Soalan Lazim

Hubungi Kami

Maklum Balas

Peta Laman

Assalamualaikum

Page Title

Assalamualaikum

WAQF BREAKFAST TALK BERTEMAKAN “PENJAWAT AWAM PEMANGKIN KEMAKMURAN WAKAF”

PUTRAJAYA, 3 Ogos 2021- Jabatan Wakaf Zakat dan Haji (JAWHAR) dan Yayasan Waqaf Malaysia dengan kerjasama Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) telah menganjurkan Program Waqf Breakfast Talk bertemakan “Penjawat Awam Pemangkin Kemakmuran Wakaf”. Program yang julung kali diadakan ini dilaksanakan secara dalam talian melalui aplikasi Cisco Webex Meeting.

 

YBhg. Tan Sri Dato’ Seri Mohd Zuki bin Ali, Ketua Setiausaha Negara semasa menyampaikan ucap utamanya berkata, penubuhan JAWHAR pada tahun 2004 dan Yayasan Waqaf Malaysia pada tahun 2008 telah menjadi penghubung dalam pelaksanaan inisiatif Kerajaan Persekutuan bersama Kerajaan Negeri melalui Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) seperti penyediaan Pelan Induk Wakaf Nasional, peruntukan pembangunan hartanah wakaf di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan hingga Kesebelas, galakan wakaf melalui potongan cukai menerusi Subseksyen 44(11D) di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967 dan galakan penjawat awam berwakaf secara tunai melalui potongan gaji. Tambahnya lagi, penjawat awam digalakkan untuk melaksanakan wakaf secara potongan gaji sama ada melalui YWM atau MAIN. Ini kerana berdasarkan rekod yang ada, seramai 6,616 penjawat awam telah berwakaf melalui potongan gaji di mana sehingga kini potongan aktif hanya melibatkan 2,075 penjawat awam sahaja dan jumlah ini adalah rendah jika dibandingkan dengan jumlah penjawat awam seramai 1.6 juta.

 

 

Daripada dana wakaf tunai yang diterima, menurutnya juga, ianya bukan sahaja dinikmati oleh masyarakat beragama Islam, malah turut dinikmati oleh semua masyarakat tanpa mengira agama, kaum mahupun keturunan. Ini dapat dilihat melalui pelaksanaan program Wakaf Air bersama pihak Kementerian Alam Sekitar dan Air yang telah melaksanakan 6 projek di 6 buah negeri yang telah memanfaatkan seramai 2,880 penduduk sekitar tanpa mengira agama, kaum dan keturunan.

 

Sementara itu, Presiden CUEPACS, Tuan Haji Adnan Mat dalam ucapan pembukaannya berkata, penjawat awam khususnya perlu memandang positif perkara ini serta disaran untuk kembali menyumbang kepada Kerajaan dalam bentuk kebajikan melalui wakaf di samping mengambil peluang untuk melaksanakan ibadah wakaf secara potongan gaji.

 

Dalam ucapan penutup, Ketua Pengarah JAWHAR, Dato’ Selamat Paigo menambah, sokongan dan komitmen peserta webinar daripada pelbagai agensi pada hari ini diharap dapat menjadi Duta Wakaf atau Ejen Wakaf di agensi masing-masing. Berdasarkan rekod, seramai 1300 peserta telah menyertai Waqf Breakfast Talk ini menerusi Facebook Live dan platform Cisco Webex. Selain peserta dari Malaysia, Facebook Live ini juga dikunjungi oleh peserta dari Singapura, Indonesia, Brunei dan Arab Saudi.

 

 

Program yang berlangsung hampir 3 jam ini menampilkan dua panelis iaitu Ustaz Don Daniyal, Pengurus Besar KUISCELL dan Dr. Amir Shaharuddin, Ketua Pegawai Eksekutif YWM, manakala PU Rahmat sebagai moderator. Objektif utama penganjuran program ini adalah untuk menerangkan konsep sebenar wakaf termasuklah pelaksanaan wakaf tradisional dan wakaf kontemporari serta bagaimana ia dipraktikkan pada masa kini. Peserta program ini terdiri daripada Penjawat Awam peringkat Persekutuan dan Negeri serta masayarakat awam.

 

 

Scroll to Top
Skip to content