Munaqasyah Ilmu Bil.3/2019: “Pengurusan Wakaf Pendidikan”
11 Julai 2019 – Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) dengan Kerjasama Universiti Tun Hussien Onn Malaysia (UTHM), Batu Pahat Johor telah mengadakan program Munaqasyah Ilmu Bil.3/2019 bertempat di Dewan Kuliah 2, Universiti Tun Hussien Onn Malaysia (UTHM), Batu Pahat Johor yang bertemakan “Pengurusan Wakaf Pendidikan”.
Program Munaqasyah Ilmu Bil. 3 /2019 ini telah dirasmikan oleh YBhg Dato’ Dr. Haji Nooh bin Gadoot, Ahli Lembaga Pengarah UTHM merangkap Penasihat Wakaf UTHM. Bilangan peserta yang telah hadir ke Program Munaqasyah Ilmu ini melebihi 600 orang peserta yang terdiri daripada pengurus wakaf Universiti Awam dan Institusi Pengajian Tinggi Swasta serta pengetua institusi pondok, tahfiz dan sekolah agama di bawah seliaan kerajaan.
Program Munaqasyah Ilmu ini diadakan dalam bentuk ceramah dengan menampilkan 4 orang penceramah yang berpengalaman dalam bidang Wakaf ini iaitu YBrs. Prof. Dr. Ismail bin Omar, Pakar Wakaf UTHM, YBrs. Ustaz Mustapahayuddin Abdul Khalim, Pegawai Syariah, Pusat Endowmen & Wakaf UTHM, YBrs. Prof. Sr. Dr. Wan Zahari bin Yusoff, Pengarah Wakaf & Endowmen UTHM dan YBrs. Ustaz Nurul Iman bin Ibrahim, WAZAN, UPM.
Program Munaqasyah Ilmu ini juga telah membincangkan topik topik Tadbir Urus dan Pemasaran Wakaf serta Pembangunan Mawquf dan Pengurusan Manfaat yang bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dan kefahaman masyarakat Islam tentang ibadah berwakaf serta menyebar luas kesedaran dan kefahaman tadbir urus terbaik wakaf di kalangan pegawai pengurusan wakaf pendidikan agar lebih efisyen, produktif dan telus.