Awam Kerajaan Warga JAWHAR

JAWHAR HADIRI MUZAKARAH HAJI PERINGKAT KEBANGSAAN KALI KE-29 MUSIM HAJI 1434H

muzakarah1

Pada 1 hingga 4 Februari 2013, JAWHAR telah menghantar dua orang pegawainya daripada Bahagian Haji iaitu Ust. Hafizah binti Abdul Shukor dan Us. Muhammad Suardi bin Shafien bagi menyertai Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan Kali Ke-29 Musim Haji 1434H yang dianjurkan oleh Lembaga Tabung Haji (LTH). Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan merupakan satu acara tahunan dan perhimpunan kepada para pengkursus dan pembimbing jemaah haji dengan penyertaan dari seluruh negara dan muzakarah pada kali ini diadakan di Hotel Hyatt Regency Kuantan, Pahang Darul Makmur. Seramai lebih kurang 300 orang peserta telah menghadiri muzakarah ini termasuk petugas-petugas LTH sendiri dari cawangan Sabah dan Sarawak.

 

Antara objektif muzakarah ini ialah untuk menyeragam dan menyelaras penyampaian hukum-hakam berkaitan ibadat haji, umrah dan ziarah.Kedua; meningkatkan keberkesanan bimbingan ibadat haji kepada jemaah haji dan ketiga; sebagai forum perkongsian isu-isu haji semasa di kalangan negara serantau.

Muzakarah kali ke-29 ini dimulakan pada malam 1 Februari 2013 dengan sesi tayangan video yang bertajuk ‘Selayang Pandang Operasi Haji Musim Haji 1433H’. Sesi tayang video ini mengambil masa lebih kurang satu jam yang merakamkan detik-detik jemaah haji Malaysia tiba ke Makkah, pelaksanaan ibadah haji yang dilakukan serta pengalaman-pengalaman mereka mendapatkan bantuan daripada petugas-petugas LTH daripada pelbagai bidang. Rakaman ini juga mengambil kira pendapat para jemaah haji berkaitan servis perkhidmatan dan harapan mereka terhadap Tabung Haji. Setiap pelaksanaan rukun dan wajib haji dirakam sehinggalah kepada ziarah di pelbagai tempat di Makkah dan Madinah dan akhirnya turut dirakam kepulangan jemaah ke tanah air dengan selamat.

muzakarah2

Pada hari kedua muzakarah iaitu tanggal 2 Februari 2013 sebelum sesi pembentangan kertas kerja bermula, para peserta muzakarah dikehendaki menduduki satu ujian pengukuhan berkaitan haji yang mengambil masa satu jam. Soalan-soalan ujian adalah berkaitan dengan permasalahan ibadah haji yang telah dibincangkan pada muzakarah pada tahun-tahun yang lalu. Tujuan ujian pengukuhan ini adalah untuk mengetahui sejauh mana kefahaman dan ingatan para pengkursus dan pembimbing ibadah haji berkaitan resolusi dan hukum-hukum berkaitan isu ibadah haji yang telah diputuskan pada tahun-tahun sebelumnya.

Majlis Perasmian Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan Kali Ke-29 Musim Haji 1434H ini telah dirasmikan oleh YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dato’ Seri Jamil Khir bin Haji Baharom pada jam 11.00 pagi pada hari yang sama. Antara yang hadir pada majlis perasmian tersebut ialah Tan Sri Abi Musa As’ari Mohamed Nor, Pengerusi Lembaga Tabung Haji, SS Dato’ Seri Haji Hassan bin Haji Ahmad Mufti Pulau Pinang, Dato’ Paduka Ismee Ismail, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji, Dato’ Syed Saleh Syed Abdul Rahman, Pengurus Besar Kanan (Haji) LTH, wakil-wakil delegasi luar iaitu daripada kerajaan Thailand, Brunei, Singapura dan Turki.

 

Sebanyak empat kertas kerja telah dibentangkan dalam muzakarahiaitu Permasalahan Pilihan Ibadat Haji Musim Haji 1433H oleh Prof.Madya Dr. Raihanah binti Azahari. Kedua; Ziarah Madinah –Adab dan Kelebihan oleh Prof.Madya Dr. Anisah binti A. Ghani, ketiga; Tawaf Wada’: Falsafah dan Tuntutan Menurut Perspektif Pelbagai Mazhab oleh Dr. Haji Zulkifli Mohamad Al-Bakri dan keempat; Pemurnian Aqidah dalam Ibadat Haji dan Umrah oleh Tuan HajiRazali bin Shahabudin.Para pembentang kertas kerja seramai empat orang adalah merupakan ahli panel pakar rujuk muzakarah dibantu oleh Dato’ Haji Wan Muhammad bin Dato’Sheikh Abdul Aziz Mantan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia(JAKIM) serta diketuai oleh Mufti Pulau Pinang SS Dato’ Seri Haji Hassan bin Haji Ahmad.

Pada malam terakhir muzakarah, peserta telah didedahkan dengan satu perkongsian maklumat berkaitan bimbingan haji dan kaunseling pada musim haji 1433H yang lalu. Perkongsian maklumat berkaitan kaunseling ini telah disampaikan oleh Dr. Haji Huzili bin Hussin yang merupakan Pensyarah Kanan, Pusat Teknologi Komunikasi & Pembangunan Insan Universiti Malaysia Perlis.

 muzakarah4

Pada tarikh 4 hb Februari 2013 yang merupakan hari terakhir muzakarah, para peserta telah dimaklumkan secara umum peratusan keputusan ujian pengukuhan dan markah terbaik peserta lelaki jatuh kepada Us. Zawawi bin Mamat dan peserta wanita pula ialah Ust. Saniah binti Salim. Sebelum acara Majlis Penutup dimulai, Dato’ Seri Haji Hassan bin Haji Ahmad Mufti Pulau Pinang merangkap Ketua Panel Pakar Rujuk Muzakarah telah membentangkan resolusi-resolusi Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan Kali ke-29 Musim Haji 1434H. Berikut ialah resolusi-resolusi muzakarah tersebut.

Resolusi Kertas Kerja 1- Permasalahan Pilihan Ibadat Haji Musim Haji 1433H

1.Pengecualian bermabit dengan alasan sakit yang memudaratkan hendaklah disahkan oleh pegawai perubatan dengan penuh bertanggungjawab.

2.Dalam Mazhab Syafie, jemaah haji lelaki semasa dalam ihram dilarang memakai kain ihram bahagian atas (rida’) yang dijahit atau di zap onatau dipinkan atau digamkan atau dizipkan begitu juga bagi kain ihram bahagian bawah dilarang menggunakan jahitan getah pada bahagian pinggang.

3.Sarung lengan yang tidak dibenarkan dipakai oleh jemaah haji wanita semasa dalam ihram adalah yang disarungkan keseluruhan tapak tangan dan anak jari.

4.Sleeping bag yang terdapat di pasaran sekarang adalah berbeza dengan istilah izz an-naum(tidak sempit dan boleh melorot tanpa membuka zip) sehubungan itu jemaah lelaki yang berada dalam ihram adalah dilarang menggunakan sleeping bag.

5.Bacaanatau lafaz niat ihramyang dibaca semasa kursus haji atau umrah hanya sebagai pembelajaran dan latihan amali dan peserta tidak dianggap telah berniat ihram atau haji dan tidak terikat dengan larangan ihram.

6.Syarikat atau agensi pelancongan yang menguruskan jemaah umrah hendaklah memberi perhatian yang sewajarnya terhadap hukum hakam yang berkaitan umrah supaya jemaah umrah dapat melaksanakan umrah dengan sempurna sebelum kembali ke tanah air seperti mengadakan kursus ibadah umrah dan menyediakan pembimbing yang ditauliahkan oleh Tabung Haji di tanah suci.

7.Pihak berkuasa yang mencalonkan bakal haji dengan haji anugerah hendaklah membuat pencalonan lebih awal sekurang-kurangnya setahun sebelum bertolak ke tanah suci. Ini bagi memastikan persiapan ibadah dapat dilaksanakan dengan sempurna.

 

Resolusi Kertas Kerja 2 – Ziarah Madinah – Adab dan Kelebihan

1.Jemaah haji dinasihatkan mengambil peluang untuk menziarah makam Rasulullah SAW dan perkuburan para sahabat seperti Baqi’ bagi menghayati perjuangan yang tersurat dan tersirat oleh Nabi SAW dan para sahabat.Ia juga sebagai tanda terima kasih dan cinta kepada baginda Rasulullah SAW dan para sahabat.

 

2.Pembimbing juga hendaklah memberi penjelasan konsep hijrah Rasulullah SAW dan sejarah pembinaan Negara Islam Madinah serta Piagam Madinah semasa menyampaikan ceramah.

 

3.Kelebihan solatseribu kali ganda di Madinah hanya tertakluk di dalam Masjid Nabawi sahaja berbeza gandaan pahala seratus ribu kali ganda di Makkah adalah keseluruhan tanah haram Makkah. Walaubagaimanapun perlu diberi penekanan fadilat menunaikan solat berjemaah di Masjidil Haram adalah lebih tinggi nilainya berbanding solat di dalam bangunan penginapan Tabung Haji di Makkah. Hal ini demikian kerana :

i.Bilangan jemaah yang ramai dapat meningkatkan kualiti solat.

ii.Mendapat pahala iktikaf dan dapat menunaikan solat tahiyatul masjid.

iii.Mendapat rahmat dengan melihat Baitullah dan tempat-tempat yang mustajab di Masjidil Haram.

iv.Setiap langkah perjalanan ke Masjidil Haram adalah mendapat fadilat perjalanan.

v.Mengeratkan silatulrahim semasa salam berjemaah dan bertaaruf di antara sesama jemaah.

 

Resolusi Kertas Kerja 3 – Tawaf Wada’ : Falsafah dan Tuntutan Menurut Perspektif Pelbagai Mazhab

1.Ulama bersepakat Tawaf Wada’ adalah disyariatkan dalam Islam cuma ada yang berpendapat wajib dan ada yang berpendapat sunat. Oleh yang demikian Muzakarah bersetuju berpegang kepada jumhur ulama termasuk Mazhab Syafie yang mewajibkan Tawaf Wada’ bagi mereka yang hendak meninggalkan kota Makkah.

2.Golongan yang dikecualikan daripada melaksanakan Tawaf Wada’ boleh dirujuk di dalam buku Panduan Ibadah Haji, Umrah dan Ziarah Tabung Haji cetakan 2012 mukasurat 44 dan kertas kerja berkaitan isu-isu Tawaf Wada’ yang dibentangkan pada Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan Kali Ke-29 Musim Haji 1434H.

 

Resolusi Kertas Kerja 4 – Pemurnian Aqidah dalam Ibadat Haji dan Umrah

1.Pengkursus ibadah haji di tanah air dan pembimbing ibadah haji di tanah suci hendaklah memberi peringatan kepada jemaah haji terhadap kegiatan yang menyeleweng daripada ajaran Ahli Sunnah wal Jamaah dan perkara-perkara khurafat seperti yang dibentangkan dalam kertas kerja bertajuk Pemurnian Aqidah dalam Ibadat Haji dan Umrah.

2.Pembimbing ibadah haji di tanah suci hendaklah sentiasa peka dan mengingatkan jemaah haji agar tidak terpengaruh dengan ajaran dan pegangan yang dibawa oleh kelompok atau golongan yang menyeleweng semasa di tanah suci.

3.Sebarang perbuatan khurafat hendaklah dijauhi sebelum, semasa dan selepasmelaksanakan ibadah haji dan umrah.

4.Jemaah haji hendaklah menjauhi amalan ibadah yang berbeza dengan apa yang diamalkan di Malaysia setelah pulang dari tanah suci kerana boleh menimbulkan perpecahan ummah.

5.Penyebaran dan pengamalan fahaman dan aliranlain yang bertentangan dengan Ahli Sunnah wal Jamaah adalah dilarang sebagaimana yang diputuskan oleh Muzakarah Fatwa Kebangsaan.

 

Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan Kali Ke-29 Musim Haji 1434H ini telah ditutup dengan rasminya pada 4 Februari 2013 oleh YBhg. Dato’Syed Saleh bin Syed Abdul Rahman,Pengurus Besar Kanan (Haji) Lembaga Tabung Haji. Dalam ucapan penutupan muzakarah, YBhg.Dato’ telah melahirkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua peserta atas penyertaan yang menggalakkan dalam Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan Kali Ke-29 Musim Haji 1434H ini.Pada kali ini juga LTH telah menjemput khas delegasi daripada Brunei, Indonesia, Thailand dan Singapura bagi tujuan perkongsian maklumat di dalam isu pengurusan jemaah haji negara-negara tersebut.

 

 

 

Disediakan oleh:

Bahagian Haji JAWHAR

On one side and emilys on the other, I stumble through the mud read the blog post here left

Waktu Solat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur & Sewaktu Dengannya

Imsak 5.46 Subuh 5.56 Syuruk 07.09 Zohor 13.22 Asar 16.47 Maghrib 19.30 Isyak 20.45
Arab Saudi
Malaysia
Hubungi JAWHAR
Jabatan Wakaf, Zakat & Haji (JAWHAR)
Aras 8-9, Blok D, Kompleks Islam Putrajaya (KIP),
Jalan Tun Abdul Razak, Presint 3,
62100 Putrajaya, Malaysia
Talian Awam
Telefon: +(6) 03-8883 7400
Faks: +(6) 03-8883 7406
Emel: pejabatam[at]jawhar[dot]gov[dot]my
Statistik
Kemaskini Terakhir: 18 Oktober, 2021 @ 11:47 AM
Top