Awam Kerajaan Warga JAWHAR

SAMBUTAN BULAN ZAKAT KEBANGSAAN 2014

 

IMG_0440

Kuala Lumpur, 17 November 2014 –Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR), Jabatan Perdana Menteri telah berjaya menganjurkan Majlis Perasmian Sambutan Bulan Zakat Kebangsaan (BZK) 2014 yang telah disempurnakan oleh YB Mejar Jeneral Dato’ Seri Jamil Khir bin Hj. Baharom (B), Menteri di Jabatan Perdana Menteri bertempat di Hotel Sunway Putra, Kuala Lumpur dengan kerjasama Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) dan Agensi Memungut Zakat (AMZ) seluruh negara.

 

Serentak dengan Majlis Perasmian Sambutan BZK 2014 yang telah dihadiri oleh sekitar 1,000 orang peserta, turut diadakan Ijtima’ Penggerak Zakat Kebangsaan 2014 yang telah menghimpunkan para penggerak zakat dari seluruh negara termasuklah amil-amil zakat dengan tujuan untuk meningkatkan jalinan kerjasama antara para penggerak zakat, MAIN, AMZ dan JAWHAR dalam meningkatkan prestasi pengurusan zakat di Malaysia dan seterusnya bertindak sebagai “Duta Masyarakat” dalam memberi kesedaran berzakat di kalangan masyarakat Islam di negara kita.

 

Dua orang pembentang kertas kerja telah dijemput khas bagi sama-sama berkongsi ilmu pengetahuan dan pengalaman berkaitan agenda transformasi pengurusan zakat di Malaysia iaitu YBhg. SS Dr. Zulkifli Mohamed al-Bakri, Mufti Wilayah Persekutuan dengan kertas bertajuk “Amil Zakat Sebagai Duta Masyarakat” dan YBhg. Tan Sri Sheikh Ghazali Hj. Abdul Rahman, Penasihat Perundangan Syariah, Jabatan Peguam Negara dengan kertas bertajuk “Penguatkuasaan Undang-undang Zakat di Malaysia: Suatu Penilaian”.

IMG_0562 IMG_0537-2IMG_0634

Semasa Majlis Perasmian, YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri dalam ucapan beliau telah menekankan bahawa meskipun jumlah hasil kutipan zakat semakin meningkat dari tahun ke tahun dan mencecah RM2 bilion pada tahun 2013, ia sebenarnya masih kecil jika dinisbahkan kepada jumlah pembayar yang layak dan sepatutnya membayar zakat sama ada daripada kalangan individu ataupun syarikat-syarikat perniagaan dan sebagainya.

Oleh itu, beliau menegaskan bahawa dengan adanya sistem-sistem terkini dan canggih yang telah diperkenalkan oleh pihak MAIN dan AMZ bagi kutipan dan agihan zakat selaras dengan kemajuan teknologi maklumat dan komunikasi, tiada lagi alasan bagi sesiapa saja yang memenuhi syarat berzakat untuk tidak menunaikan kewajipan itu. Dalam majlis yang sama, beliau turut menyampaikan Anugerah Zakat Kebangsaan 2014 kepada lima penerima bagi setiap kategori iaitu:

 

i.              Anugerah Zakat Kebangsaan Kategori Inovasi Zakat Terbaik yang diberikan kepada Pusat Pungutan Zakat, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur;

ii.            Anugerah Zakat Kebangsaan Kategori Syarikat Sdn. Bhd. yang diberikan kepada Malaysian Electronic Payment System Sdn. Bhd., Kuala Lumpur;

iii.           Anugerah Ikon Asnaf Kebangsaan Kategori Usahawan yang diberikan kepada En. Mohd Sharif Foo bin Abdullah,  pemilik Restoran Nasi Ayam Hainan BP, Terengganu;

iv.           Anugerah Ikon Asnaf Kebangsaan Kategori Usahawan Khas yang diberikan kepada En. Azmi bin Zain, pemilik syarikat perniagaan Azmi Rehabilition Tools, Selangor; dan

v.            Anugerah Ikon Asnaf Kebangsaan Kategori Akademik yang diberikan kepada Dr. Hasanulddin bin Mohd, Pensyarah Kanan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Terengganu.

 

Di akhir majlis, satu Sesi Diskusi Zakat telah diadakan dengan tema “Transformasi Peranan Amil dalam Menggerakkan Kesedaran Berzakat” dengan barisan ahli panel yang terdiri daripada YBhg. Tuan Hj. Mohd Rais bin Hj. Alias, Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pungutan Zakat, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan dan YBhg. Tuan Hj. Mohamed Izam bin Mohamed Yusof, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Selangor. Manakala moderator yang telah dijemput khas untuk mengendalikan Sesi Diskusi Zakat ini ialah YBhg. En. Ahmad Saruji bin Abdul Aziz, Ketua Pegawai Eksekutif MyANGKASA Amanah Berhad.

 

Secara keseluruhannya, Majlis Perasmian Sambutan BZK pada kali ini telah berjalan dengan lancar dan jayanya serta telah mencapai objektif-objektif yang telah digariskan terutamanya dalam memperkukuhkan jalinan kerjasama di antara semua pihak yang berkaitan dengan pengurusan zakat di Malaysia seterusnya meningkatkan profesionalisme pengurusan kutipan dan agihan zakat di negara kita, insya-Allah.

IMG_0721

 

She then applies this connection to forum right here her future plans.

Waktu Solat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur & Sewaktu Dengannya

Imsak 5.46 Subuh 5.56 Syuruk 07.09 Zohor 13.22 Asar 16.47 Maghrib 19.30 Isyak 20.45
Arab Saudi
Malaysia
Hubungi JAWHAR
Jabatan Wakaf, Zakat & Haji (JAWHAR)
Aras 8-9, Blok D, Kompleks Islam Putrajaya (KIP),
Jalan Tun Abdul Razak, Presint 3,
62100 Putrajaya, Malaysia
Talian Awam
Telefon: +(6) 03-8883 7400
Faks: +(6) 03-8883 7406
Emel: pejabatam[at]jawhar[dot]gov[dot]my
Statistik
Kemaskini Terakhir: 18 Oktober, 2021 @ 11:47 AM
Top