Public Government JAWHAR Staff

Sistem Kewangan Islam Adil Agih Kekayaan, Pendapatan

Baitulmal saluran umat bersih harta tak patuh syariah

Sistem perbankan dan kewangan Islam merujuk kepada satu rangka kerja institusi perbankan dan kewangan yang dijalankan berlandaskan prinsip syariah bagi merealisasikan keadilan dalam pengagihan kekayaan serta pendapatan.

Pengurusan perbankan dan kewangan Islam adalah berasaskan kepada transaksi Islam dalam fiqh al-muamalat supaya aktivitinya sentiasa bertepatan dengan prinsip syariah.

Perbezaan utama sistem perbankan Islam dengan sistem perbankan konvensional ialah konsep halal dan haram yang menjadi tunggak keunggulan sistem nilai serta norma dibangunkan oleh Islam. Perbankan konvensional tidak perlu patuh Syarak dan bebas menggunakan transaksi riba dalam segala urusan.

Sebaliknya, perbankan Islam tidak mengamalkan riba malah menggunakan transaksi mematuhi syariah serta mempraktikkan konsep perkongsian untung dan rugi dalam perbankan bagi menggantikan mekanisme bunga dalam operasi.

Contohnya, akaun simpanan berasaskan konsep wadiah (simpanan biasa), bank menjanjikan keselamatan wang disimpan pelanggan dan boleh dikeluarkan pada bila-bila masa, tetapi tidak menjanjikan pulangan (faedah) pada asalnya.

Namun, jika mendapat keuntungan daripada pelaburan dibuat, bank biasanya akan memberikan hibah (hadiah sejumlah wang) kepada penyimpan mengikut budi bicaranya sebagai penghargaan.

Melalui konsep mudharabah (perkongsian untung) pula, pihak bank akan melaburkan wang yang disimpan pelanggan dalam perkara halal saja dengan kadar pembahagian keuntungan ditetapkan pada peringkat awal seperti 70 peratus untuk pelanggan dan 30 peratus bank dan seumpamanya.

Sehubungan itu, keuntungan sama-sama dinikmati semua secara adil tanpa ada pihak rasa tertindas selain tidak terbabit amalan riba.

Namun, ramai umat Islam pada hari ini lebih mengutamakan sistem kewangan konvensional dan mengetepikan sistem Islam, malah ada  beranggapan perbankan Islam dan perbankan konvensional sama saja. Tanggapan itu sudah wujud sejak dulu.

Firman Allah bermaksud: “Orang yang makan (mengambil) riba tidak dapat berdiri melainkan seperti berdirinya orang yang kemasukan syaitan lantaran (tekanan) penyakit gila. Keadaan mereka itu, adalah disebabkan mereka berkata (berpendapat), sesungguhnya jual beli itu sama dengan riba, padahal Allah telah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba. Orang yang telah sampai kepadanya larangan dari Tuhannya, lalu terus berhenti (dari mengambil riba), maka baginya apa yang telah diambilnya dulu (sebelum datang larangan); dan urusannya (terserah) kepada Allah. Orang yang kembali (mengambil riba), maka orang itu adalah penghuni neraka; mereka kekal di dalamnya.” (Surah al-Baqarah, ayat 275)

Satu ketika dulu, mungkin kita tiada pilihan untuk menggunakan produk kewangan Islam seperti perbankan, pajak gadai, insurans dan sebagainya, tetapi ada banyak bank serta bank konvensional yang membuka Islamic Windows selain produk lain antaranya pajak gadai Islam (al-rahnu), takaful, dan sukuk.

Apabila adanya produk alternatif ini akan memikirkan kecaman Allah kepada pengamal riba, adakah kita masih memilih untuk menggunakan sistem kewangan konvensional yang berasaskan riba dan mengabaikan sistem kewangan Islam?

Firman Allah SWT bermaksud: “Dan tidaklah patut bagi lelaki mukmin dan tidak (pula) bagi perempuan mukmin, apabila Allah dan Rasul-Nya telah menetapkan suatu ketetapan, akan ada bagi mereka pilihan (yang lain) mengenai urusan mereka. Dan barang siapa menderhakai Allah dan Rasul-Nya maka sungguhlah dia telah sesat, sesat yang nyata.” (Surah al-Ahzab, ayat 36)

Namun, perlu diambil perhatian jika pembabitan dengan aktiviti tidak patuh syariah tidak dapat dielakkan juga, contohnya berurusan dengan bank konvensional di luar negara, lalu membuahkan hasil yang haram atau syubahah dalam pendapatan kita, maka hasil diperoleh daripada aktiviti yang bertentangan dengan syariat Islam itu hendaklah dilupuskan berlandaskan syariah seperti dengan menyalurkannya ke Baitulmal.

Hal ini selaras keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa ke-87 yang berlangsung pada 23-25 Jun 2009, menetapkan kaedah membersihkan harta diperoleh dengan cara yang tidak mematuhi syariah seperti riba, gharar, perjudian dan sebagainya diserahkan kepada Baitulmal untuk maslahah umum umat Islam..

Melalui penyaluran wang hasil aktiviti tidak patuh syariah ke Baitulmal, secara tidak langsung kita dapat membersihkan harta itu seperti dituntut agama Islam. Sehubungan itu, umat Islam disarankan menyalurkannya ke Baitulmal bukan membiarkannya tersimpan kaku di dalam akaun bank konvensional.

Bagi serahan ke Baitulmal, boleh berhubung dengan Pegawai Baitulmal di setiap Majlis Agama Islam Negeri yang bersedia membantu dan menasihati bagi melancarkan urusan penyaluran wang tidak patuh syariah ke Baitulmal Negeri.

Oleh : Anan C Mohd

Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) Jabatan Perdana Menteri

Sumber          : Berita Harian

Tarikh             : 11/11/2011 (Jumaat)

Prayer Time for Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur & As Time With It

Imsak 5.46 Subuh 5.56 Syuruk 07.09 Zohor 13.22 Asar 16.47 Maghrib 19.30 Isyak 20.45
Arab Saudi
Malaysia
Contact JAWHAR
Jabatan Wakaf, Zakat & Haji (JAWHAR)
Aras 8-9, Blok D, Kompleks Islam Putrajaya (KIP),
Jalan Tun Abdul Razak, Presint 3,
62100 Putrajaya, Malaysia
Public Hotline
Telephone: +(6) 03-8883 7400
Fax: +(6) 03-8883 7406
Email: pejabatam[at]jawhar[dot]gov[dot]my
Statistic
Last Updated: 21 October, 2021 @ 4:17 PM
You're Visitor Number: [wHitCounter]
Top