Awam Kerajaan Warga JAWHAR

SAMBUTAN BULAN ZAKAT DAN KARNIVAL USAHAWAN ASNAF 2016

img_4331

SAMBUTAN BULAN ZAKAT DAN KARNIVAL USAHAWAN ASNAF 2016

Johor Bahru, 1 Disember 2016 – Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) bersama-sama Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) dengan kerjasama semua Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) dan Agensi Mengurus Zakat (AMZ) seluruh negara telah berjaya menganjurkan Sambutan Bulan Zakat dan Karnival Usahawan Asnaf 2016 pada 1 hingga 3 Disember 2016 bersamaan 1 hingga 3 Rabiulawal 1438H (Khamis hingga Sabtu) bertempat di Padang C, Plaza Angsana, Johor Bahru. Sambutan Bulan Zakat Kebangsaan pada tahun ini dengan tema “Zakat Nadi Transformasi Asnaf” merupakan program kali ke-8 yang telah dilaksanakan oleh JAWHAR sejak tahun 2008 lagi, manakala Karnival Usahawan Asnaf 2016 pula merupakan program kali ke-2 diadakan di peringkat kebangsaan setelah kali pertama diadakan pada 8 hingga 10 Disember 2015 di Dataran Pusat Islam Melaka dengan kerjasama Majlis Agama Islam Melaka.

Sebelum majlis perasmian berlangsung, program Ijtima’ Amil dan Asnaf Zakat Kebangsaan 2016 telah diadakan dengan Sesi Percambahan Ilmu yang telah disampaikan oleh YB Dato’ (Dr.) Hj. Nooh bin Gadot, Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor dengan tajuk “Zakat: Antara Hak, Kewajipan dan Amanah”. Kemudian, program ini diteruskan lagi dengan Sesi Diskusi Zakat dengan tema “Zakat Nadi Transformasi Asnaf” yang dikendalikan oleh Ustaz Luqmanul Hakim al-Iskandarani (Penolong Amin Baitulmal MAINJ) selaku moderator. Sesi Diskusi Zakat pada kali ini menampilkan tiga ahli panel iaitu Ustaz Hj. Mohd Taufik bin Hj. Shamsudin (Kadi Daerah Kluang), Puan Rusilah binti Nasro (Tokoh Usahawan Asnaf Negeri Johor) dan Puan Siti Rafidah binti Ab Rashid (Tokoh Asnaf Wilayah Persekutuan).

Majlis Perasmian Sambutan Bulan Zakat dan Karnival Usahawan Asnaf 2016 telah disempurnakan oleh Duli Yang Amat Mulia Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor pada 1 Disember 2016 (Khamis), jam 12.00 tengah hari. Bagi menghargai jasa dan komitmen semua pihak yang terlibat dalam urusan zakat, Duli Yang Amat Mulia Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor juga telah berkenan mengurniakan Anugerah Zakat Kebangsaan 2016 kepada tujuh penerima yang telah dipilih oleh Jawatankuasa Anugerah Zakat Kebangsaan, iaitu:

1) Anugerah Zakat Kebangsaan 2016 (Kategori Asnaf Akademik) diberikan kepada Dr. Siti Nur Raha binti Tuhaijan, pencalonan daripada Lembaga Zakat Selangor;
2) Anugerah Zakat Kebangsaan 2016 (Kategori Asnaf Usahawan) diberikan kepada Encik Shahrul Fadlisham bin Che Abdullah, pencalonan daripada Lembaga Zakat Selangor;
3) Anugerah Zakat Kebangsaan 2016 (Kategori Asnaf Usahawan Khas) diberikan kepada Encik Abdul Razak bin Hamid, pencalonan daripada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan;
4) Anugerah Zakat Kebangsaan 2016 (Kategori Syarikat GLC) diberikan kepada Pahang Skills Development Centre, pencalonan daripada Pusat Kutipan Zakat Pahang;
5) Anugerah Zakat Kebangsaan 2016 (Kategori Syarikat Sendirian Berhad) diberikan kepada Syarikat Faiza Sdn. Bhd., pencalonan daripada Majlis Agama Islam Negeri Johor;
6) Anugerah Zakat Kebangsaan 2016 (Kategori Syarikat Awam Berhad) diberikan kepada Bina Darulaman Berhad, pencalonan daripada Lembaga Zakat Negeri Kedah Darul Aman; dan
7) Anugerah Zakat Kebangsaan 2016 (Kategori Institusi Zakat Terbaik (Kutipan)) diberikan kepada Majlis Agama Islam dan ‘Adat Melayu Perak.

Karnival Usahawan Asnaf yang diadakan pada kali ini telah berjaya menghimpunkan sekitar 110 usahawan asnaf zakat dari seluruh negara bagi tujuan promosi dan jualan produk asnaf zakat yang dibawa khas dari negeri masing-masing, antaranya produk makanan, pakaian, perhiasan, peralatan, kraf tangan, seni ukiran, kesihatan, kecantikan dan sebagainya. Ini merupakan satu bukti hasil usaha yang tidak kenal jemu oleh pihak MAIN dan AMZ di seluruh negara untuk mentransformasikan golongan asnaf supaya dapat berjaya dan keluar daripada kepompong kemiskinan.

Sepanjang tiga hari program berlangsung, pelbagai aktiviti telah diadakan bagi menarik minat pengunjung, antaranya:

1) Bicara dari Selatan bersama Dato’ Ustaz Mohd Kazim Elias
2) Kawan Tanya Ustaz Jawab bersama Ustaz Zul Ramli dan Ashraf Muslim
3) Sembang Pacak bersama PU Yeop dan Fahrin Ahmad
4) Tasbih di Ufus Selatan bersama Zul Handy Black dan As Salam Buskers
5) Persembahan Nasyid bersama Kumpulan UNIC
6) Pop Kuiz bersama Zalif Sidek
7) Pop Treasure Hunt
8) Pentomin Perang Uhud
9) Gerbang Rabiul Awal (pernikahan dan perkahwinan beramai-ramai)
10) Larian Zakathon dan Ride 2 Zakat
11) Global Zakat Game ‘Bijak Zakat’
12) Pertandingan Voice of Nasyid
13) Pertandingan mewarna kanak-kanak
14) Pertandingan Seni Kaligrafi Khat
15) Pertandingan Pencarian Bilal Muda
16) Pertandingan Pencarian Hafiz dan Hafizah Muda
17) Pameran Time Tunnel Info Zakat
18) Pameran Kereta dan Motosikal Klasik
19) Pameran Bomba, Polis dan Tentera Laut
20) Cabutan istimewa pengunjung

Secara keseluruhannya, Sambutan Bulan Zakat dan Karnival Usahawan Asnaf 2016 telah berjalan dengan lancar dan jayanya serta telah mencapai objektif-objektif yang telah digariskan terutamanya dalam memperkukuhkan jalinan kerjasama antara semua pihak yang berkaitan dengan pengurusan zakat di Malaysia serta mempromosikan produk-produk usahawan asnaf dari seluruh negara. Program ini wajar diteruskan lagi pada tahun-tahun hadapan kerana ia merupakan satu platform penting dalam usaha membuka mata masyarakat tentang kepentingan ibadah zakat khususnya bagi membantu memperkasa sosioekonomi umat Islam di Malaysia melalui dana zakat.

img_4417

img_4396

img_4388

img_4319-27

img_4316

img_4310

img_4301

img_4294

img_4254

img_4248

img_4246

Waktu Solat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur & Sewaktu Dengannya

Imsak 5.34 Subuh 5.44 Syuruk 07.04 Zohor 13.06 Asar 16.28 Maghrib 19.03 Isyak 20.17
Arab Saudi
Malaysia
SIRIM IQNet SIRIM QAS MPC
Hubungi JAWHAR
Jabatan Wakaf, Zakat & Haji (JAWHAR)
Aras 8-9, Blok D, Kompleks Islam Putrajaya (KIP),
Jalan Tun Abdul Razak, Presint 3,
62100 Putrajaya, Malaysia
Talian Awam
Telefon: +(6) 03-8883 7400
Faks: +(6) 03-8883 7406
Emel: pejabatam[at]jawhar[dot]gov[dot]my
Statistik
Kemaskini Terakhir: 2 Disember, 2020 @ 8:56 AM
Top