Soalan Lazim

Hubungi Kami

Maklum Balas

Peta Laman

Assalamualaikum

Assalamualaikum

Soalan Lazim

Soalan Berkaitan Wakaf

Wakaf ialah apa-apa harta yang ditahan hak pewakaf ke atas harta tersebut daripada sebarang urusan jualbeli, pewarisan, hibah dan wasiat disamping mengekalkan sumber fizikalnya (ain).

Sesiapa yang berniat untuk mewakafkan tanah ataupun sebarang harta, bolehlah berhubung terus dengan Majlis Agama Islam Negeri masing-masing.

Hikmah-hikmah yang terdapat dalam ibadah wakaf adalah:

  • Menzahirkan pengabdian diri kepada Allah SWT.
  • Mendekatkan diri dengan Allah.
  • Mendapat kebajikan yang berkekalan semasa hidup dan selepas pewakaf meninggal dunia.
  • Berkongsi manfaat di kalangan masyarakat Islam seperti membina masjid dan sekolah untuk menghidupkan syiar Islam dan aktiviti keilmuan.
  • Mengukuhkan perpaduan ummah.

Wakaf hendaklah dibuat secara kekal tanpa dihadkan untuk mana-mana tempoh tertentu. Bagi Wakaf khas, tujuan dan maksud Wakaf hendaklah dinyatakan dengan jelas dan tidak sah Wakaf jika tidak dinyatakan tujuan dan maksudnya. Harta yang telah diwakafkan berkuatkuasa serta-merta, tidak boleh ditarikbalik, tidak boleh diubah-ubah tujuannya dan tidak boleh tertakluk kepada syarat-syarat lain sebaliknya, kecuali melalui pelaksanaan wakaf istibdal.

Rukun-rukun wakaf terbahagi 4 perkara:

  1. Pewakaf (al-waqif)
  2. Harta yang diwakafkan (al-mawquf)
  3. Penerima manfaat Wakaf (al-mawquf ‘alaih)
  4. Pernyataan Wakaf (al-sighah)
  • Seorang yang merdeka, baligh lagi berakal, redha mewakafkan hartanya.
  • Berkelayakan untuk bersedekah harta miliknya.
  • Berkelayakan untuk bersedekah harta miliknya.
  • Harta yang diwakafkan berbentuk objek yang tertentu seperti mewakafkan sebuah rumah. mewakafkan manfaat sesuatu harta tanpa objeknya tidak sah.
  • Harta yang hendak diwakafkan hendaklah milik pewakaf yang memberi manfaat atau faedah dan boleh dipindah milik.
  • Harta yang hendak diwakafkan boleh digunakan selama-lamanya.
  • Penggunaan harta wakaf mestilah diharuskan oleh syarak.
  • Penerima khusus sama ada seorang atau lebih.
  • Penerima tidak khusus, contohnya mewakafkan kepada golongan tertentu seperti golongan fakir.

Akad ialah kata-kata yang boleh difahami atau tulisan untuk sesuatu tujuan wakaf samada wakaf am atau wakaf khas . Akad adalah wajib bagi mengesahkan wakaf.

Lafaz Akad Terbahagi Dua Bahagian

Lafaz Soreh
Lafaz yang jelas membawa maksud yang tertentu sahaja seperti “Saya mewakafkan rumah saya untuk orang-orang fakir”.

Lafaz Kinayah
Lafaz yang membawa banyak maksud seperti “Hartaku adalah sedekah kepada fakir miskin”.

Harta wakaf dapat membangunkan ekonomi ummah dengan membangunkan harta-harta Wakaf yang berada di bawah Majlis Agama Islam Negeri, contohnya seperti membangunkan tanah berikut dengan mendirikan projek komersil seperti hotel wakaf, pusat-pusat perniagaan dan juga projek sosial seperti rumah anak yatim dan pusat perlindungan.

Tidak semestinya harta wakaf dibangunkan dengan masjid, surau dan kubur sahaja. Harta wakaf boleh dikomersialkan dengan membangunkan ruang niaga, pusat perlindungan wanita, membangunkan hotel selagi ia tidakberlawanan dengan hukum syarak.

Firman Allah yang maksudnya kamu tidak sekali-kali tidak mencapai (hakikat), kebajikan dan kebaktian (yang sempurrna) sebelum kamu dermakan sebahagian daripada apa yang kamu sayangi dan sesuatu apa jua yang kamu dermakan maka sesungguhnya Allah mengetahuinya.

Mewujudkan institusi wakaf yang kemas, teratur, seragam, telus dan berkesan mengikut lunas-lunas syarak yang dapat membantu meningkatkan taraf sosio-ekonomi masyarakat Islam di Malaysia

Melalui penyaluran peruntukan kerajaan persekutuan kepada pihak Majlis Agama Islam Negeri, Jabatan Wakaf Zakat dan Haji dapat merancang, pembangunan, melaksana dan membangunkan tanah Wakaf di semua Majlis Agama Islam Negeri.

Soalan Berkaitan Zakat

Mengikut Butiran 1, Senarai Negeri Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan, hal ehwal adalah merupakan hal perkara di bawah bidang kuasa negeri. Zakat adalah perkara Hukum Syarak, oleh itu ia berada di bawah bidang kuasa Majlis Agama Islam Negeri iaitu agensi di peringkat negeri.

Tidak. Agihan Zakat adalah tanggungjawab MAIN. Sebarang permohonan hendaklah dikemukakan kepada Majlis Agama Islam Negeri (MAIN).

JAWHAR tidak menyediakan sebarang bentuk bantuan kewangan. Walau bagaimanapun, bantuan pelajaran boleh dipohon daripada MAIN di mana tuan bermastautin.

JAWHAR tidak memungut wang zakat. Zakat hendaklah dibayar kepada agen/amil yang dilantik oleh Majlis Agama Islam Negeri.

JAWHAR sebagai agensi persekutuan boleh membantu meningkatkan lagi pengurusan Zakat dengan cara :

  • Merancang dan Melaksanakan Program/Projek Pembangunan Zakat
  • Membangun dan Memperkukuh Institusi Zakat
  • Merancang dan Menyelaras Peraturan/Prosedur Pengurusan Zakat
  • Merancang, Menyelia dan Memantau Hal Ehwal Zakat
  • Merancang dan menyelaras dan Penyelidikan Hal Ehwal Zakat

JAWHAR sedang melaksanakan aktiviti dibawah Gerakan Pemantapan Baitulmal. Antaranya adalah iklan mempromosi Zakat dan dokumentari mengenai zakat.

Perkataan zakat berasal dari Bahasa Arab, antara lain bermaksud kesucian, keberkatan,
kebaikan dan perkembangan. Zakat menurut istilah syarak ialah sebahagian harta tertentu
yang telah di wajibkan oleh Allah SWT dengan syarat tertentu untuk diberikan kepada
orang-orang yang berhak menerimanya sebagaimana dinyatakan dalam terjemahan ayat
berikut :

Firman Allah SWT yang bermaksud,

“Sesungguhnya, sedekah (zakat) itu hanya untuk orang-orang fakir, orang-orang miskin, amil-amil yang menguruskan zakat, mualaf-mualaf yang dipujuk hati mereka, hamba-hamba yang ingin memerdekakan dirinya, orang-orang yang berhutang, untuk dibelanjakan pada jalan Allah dan orang-orang musafir (yang keputusan) dalam perjalanan. Ketetapan ini datangnya daripada Allah SWT dan ingatlah Allah Maha Mengetahui Lagi Maha Bijaksana”.

Surah Al-Taubah : Ayat 60

Zakat fitrah ialah zakat diri yang difardukan ke atas setiap individu muslim lelaki dan perempuan yang berkemampuan mengikut syarat yang telah ditetapkan oleh syarak.

Orang Islam adalah wajib mengeluarkan zakat fitrah untuk diri, keluarga dan tanggungannya tertakluk kepada syarat-syarat berikut :

  1. Mempunyai lebihan makanan atau harta dari keperluan diri dan tanggungannya pada malam dan hari raya Aidilfitri.
  2. Hidup dalam sebahagian dari kedua-dua bulan Romadhan dan Syawal umpamanya:
    i. Anak yang lahir sebelum matahari jatuh pada akhir Romadhan dan masih hidup selepas terbenam matahari.
    ii. Memeluk Islam sebelum terbenam matahari pada akhir bulan Romadhan dan bekekalan Islamnya dan
    iii. Seseorang yang meninggal dunia selepas terbenam matahari akhir Romadhan.
  1. Zakat Fitrah
  2. Zakat Perniagaan
  3. Zakat Pendapatan
  4. Zakat Wang Simpanan
  5. Zakat Emas Dan Perak
  6. Zakat Pertanian (Padi)
  7. Zakat Binatang Ternakan
  8. Zakat Caruman Berkanun
  9. Zakat Saham Dan Bon
  10. Zakat Hasil Galian Dan Harta Karun

Kadar zakat fitrah yang wajib dikeluarkan adalah satu gantang Baghdad iaitu lebih kurang 2.7 kg beras atau nilai yang sama dengannya. Nilai ini berdasarkan ketentuan oleh pihak-pihak berkuasa agama negeri. Kadar bayaran zakat adalah berdasarkan nilai harga beras seberat 2.7 kg.

  • Waktu Sunat – Sepanjang bulan Ramadhan
  • Waktu Wajib – Terbenam matahari akhir bulan Ramadhan sehingga terbit matahari
  • Waktu Makruh – Selepas sembahyang sunat aidilfitri sehingga terbenam matahari 1 Syawal
  • Waktu Haram – Selepas terbenam matahari 1 Syawal
  • Waktu Afdhal – Selepas terbenam matahari akhir Ramadhan sehingga sebelum sembahyang sunat hari raya Aidilfitri

Zakat perniagaan ialah zakat yang wajib dikeluarkan hasil daripada harta perniagaan sama ada yang melibatkan barangan atau perkhidmatan.

Bentuk-bentuk perniagaan ialah:

i. Perniagaan Persendirian (Tunggal)

Perniagaan ini dimiliki oleh seorang pemilik secara persendirian. Modal perniagaan adalah terdiri dari wang simpanan sendiri dan pinjaman. Sumber kewangan lain ialah sewa beli, pajakan dan kredit perdagangan. Pemilik juga berkuasa penuh ke atas perniagaannya.

ii. Perniagaan Perkongsian

Perniagaan perkongsian yang terdiri daripada lebih dari seorang yang bergabung untuk menjalankan perniagaan dengan tujuan mendapatkan keuntungan. Modal perniagaan diperolehi daripada sumbangan rakan kongsi. Keuntungan diagihkan mengikut peratusan jumlah modal yang disumbangkan masing-masing.

iii. Perniagaan Syarikat

Syarikat adalah entiti yang berdaftar di bawah Akta Syarikat 1965. Ianya adalah entiti yang berasingan dengan pemilik. Syarikat adalah terdiri dari Syarikat Sendirian Berhad dan Syarikat Awam Berhad.

iv. Koperasi

Koperasi merupakan satu bentuk organisasi perniagaan yang dibentuk oleh sekumpulan orang dengan sukarela berasaskan hak-hak yang sama demi kepentingan bersama. Modal koperasi terdiri daripada yuran dan unit-unit saham yang dimiliki oleh anggotanya.

Terdapat dua (2) kaedah pengiraaan zakat perniagaan :

Kaedah Pertama – Modal Kerja

[(Aset Semasa – Tanggungan Semasa) +/- Pelarasan] x % pemilikan Saham Muslim x 2.5%

Kaedah Kedua – Modal Berkembang

[(Ekuiti pemilik + Liabiliti Jangka Panjang – Aset Tetap – Aset Bukan Semasa)+/- Pelarasan] x % pemilikan Saham Muslim x 2.5%

Soalan Berkaitan Mal

Definisi harta dari segi bahasa:

Mal/harta dari segi bahasa ialah setiap barang yang benar-benar dimiliki dan dikawal (hiyazah) oleh seseorang, sama ada barang itu ‘ain ataupun manfaat. Contoh harta ‘ain adalah seperti emas, perak, binatang dan tumbuh-tumbuhan. Contoh harta manfaat adalah seperti menunggang, memakai dan mendiami rumah. Barang yang tidak dikawal oleh seseorang, tidak dinamakan harta dari segi bahasa. Umpamanya, burung di udara, ikan di dalam air, pokok di hutan dan galian di perut bumi.

  • Harta Pusaka
  • Wasiat
  • Sedekah
  • Derma Perseorangan
  • Wang Riba
  • Insurans
  • Luqatah
  • Barang tercicir yang dijumpai
  • Fidyah – Denda yang dikenakan ke atas orang yang meninggalkan puasa wajib atas sebab-sebab tertentu ataupun kerana sengaja melewatkan puasa ganti (qada’) bulan Ramadhan
  • Kifarah – Menurut syara’ adalah menutup/menampung dosa yang wujud hasil dari ketelanjuran melanggar sumpah(denda)
  • Hutang Lapuk – Hutang yang tidak berbayar kerana sebab-sebab tertentu seperti mati/hilang/bankrap/gila/tidak dituntut oleh pewaris
  • Hasil Sewaan – Pendapatan daripada harta yang disewakan oleh Majlis Agama Islam Negeri kepada individu/syarikat dan lain-lain
  • Pelaburan – Wang(modal) yang dilaburkan dalam sesuatu perniagaan
  • Nazar – Janji/sumpah untuk melakukan sesuatu perkara dan apabila tercapai hajat, kaul, niat dan perlu membayar(melepaskan, menunaikannya)
  • Lain-lain harta yang berpotensi termasuk dalam skop sumber am

Tidak. Bahagian Mal JAWHAR tidak mengendalikan urusan terimaan dan serahan harta sumber am kerana urusan tersebut adalah dikendalikan oleh pihak Baitulmal atau Majlis Agama Islam Negeri-Negeri (MAIN). Peranan Bahagian Mal JAWHAR hanya menyelaras segala urusan pentadbiran dan pengurusan Baitulmal di seluruh Malaysia, dan membantu dalam membangunkan harta-harta ini. Justeru, segala urusan terimaan dan serahan harta Mal boleh dirujuk kepada Baitulmal MAIN di setiap negeri masing-masing. Alamat dan nombor telefon Baitulmal MAIN di seluruh Malaysia boleh dirujuk pada laman web JAWHAR.

Menurut Kamus Dewan, Pusaka adalah harta benda yang ditinggalkan oleh orang yang telah meninggal dunia (untuk diwarisi oleh keluarganya), dalam bahasa Arab, Pusaka dipanggil Al Irth, Al Wirth atau Al Wirathah yang dalam bahasa Melayu dipanggil warisan. Menurut Syara’ harta warisan atau mirath ialah harta benda peninggalan orang yang telah meninggal dunia yang menjadi hak mutlak ahli warisnya untuk diagih-agihkan di kalangan mereka yang berhak.

Orang yang berhak menerima harta pusaka dalam Islam disebabkan tiga perkara iaitu :

Pertalian Darah

Atau disebut juga sebagai Qarabah, yakni ahli keluarga yang terdekat.

Perkahwinan

Adalah seorang lelaki dan perempuan menjalinkan perkahwinan yang sah, maka kedua-duanya berhak saling mewarisi. Isteri berhak mendapat pusaka dari suaminya yang meninggal dan sebaliknya, Kerana mereka berhak menjadi pewaris dengan sebab perkahwinan.

Ada tiga golongan yang tidak berhak atau terlarang dari menerima harta pusaka si mati walaupun seseorang itu termasuk dalam Ashabul Mirath atau orang yang berhak menerima pusaka :

Pembunuh si Mati

Jika si mati dibunuh, pembunuhnya tidak berhak menerima harta pusaka daripada orang yang dibunuhnya sekalipun pembunuhnya itu ahli warisnya. Rasulullah bersabda yang erti : “Barangsiapa yang membunuh seseorang, maka si pembunuh itu tidak boleh mewarisinya, walaupun yang mati itu tidak punya ahli waris selain si pembunuhnya, walaupun yang mati itu bapa atau anak kepada si pembunuhnya. Bagi pembunuh tiada ada hak mewarisi “ (H.R. Ahmad)

Berlainan Agama

Jika ahli waris berlainan agama dengan si mati, maka dia terhalang dari mendapatkan harta pusaka si mati. Rasulullah S.A.W bersabda yang ertinya : “Orang Islam tidak boleh mewarisi harta orang kafir dan orang kafir tidak boleh mewarisi harta orang Muslim” (Muttafaq Alaih)

Perhambaan

Seseorang ahli waris yang menjadi hamba tidak berhak menerima harta pusaka kerana dirinya tidak merdeka, tidak bebas mengurus harta dan diri, bahkan dirinya dan segalanya yang ada padanya adalah milik tuannya. Jadi kalau dia diberikan harta pusaka, harta itu akan menjadi milik tuannya juga.

Para ahli waris ialah orang-orang yang berhak ke atas harta peninggalan orang yang telah meninggal dunia. Para ahli waris adalah 25 orang, 15 terdiri dari pewaris lelaki dan 10 orang pewaris perempuan.

Ahli waris dari kalangan lelaki adalah :

  1. Anak Lelaki
  2. Bapa
  3. Suami
  4. Cucu lelaki dari garis anak lelaki
  5. Datuk, iaitu bapa kepada bapa
  6. Saudara lelaki sekandung
  7. Saudara lelaki seayah
  8. Saudara lelaki seibu
  9. Anak saudara lelaki dari saudara lelaki sekandung
  10. Anak lelaki dari saudara lelaki seayah
  11. Bapa saudara sekandung
  12. Saudara lelaki kepada bapa(bapa saudara) yang seayah
  13. Sepupu lelaki(anak lelaki kepada bapa saudara yang sekandung)
  14. Sepupu lelaki seayah(anak lelaki kepada saudara bapa yang seayah)
  15. Orang lelaki yang memerdekakan hamba

Ahli waris dari kalangan perempuan adalah :

  1. Anak perempuan
  2. Cucu perempuan dari anak lelaki
  3. Ibu
  4. Isteri
  5. Saudara (adik-beradik) perempuan sekandung
  6. Nenek dari garis ibu
  7. Nenek dari sebelah ayah
  8. Saudara perempuan seayah
  9. Saudara perempuan seibu
  10. Perempuan yang memerdekakan hamba

Allah berfirman yang ertinya :

Orang-orang lelaki ada bahagian pusaka dari peninggalan ibu bapa dan kerabat(1/3 – sepertiga) dan orang-orang perempuan pula ada bahagian pusaka dari peninggalan ibu bapa dan kerabat (2/3 – dua pertiga), sama ada sedikit atau banyak dari harta yang ditinggalkan itu ; iaitu bahagian yang telah diwajibkan dan ditentukan oleh Allah) (Q.S An Nisa” ayat 7).

Seorang manusia boleh meninggalkan wasiat jika dia mahu hartanya dibahagikan dengan cara tertentu. Faraid hanya digunakan sebagai penyelesaian bila tiada pesanan atau wasiat si mati. Surat wasiat sebaiknya dibuat secara sah dengan bertulis di depan pendaftar supaya ia tidak dipertikaikan waris yang tinggal. Bagaimanapun, jika si mati sempat membuat pesanan yang boleh diterima waris, ia sudah termasuk sebagai wasiat. Umpamanya jika si mati pernah berpesan supaya sebahagian harta disedekah atau diwakaf selepas dia mati. Walaupun dia tidak menulis, umum waris pernah mendengar pesanannya dan ia boleh dikira sebagai wasiatnya.

Jika si mati meninggalkan surat wasiat tanpa peguam dan warisnya bersetuju menerima itu sebagai wasiat tanpa keraguan, ia boleh dilaksanakan.

Orang ramai boleh berurusan dengan Majlis Agama Islam Negeri masing-masing ataupun melantik mana-mana agen korporat seperti Amanah Raya Berhad (ARB) sebagai pembuat dan pelaksana wasiat dengan mengisi borang khas yang telah disediakan oleh majlis / agen tersebut.

Fidyah ialah denda yang dikenakan ke atas orang yang meninggalkan puasa wajib atas sebab-sebab tertentu ataupun kerana sengaja melewatkan puasa ganti (qada’) bulan Ramadhan. Ia merupakan satu kadar tertentu yang wajib dikeluarkan sebagai suatu pemberian sebahagian daripada harta (makanan) kepada fakir miskin.

Kadar bayaran fidyah bagi satu hari puasa yang ditinggalkan adalah memberi sedekah dalam kadar satu cupak makanan asasi penduduk sesebuah negara samada daripada beras, gandum atau seumpamanya.

Fidyah boleh dibayar di Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) masing-masing atau boleh dibayar terus kepada fakir miskin. Misalnya, di Wilayah Persekutuan, bayaran fidyah adalah di Baitulmal, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

Di Baitulmal, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), hasil kutipan bayaran fidyah akan dimasukkan ke dalam Akaun Amanah Fidyah Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan sebelum diagihkan kepada fakir miskin.

Soalan Berkaitan Haji & Umrah

Wang simpanan pendeposit-pendeposit TH disatukan dalam Kumpulan Simpanan Pendeposit-Pendeposit dan dijadikan sebagai modal perniagaan. Modal perniagaan ini dilabur oleh TH dalam bidang-bidang perniagaan seperti pelaburan harta tanah, bangunan, perladangan, perusahaan dan bidang-bidang lain yang halal mengikut lunas-lunas Islam. Kumpulan Wang simpanan Pendeposit ini hanya digunakan oleh TH untuk tujuan perniagaan.

TH membayar zakat perniagaan bagi pihak pendeposit dan dengan demikian pendeposit tidak perlu lagi membayar zakat simpanan ke atas wang simpanannya di TH.

Hasrat murni jemaah menunaikan ibadah umrah dapat ditunaikan  sekiranya  jemaah mengambil langkah-langkah berikut:

  1. Memilih pengelola umrah yang diluluskan oleh Majlis Kawal Selia Umrah (MKSU)
  2. Membuat kajian perbandingan harga pakej-pakej yang ditawarkan. Kebiasaannya harga berubah mengikut musim dan jenis pakej yang dipilih.
  3. Menyelidik latar belakang agensi; lesen dan permit untuk ‘outbound’ yang sah, pengalaman agensi mengelolakan umrah dan urusan visa yang dikendalikan oleh agensi. Sama ada agensi menguruskan sendiri atau menggunakan khidmat orang tengah.
  4. Mengambil tahu syarikat penerbangan, jenis perjalanan sama ada terus ke Jeddah atau ke Madinah atau jemaah perlu transit dan bermalam di negara lain.
  5. Mengambil tahu tentang hotel penginapan yang disediakan oleh agensi.
  6. Bagaimanakah bayaran dibuat. Sama ada kepada akaun syarikat atau kepada akaun persendirian pengurus agensi atau kepada akaun agen-agen yang dilantik oleh agensi. Pastikan jemaah menyimpan resit pembayaran dan dokumen-dokumen yang dikeluarkan oleh agensi.
  7. Adakah terdapat bayaran-bayaran tambahan.
  8. Adakah agensi mengenakan syarat-syarat tambahan lain yang tertakluk kepada perubahan dari semasa ke semasa.
  9. Adakah agensi mengadakan kelas bimbingan umrah.
  10. Setelah berpuas hati dengan maklumat-maklumat seperti di atas barulah jemaah boleh membuat pemilihan agensi pengelola umrah.

Rujukan dan semakan agensi pengelola umrah yang sah boleh dibuat kepada Kementerian Pelancongan Malaysia atau boleh dilayari di http://umrah.jawhar.gov.my (Portal i-Umrah).

LTH telah menetapkan Dam untuk Haji Tamattu’ iaitu seekor kambing bernilai SR250.00.

Dam Tamattu’ hanya boleh dilaksanakan setelah selesai mengerjakan Umrah Tamattu’ dan penyembelihan dilaksanakan di Tanah Haram Mekkah.

Terdapat dua(2) cara mengerjakan Haji Qiran :

  • Berniat mengerjakan Haji dan Umrah serentak dalam bulan Haji dengan mengerjakan amalan-amalan Haji sahaja.
  • Berniat mengerjakan Umrah sahaja, tetapi sebelum tawaf dia berniat mengerjakan Haji.

Kelebihan ziarah Masjid Nabawai iaitu :

  • Dapat pahala sunat
  • Sembahyang berjemaah di Masjid Nabawi mendapat gandaan pahala sebanyak 1,000 kali
  • Melihat kesan sejarah Rasulullah SAW. dan sahabat – sahabatnya memberikan keinsafan serta meningkatkan keimanan dan ketaqwaan terhadap Allah SWT

Jemaah haji boleh menunaikan solat fardu di dalam Masjid Nabi sesudah Ziarah Wada’.

Hari–hari yang disebut dalam Islam dimusim haji dikenali seperti berikut :

  • 8 Zulhijjah adalah hari Tarwiyah;
  • 10 Zulhijjah iaitu hari Nahar; dan
  • 11, 12 dan 13 Zulhijjah sebagai hari Tasyrik

Ertinya melepaskan diri daripada pantang larang dalam masa ihram. Tahallul haji terbagi kepada dua (2):

Tahallul Awal

  • Melontar Jamrah al-Aqabah
  • Tawaf rukun dan sa’ie jika sa’ie belum dibuat
  • Bercukur/bergunting
  • Ialah apabila selesai mengerjakan dua dari tiga perkara berikut :

Tahallul Thani

Ialah apabila selesai mengerjakan ketiga-tiga perkara yang tersebut di atas maka tidak ada lagi semua pantang larang semasa berihram itu.

Haji pada Syara’ ialah mengunjungi Baitullah Al Haram dalam bulan-bulan haji kerana mengerjakan Tawaf, Sa’ie dan wukuf di Arafah dengan menurut syarat-syarat serta menunaikan segala rukun-rukun dan wajib-wajibnya.

Rukun haji ada 6 iaitu niat, wukuf di Arafah, tawaf, sa’ie, bercukur atau bergunting dan tertib pada kebanyakan rukun. Wajib haji juga 6 iaitu niat ihram di Miqat, menjaga perkara-perkara larangan dalam ihram, bermalam (mabit) di Muzdalifah, melontar Jamrah Al-Aqabah, bermalam (mabit) di Mina dan melontar ketiga-tiga Jamrah pada Hari-hari Tasyrik.

Umrah pada Syara’ ialah mengunjungi Baitullah Al Haram bila-bila masa kerana mengerjakan Tawaf, Sa’ie dengan menurut syarat-syaratnya serta menunaikan segala rukun-rukun dan wajib-wajibnya.

Rukun umrah ada 5 iaitu niat, tawaf, sa’ie, bercukur atau bergunting dan tertib. Wajib umrah ada 2 iaitu niat ihram di Miqat dan menjaga perkara-perkara larangan dalam ihram.

Perbezaan yang jelas antara keduanya-duanya ialah ibadah haji itu hanya boleh dikerjakan dalam bulan-bulan haji sahaja iaitu mulai daripada 1 Syawal hingga naik fajar hari 10 Zulhijjah.

Manakala umrah pula boleh dikerjakan pada bila-bila masa sepanjang tahun kecuali bagi orang yang dalam ihram haji. Dalam ibadah umrah tidak ada amalan wukuf, mabit di Muzdalifah dan Mina serta melontar di Jamrah

Haji dan umrah kedua-duanya adalah wajib dikerjakan sekali seumur hidup. Sunat dikerjakan berulang-ulang kali.

Scroll to Top
Skip to content