukan persetubuhan
Larangan Khusus Kepada Jemaah Lelaki
- memakai pakaian yang bersarung (sama ada berjahit atau pun tidak) yang disarungkan ke badan termasuk seluar dalam, baju dalam, sarung kaki, songkok dan sebagainya
- menutup muka menutup kepala atau sebahagian daripadanya
- memakai kasut yang menutup tumit dan jari kaki.
Larangan Ihram Khusus Kepada Jemaah Wanita
- menutup muka
Ihram Bagi Kanak-Kanak
- Kanak-kanak yang sudah baligh yang mengerjakan umrah bertanggungjawab membayar Damnya sendiri jika dia melanggar larangan ihram.
- Bagi kanak-kanak yang belum baligh tetapi sudah mumayyiz (dapat membezakan antara bersih dan kotor) menjadi tanggungjawab ibubapa atau penjaganya membayar Dam kerana melanggar larangan ihram.
- Kanak-kanak yang belum mumayyiz tidak dikenakan apa-apa Dam bagi kesalahan melanggar larangan ihram.
Bagaimanakah hendak memilih agensi pengelola umrah?
Hasrat murni jemaah menunaikan ibadah umrah dapat ditunaikan sekiranya jemaah mengambil langkah-langkah berikut:
- Memilih pengelola umrah yang diluluskan oleh Majlis Kawal Selia Umrah (MKSU) seperti di senarai.
- Membuat kajian perbandingan harga pakej-pakej yang ditawarkan. Kebiasaannya harga berubah mengikut musim dan jenis pakej yang dipilih.
- Menyelidik latar belakang agensi; lesen dan permit untuk ‘outbound’ yang sah, pengalaman agensi mengelolakan umrah dan urusan visa yang dikendalikan oleh agensi. Sama ada agensi menguruskan sendiri atau menggunakan khidmat orang tengah.
- Mengambil tahu syarikat penerbangan, jenis perjalanan sama ada terus ke Jeddah atau ke Madinah atau jemaah perlu transit dan bermalam di negara lain.
- Mengambil tahu tentang hotel penginapan yang disediakan oleh agensi.
- Bagaimanakah bayaran dibuat. Sama ada kepada akaun syarikat atau kepada akaun persendirian pengurus agensi atau kepada akaun agen-agen yang dilantik oleh agensi. Pastikan jemaah menyimpan resit pembayaran dan dokumen-dokumen yang dikeluarkan oleh agensi.
- Adakah terdapat bayaran-bayaran tambahan.
- Adakah agensi mengenakan syarat-syarat tambahan lain yang tertakluk kepada perubahan dari semasa ke semasa.
- Adakah agensi mengadakan kelas bimbingan umrah.
- Setelah berpuas hati dengan maklumat-maklumat seperti di atas barulah jemaah boleh membuat pemilihan agensi pengelola umrah.
1. Passport antarabangsa yang sah tempoh lakunya tidak kurang dari 6 bulan dari tarikh penerbangan berserta 4 muka surat kosong.
2. 4 keping gambar berwarna berukuran 6 cm x 4 cm (zoom 80%) berlatar belakangkan warna putih. Bagi wanita wajib memakai tudung kepala (hitam atau gelap) manakala lelaki tidak digalakkan memakai songkok atau yang menutupkan kepala.
3. Kad suntikan ACYW13 atau surat pengesahan daripada doktor kerajaan atau swasta.
BAGI JEMAAH WANITA BAWAH 45 TAHUN/LELAKI BAWAH 18 TAHUN:
A) Pergi Bersama Mahram
1. Salinan sijil nikah bagi wanita yang sudah berkahwin.
(Cop pengesahan Jabatan Agama Islam dan Wisma Putra)
2. Bagi wanita yang bermahramkan bapanya – Salinan sijil lahir
(Cop Pengesahan Jabatan Pendaftaran Negara dan Wisma Putra)
3. Bagi wanita yang bermahramkan adik beradik lelaki – Salinan kad pengenalan adik-beradik lelaki tersebut dan salinan sijil lahir kedua-dua)
(Cop Pengesahan Jabatan Pendaftaran Negara dan Wisma Putra)
4. Bagi wanita yang bermahramkan anak lelaki – Salinan sijil lahir anak lelaki tersebut.
(Cop Pengesahan Jabatan Pendaftaran Negara dan Wisma Putra)
B) Mahram Bersama Bapa Tiri (Belum Berkahwin)
1. Letter of Consent daripada bapa kandung/adik beradik lelaki kandung
(Cop Pengesahan Pesuruhjaya Sumpah dan Wisma Putra)
2. Salinan kad pengenalan bapa kandung/adik beradik kandung
(Cop Pengesahan Jabatan Pendaftaran Negara dan Wisma Putra)
3. Salinan Sijil lahir anak tiri
(Cop Pengesahan Jabatan Pendaftaran Negara dan Wisma Putra)
4. Salinan surat hak jagaan anak dari mahkamah syariah
(Cop Pengesahan Wisma Putra)
5. Salinan Sijil Mati jika bapa kandung tiada/meninggal dunia,
(Cop Pengesahan Jabatan Pendaftaran Negara dan Wisma Putra)
C) Mahram Bersama Bapa Tiri (Sudah Berkahwin)
1. Letter of Consent daripada suami
(Cop Pengesahan Pesuruhjaya Sumpah dan Wisma Putra)
2. Salinan sijil nikah
(Cop Pengesahan Jabatan Agama Islam dan Wisma Putra)
3. Salinan kad pengenalan suami
(Cop Pengesahan Jabatan Pendaftaran Negara dan Wisma Putra)
4. Salinan sijil lahir anak tiri
(Cop Pengesahan Jabatan Pendaftaran Negara dan Wisma Putra)
5. Surat hak jagaan dari mahkamah syariah
(Cop Pengesahan Wisma Putra)
6. Salinan Sijil Mati jika suami tiada/meninggal dunia,
(Cop Pengesahan Jabatan Pendaftaran Negara dan Wisma Putra)
D) Mahram Bersama Bapa Saudara (Sebelah Bapa)
1. Letter of Consent daripada bapa kandung/adik beradik lelaki kandung
(Cop Pengesahan Pesuruhjaya Sumpah dan Wisma Putra)
2. Salinan sijil lahir anak, bapa kandung dan bapa saudara/adik beradik lelaki kandung
(Cop Pengesahan Jabatan Pendaftaran Negara dan Wisma Putra)
3. Salinan kad pengenalan bapa kandung/adik beradik lelaki kandung
(Cop Pengesahan Jabatan Pendaftaran Negara dan Wisma Putra)
4. Salinan Sijil Mati jika bapa kandung tiada/meninggal dunia
(Cop Pengesahan Jabatan Pendaftaran Negara dan Wisma Putra)
E) i) Mahram Bersama Bapa Angkat (bin dengan nama bapa angkat)
1. Salinan surat pengambilan anak angkat
(Cop Pengesahan Wisma Putra)
2. Salinan surat lahir anak angkat
(Cop Pengesahan Jabatan Pendaftaran Negara dan Wisma Putra)
ii) Mahram Bersama Bapa Angkat (bin dengan nama orang lain)
1. Salinan surat pengambilan anak angkat
(Cop Pengesahan Jabatan Pendaftaran Negara dan Wisma Putra)
2. Salinan surat lahir anak angkat
(Cop Pengesahan Jabatan Pendaftaran Negara dan Wisma Putra)
3. Salinan surat perintah mahkamah
(Cop Pengesahan Jabatan Pendaftaran Negara dan Wisma Putra)
F) Mahram Bersama Datuk Sebelah Bapa
1. Salinan sijil lahir cucu
(Cop Pengesahan Jabatan Pendaftaran Negara dan Wisma Putra)
2. Salinan sijil lahir bapa kandung
(Cop Pengesahan Jabatan Pendaftaran Negara dan Wisma Putra)
3. Letter of Consent daripada bapa kandung/adik beradik lelaki kandung
(Cop Pengesahan Pesuruhjaya Sumpah dan Wisma Putra)
4. Salinan Sijil Mati jika bapa kandung tiada/meninggal dunia
(Cop Pengesahan Jabatan Pendaftaran Negara dan Wisma Putra)
G) Bagi Muallaf yang pergi bersama suami/adik beradik lelaki kandung
1. Salinan kad/surat memeluk agama islam
(Cop Pengesahan Jabatan Agama Islam dan Wisma Putra)
2. Salinan sijil nikah/salinan sijil lahir kedua-duanya.
(Cop Pengesahan Jabatan Agama Islam/Jabatan Pendaftaran Negara dan Wisma Putra)
H) Warganegara Asing
1. Pemastautin Tetap (Permenent Residence) – kad pengenalan asal dan salinan kad pengenalan.
(Cop Pengesahan Jabatan Pendaftaran Negara dan Wisma Putra)
2. Visa Pekerja/Employment Pass – surat pengesahan majikan
(Cop Pengesahan Notary Public & Wisma Putra)
3. Visa Pelajar/Student Visa – surat pengesahan dari kolej/universiti/sekolah (Cop Pengesahan Wisma Putra)
4. Visa Keluarga/Sosial Visa – salinan sijil nikah/sijil lahir
(Cop Pengesahan Wisma Putra)
5. Pembantu rumah (Maid) majikan perlu ikut serta. Visa perlu sahlaku 6 bulan ke atas.