Awam Kerajaan Warga JAWHAR

OPERASI PEMANTAUAN UMRAH BERSEPADU JAWHAR BERSAMA KEMENTERIAN PELANCONGAN

Bersempena dengan musim cuti sekolah yang bermula pada 26 Mei 2012, Kementerian Pelancongan Malaysia (KPL) bersama JAWHAR telah mengadakan operasi penguatkuasaan bersepadu terhadap pengelola umrah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Operasi bertujuan untuk memastikan semua pengelola umrah yang mengendalikan perkhidmatan penyediaan pakej umrah mematuhi peraturan yang ditetapkan seperti yang termaktub di dalam Akta Industri Pelancongan 1992 [Akta 482]. Melalui penurunan kuasa di bawah Seksyen 40 Akta tersebut, pegawai JAWHAR turut berperanan membantu KPL dalam melakukan pemerhatian dan pemeriksaan berkaitan terhadap pengendali umrah yang beroperasi di KLIA sepanjang cuti persekolahan ini.

Dalam operasi tersebut, JAWHAR diwakili oleh lima orang pegawai diberikuasa oleh KPL di bawah Akta 482 bagi penguatkuasaan umrah iaitu En. Ahmad Azhan bin Mohd Noh, En. Abdul Halim bin Sunny, Cik Norfadhilah binti Abdullah, En. Murid Fadzli bin Musa dan En. Muhammad Suardi bin Shafien. Operasi ini dilaksanakan pada 30 Mei 2012 (Rabu), 2 Jun 2012 (Sabtu), 6 Jun 2012 (Rabu) dan 9 Jun 2012 (Sabtu) di mana para pegawai JAWHAR telah hadir ke KLIA bagi menyertai pasukan penguatkuasa KPL dalam membuat pemantauan ke atas pengelola umrah sebelum keberangkatan rombongan masing-masing ke tanah suci.

Terdapat beberapa agensi yang mengendalikan pakej umrah sempena musim cuti persekolahan pada kali ini, antaranya Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd., TH Travel & Services Sdn. Bhd., Rayhar Travels Sdn. Bhd., Dasree Travel & Tours Sdn. Bhd., KSB Travel & Tours Sdn. Bhd., Superior Holidays Sdn. Bhd. dan lain-lain lagi. Sambutan untuk menunaikan umrah semasa cuti persekolahan ini sangat menggalakkan di mana para jemaah mengambil kesempatan cuti persekolahan selama dua minggu ini untuk menunaikan umrah bersama keluarga yang ada di antaranya adalah guru, pelajar sekolah, pesara kerajaan, penjawat awam, pekerja swasta dan sebagainya.

Penekanan dalam pelaksanaan operasi ini adalah secara berhemah iaitu dengan tidak menyentuh emosi dan sensitiviti para jemaah yang akan berangkat menunaikan ibadah umrah di Tanah Suci. Selain daripada fokus diberikan kepada pihak pengendali umrah sendiri bagi memastikan mereka patuh kepada peraturan-peraturan yang digariskan dalam Akta 482, temu bual juga turut dilakukan dengan para jemaah secara santai dan berhemah untuk mendapatkan maklumat asas tentang pakej yang disediakan oleh agensi pengendali umrah serta tahap kepuasan hati mereka terhadap perkhidmatan yang diberikan.

Salah seorang responden yang ditemu bual iaitu En. Sulong bin Ngobat dari Gombak, Selangor yang merupakan seorang pesara kerajaan memberikan maklum balas yang positif terhadap pakej yang disediakan oleh syarikat Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd. Beliau yang akan menunaikan umrah buat kali kedua ini akan berlepas dari KLIA terus ke Madinah bersama isteri dan dua orang anak melalui pakej selama 14 hari bagi umrah dan ziarah di Tanah Suci. Secara umumnya, beliau amat berpuas hati dengan pakej tersebut yang telah dibeli sejak sebulan yang lepas di mana persediaan awal telah dilakukan dengan rapi termasuklah kursus selama dua hari yang dikendalikan oleh agensi. Begitu juga dengan para jemaah lain, rata-ratanya telah memberikan maklum balas positif terhadap perkhidmatan yang disediakan oleh agensi pengendali umrah yang dipilih.

Berdasarkan pemerhatian, didapati semua rombongan yang berangkat ke tanah suci telah mendapat taklimat dan panduan sewajarnya mengenai pergerakan rombongan masing-masing dan petugas-petugas yang diamanahkan oleh pengelola umrah untuk mengetuai rombongan telah menjalankan tugas masing-masing dengan sebaik-baiknya. Namun KPL turut memaklumkan, terdapat beberapa kes yang memerlukan tindakan lanjut termasuk pemeriksaan di premis syarikat pengelola umrah yang berkenaan bagi menyiasat dengan lebih terperinci berhubung beberapa aduan yang timbul.

Semasa operasi dilaksanakan pada 6 Jun 2012 juga, pihak JAWHAR telah berkesempatan menyambut dan menyampaikan ucapan selamat kepada YBhg. Tan Sri Abu Bakar bin Hj. Abdullah, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) semasa ketibaan beliau di KLIA sekitar jam 1.00 tengah hari. Beliau yang akan berangkat menunaikan umrah pada hari tersebut bersama keluarga turut diiringi oleh para pegawai kanan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), ahli keluarga, sanak saudara serta sahabat handai sehingga beliau memasuki Balai Pelepasan Antarabangsa di KLIA.

JAWHAR juga berkesempatan untuk mendapat maklumat-maklumat yang berguna daripada KPL dalam operasi bersepadu berkenaan terutamanya dari segi jenis-jenis pelanggaran Akta 482 yang dilakukan oleh sebahagian pengelola umrah dan tindakan yang boleh diambil terhadap mereka. Melalui pendedahan yang diberikan, JAWHAR berpendapat bahawa pendekatan operasi bersepadu seperti yang dijalankan bersama KPL akan dapat memantapkan sistem pengurusan umrah di Malaysia di samping  meningkatkan  keyakinan jemaah umrah di negara ini dalam melaksanakan ibadah berkenaan dengan tenang. Semoga kerjasama yang dijalinkan antara KPL dan JAWHAR akan dapat diteruskan pada masa-masa akan datang demi kemaslahatan ummah amnya dan jemaah umrah Malaysia khasnya.

And the fine hairs http://writemyessay4me.org/ stand alarmingly straight

Waktu Solat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur & Sewaktu Dengannya

Imsak 5.59 Subuh 6.09 Syuruk 07.20 Zohor 13.22 Asar 16.45 Maghrib 19.19 Isyak 20.33
Arab Saudi
Malaysia
SIRIM IQNet SIRIM QAS MPC
Hubungi JAWHAR
Jabatan Wakaf, Zakat & Haji (JAWHAR)
Aras 8-9, Blok D, Kompleks Islam Putrajaya (KIP),
Jalan Tun Abdul Razak, Presint 3,
62100 Putrajaya, Malaysia
Talian Awam
Telefon: +(6) 03-8883 7400
Faks: +(6) 03-8883 7406
Emel: pejabatam[at]jawhar[dot]gov[dot]my
Statistik
Kemaskini Terakhir: 18 Januari, 2021 @ 1:16 PM
Top