Awam Kerajaan Warga JAWHAR

SAMBUTAN BULAN ZAKAT KEBANGSAAN DAN SEMINAR PEMBANGUNAN ASNAF SERANTAU 2017

Kuala Lumpur, 24 November 2017 – Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) telah berjaya menganjurkan program Sambutan Bulan Zakat Kebangsaan dan Seminar Pembangunan Asnaf Serantau 2017 pada 23 hingga 24 November 2017 (Khamis hingga Jumaat) bertempat di Dewan Muktamar, Pusat Islam, Kuala Lumpur. Program ini merupakan anjuran bersama JAWHAR dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dengan kerjasama Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM), Lembaga Tabung Haji (TH), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), semua Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) dan Agensi Mengurus Zakat (AMZ) seluruh Malaysia, Pusat Pungutan Zakat (PPZ-MAIWP), Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB), Masjid Negara, Surau Wakaf Ahmad Dawjee Dadabhoy (SWADD) dan juga agensi-agensi lain yang berkaitan.

Sambutan Bulan Zakat Kebangsaan pada tahun ini dengan tema “Bersama Membangun Asnaf Serumpun” merupakan program kali ke-9 dilaksanakan oleh JAWHAR sejak tahun 2008 lagi. Manakala Seminar Pembangunan Asnaf Serantau 2017 pula merupakan program kali pertama diadakan bersempena dengan Sambutan Bulan Zakat Kebangsaan 2017 melibatkan para peserta yang terdiri daripada para pegawai, amil dan asnaf zakat dari seluruh Malaysia dan juga wakil negara-negara anggota MABIMS (Brunei Darussalam, Republik Indonesia dan Singapura).

Pada hari pertama iaitu 23 November 2017 (Khamis), Seminar Pembangunan Asnaf Serantau 2017 telah dimulakan dengan Sesi Bicara Mufti dengan tajuk “Zakat: Antara Hak, Kewajipan dan Amanah” yang telah disampaikan oleh YBhg. S.S. Datuk Dr. Zulkifli bin Mohamad al-Bakri, Mufti Wilayah Persekutuan. Kemudian, program ini diteruskan lagi dengan Sesi Perkongsian 1 (Negara Malaysia) dengan tajuk “Program Pemerkasaan Asnaf: Pengalaman Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan” yang telah dibentangkan oleh YBhg. Dato’ Hj. Paimuzi bin Yahya, Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP.

Seterusnya, Majlis Perasmian Sambutan Bulan Zakat Kebangsaan dan Seminar Pembangunan Asnaf Serantau 2017 telah disempurnakan oleh YB Senator Dato’ Dr. Asyraf Wajdi bin Dato’ Dusuki, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri mewakili YB Mejar Jeneral Dato’ Seri Jamil Khir bin Hj. Baharom (B), Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada jam 12.00 tengah hari. Serentak dengan majlis perasmian ini, turut diadakan tayangan video sekitar program Konvoi Kembara Zakat 2017 dengan tema “Kembara al-Barakah di Bumi Perpatih” dan juga video pelancaran Laman Web SWADD yang telah disediakan oleh pihak BIMB.

Bagi menghargai jasa dan komitmen semua pihak yang terlibat dalam urusan zakat, YB Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri juga telah menyampaikan Anugerah Zakat Kebangsaan 2017 kepada sembilan penerima yang telah dipilih oleh Jawatankuasa Anugerah Zakat Kebangsaan iaitu:

  • Anugerah Ikon Asnaf Kebangsaan 2017 (Kategori Akademik) diberikan kepada YBrs. Dr. Ahmad Husni bin Hj. Hasan, pencalonan daripada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk);
  • Anugerah Ikon Asnaf Kebangsaan 2017 (Kategori Usahawan) diberikan kepada Cik Nurhayati binti Abdullah, pencalonan daripada MAIPk;
  • Anugerah Ikon Asnaf Kebangsaan 2017 (Kategori Usahawan Khas) diberikan kepada Pn. Nur Aisyah Tey binti Abdullah, pencalonan daripada Majlis Agama Islam Melaka (MAIM);
  • Anugerah Zakat Kebangsaan 2017 (Kategori Syarikat GLC) diberikan kepada UEM Group Berhad, pencalonan daripada MAIWP;
  • Anugerah Zakat Kebangsaan 2017 (Kategori Syarikat Sendirian Berhad) diberikan kepada YP Plantation Holding Sdn. Bhd., pencalonan daripada Pusat Kutipan Zakat Pahang (PKZ);
  • Anugerah Zakat Kebangsaan 2017 (Kategori Syarikat Awam Berhad) diberikan kepada Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad, pencalonan daripada Pusat Zakat Sabah, Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS);
  • Anugerah Inovasi Zakat Terbaik 2017 (Kategori Kutipan) diberikan kepada Pusat Zakat Negeri Sembilan (PZNS);
  • Anugerah Inovasi Zakat Terbaik 2017 (Kategori Agihan) diberikan kepada MAIPk; dan
  • Anugerah Ikon Asnaf Kebangsaan 2017 (Anugerah Khas Juri) diberikan kepada Cik Hamidah binti Ab Razak, pencalonan daripada Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK).

Pada sebelah petang, program ini diteruskan lagi dengan tiga sesi perkongsian daripada wakil negara-negara anggota MABIMS iaitu:

  • “Program Pemerkasaan Asnaf: Pengalaman Brunei” yang telah dibentangkan oleh YM Awang Hj. Hamzah bin Hj. Sabtu, Penolong Setiausaha, Majlis Ugama Islam Negara Brunei Darussalam;
  • “Program Pemerkasaan Asnaf: Pengalaman Indonesia” yang telah dibentangkan oleh YBhg. Bapak Fuad bin Nasar, Dikrektorat Zakat dan Wakaf, Kementerian Agama Republik Indonesia; dan
  • “Program Pemerkasaan Asnaf: Pengalaman Singapura” yang telah dibentangkan oleh Pn. Muzaiyanah binti Hamzah, Ketua Unit Strategik Pembangunan Sosial, Majlis Ugama Islam Singapura.

Pada hari kedua pula iaitu 24 November 2017 (Jumaat), Sesi Bicara Asnaf telah diadakan dengan tema “Bersama Membangun Asnaf Serumpun” yang dikendalikan oleh Ustaz Ridzuan bin Awang dari Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) selaku moderator. Sesi Bicara Asnaf pada kali ini menampilkan empat tokoh asnaf selaku ahli panel iaitu:

  • Abdul Razak bin Hamid, Tokoh Asnaf Wilayah Persekutuan;
  • Dayang Salmiah binti Hj. Tarang, Tokoh Asnaf Negara Brunei;
  • Nur Aisyah Tey binti Abdullah, Tokoh Asnaf Negeri Melaka; dan
  • Cik Nurhayati binti Abdullah, Tokoh Asnaf Negeri Perak.

Seterusnya, program ini diteruskan lagi dengan Sesi Bicara Ilmuwan dengan tajuk “Asnaf Diperkasa Zakat Berjaya” yang telah disampaikan oleh YBhg. Dato’ Ustaz Mohd Kazim Elias, penceramah bebas. Majlis penutup telah diadakan pada jam 10.45 pagi dengan ucapan wakil daripada setiap negara anggota MABIMS iaitu Negara Brunei Darussalam, Republik Indonesia dan Singapura diakhiri dengan ucapan penutup oleh YBhg. Dato’ Hj. Paimuzi bin Yahya, Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP mewakili Malaysia.

Serentak dengan program ini juga, Karnival Usahawan Asnaf 2017 (KUASA ASNAF ’17) yang merupakan program kali ke-3 di peringkat kebangsaan turut diadakan pada tarikh yang sama iaitu 23 hingga 24 November 2017 (Khamis hingga Jumaat) bermula pada jam 10.00 pagi hingga 6.00 petang bertempat di perkarangan Kompleks Pusat Islam, Kuala Lumpur yang diurusetiakan oleh pihak MAIWP selaku tuan rumah bagi program karnival pada tahun ini.

KUASA ASNAF ‘17 telah berjaya menghimpunkan sekitar 70 gerai pameran dan jualan yang melibatkan gerai jualan produk para usahawan asnaf zakat dari seluruh negara dan juga negara anggota MABIMS, jualan makanan dan pakaian, jualan produk selebriti, Klinik Hukum oleh Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, pameran serta perkhidmatan agensi-agensi kerajaan dan sebagainya. Tujuan KUASA ASNAF ’17 ini diadakan adalah untuk mempromosikan produk asnaf zakat yang dibawa khas dari seluruh negara sebagai manifestasi bukti kejayaan hasil usaha yang tidak kenal jemu oleh pihak institusi zakat untuk mentransformasikan golongan asnaf supaya dapat berjaya dan keluar daripada kepompong kemiskinan.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Secara keseluruhannya, program Sambutan Bulan Zakat Kebangsaan dan Seminar Pembangunan Asnaf Serantau 2017 telah berjalan dengan lancar dan jayanya serta telah mencapai objektif-objektif yang telah digariskan terutamanya dalam memperkukuhkan jalinan kerjasama dan perkongsian maklumat antara semua pihak yang berkaitan dengan pengurusan zakat di Malaysia dan juga negara-negara anggota MABIMS di samping mempromosikan produk-produk usahawan asnaf yang dibawa dari seluruh negara. Program ini wajar diteruskan lagi pada tahun-tahun hadapan kerana ia merupakan satu platform penting dalam usaha membuka mata masyarakat tentang kepentingan ibadah zakat khususnya bagi membantu memperkasa sosioekonomi umat Islam melalui dana zakat.

Waktu Solat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur & Sewaktu Dengannya

Imsak 05.30 Subuh 05.40 Syuruk 06.56 Zohor 13.00 Asar 16.20 Maghrib 18.58 Isyak 20.09
Arab Saudi
Malaysia
SIRIM IQNet SIRIM QAS MPC
Hubungi JAWHAR
Jabatan Wakaf, Zakat & Haji (JAWHAR)
Aras 8-9, Blok D, Kompleks Islam Putrajaya (KIP),
Jalan Tun Abdul Razak, Presint 3,
62100 Putrajaya, Malaysia
Talian Awam
Telefon: +(6) 03-8883 7400
Faks: +(6) 03-8883 7406
Emel: pejabatam[at]jawhar[dot]gov[dot]my
Statistik
Kemaskini Terakhir: 14 Disember, 2017 @ 4:16 PM
Top