Persidangan Meja Bulat 2016 JAWHAR : Melestarikan Wakaf Menerusi Pendanaan Alternatif
27 Oktober 2016, Khamis, Satu Persidangan Meja Bulat Wakaf Tahun 2016 JAWHAR telah diadakan pada 24-26 Oktober 2016 bersamaan 23-25 Muharram 1438H di Klana Beach Resort (JAWHAR-MAINS) Port Dickson. Ia susulan daripada cadangan Focus Group Wakaf JAWHAR bersama Suruhanjaya Sekuriti (SC), Bank Islam dan Universiti Malaya yang bertujuan memperkasakan wakaf menerusi pendanaan alternatif – sukuk.
OBJEKTIF
- Menghimpun para pemikir, pengurus dan pentadbir wakaf untuk menggembleng idea yang kritis terhadap potensi sukuk bagi melestarikan pembangunan aset wakaf di Malaysia.
- Mengenalpasti dan merungkai potensi sebenar sukuk sebagai sumber pendanaan alternatif bagi pengembangan aset wakaf.
- Meningkatkan hubungan dan jalinan kerjasama JAWHAR bersama Majlis Agama Islam Negeri (MAIN), Institut Pengajian Tinggi (IPT), Agensi/Jabatan Kerajaan, GLC, Institusi Kewangan dan Swasta dalam perkongsian pembangunan wakaf.
Persidangan Meja Bulat Wakaf 2016 JAWHAR ini telah dirasmikan oleh YBhg. Datuk Haji Anan bin C. Mohd Ketua Pengarah Jabatan Wakaf Zakat dan Haji (JAWHAR), Jabatan Perdana Menteri. Seramai 53 peserta yang terdiri daripada Majlis Agama Islam Negeri-Negeri, Jabatan/Agensi yang berkaitan Wakaf, Suruhanjaya Sekuriti, Bank Islam dan beberapa IPTA yang terpilih telah dijemput menghadiri persidangan ini.
Rata-rata peserta telah melahirkan puashati di atas pendedahan dan pencambahan idea yang telah diberikan sepanjang persidangan berlangsung. Selain daripada pembentangan kertas kerja utama oleh Ketua Pengarah JAWHAR, satu sesi Dialog Wakaf telah diadakan yang terdiri 4 ahli panel daripada Suruhanjaya Sekuriti, Bank Islam dan Universiti Malaya. Sesi Dialog ini telah dikendalikan oleh Tuan Haji Zainal bin Hj Mohd Yusoh daripada JAWHAR sebagai moderator. Sebanyak 5 resolusi telah dilahirkan daripada Persidangan Meja Bulat 2016 JAWHAR dan dijangka akan memantapkan lagi pembangunan wakaf di Malaysia.