Awam Kerajaan Warga JAWHAR

MESYUARAT PENYELARASAN PROGRAM ZAKAT BERSAMA MAIN DAN AMZ BIL. 1 TAHUN 2018

Putrajaya, 5 Februari 2018 – Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR), Jabatan Perdana Menteri telah mengadakan Mesyuarat Penyelarasan Program Zakat bersama Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) dan Agensi Mengurus Zakat (AMZ) Bil. 1 Tahun 2018 bertempat di Dewan Syura Utama Jannatul Firdaus, JAWHAR bermula pada jam 2.45 hingga 4.10 petang. Mesyuarat pada kali ini adalah rentetan Mesyuarat Penyelarasan Program Zakat bersama MAIN dan AMZ Bil. 3 Tahun 2017 yang telah diadakan pada 7 November 2017 di JAWHAR.

Mesyuarat ini telah dipengerusikan oleh YBrs. Tuan Hj. Ahmad Musadad bin Hj. Sulaiman, Ketua Pengarah JAWHAR dan dihadiri oleh wakil dari MAIN dan AMZ seluruh negara. Turut hadir dalam mesyuarat ini ialah Tuan Hj. Jaafar bin Ismail, Timbalan Ketua Pengarah JAWHAR serta para pegawai Bahagian Baitulmal JAWHAR selaku urus setia.

YBrs. Tuan Pengerusi dalam ucapan aluannya telah merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua MAIN dan AMZ atas segala sokongan dan bantuan yang telah diberikan kepada JAWHAR dalam melaksanakan pelbagai program zakat sepanjang tahun 2017 sehingga program-program berkenaan dapat diadakan dengan jayanya. Tahun 2017 telah menjadi tahun kejayaan (year of success) bagi program-program zakat kerana penganjuran program-program utama yang sangat berjaya, antaranya:

  • dokumentari “Ikon Asnaf” yang telah ditayangkan pada 25 Disember 2016 hingga 26 Mac 2017 di TV1;
  • pembinaan Surau Barakah al-Khir sempena Konvoi Kembara Zakat (KKZ) 2016 di Kedah;
  • program KKZ 2017 pada 24 hingga 26 September 2017 di Negeri Sembilan;
  • Misi Bantuan Mangsa Banjir di Pulau Pinang dan Kedah pada 9 hingga 11 November 2017;
  • Sambutan Bulan Zakat Kebangsaan dan Seminar Pembangunan Asnaf Serantau 2017 pada 23 dan 24 November 2017 di Kompleks Pusat Islam, Kuala Lumpur;
  • pembinaan dua pusat komuniti di Ranau dan Kota Marudu, Sabah sempena KKZ 2015; dan
  • semua mesyuarat serta bengkel berkaitan zakat yang telah dilaksanakan sepanjang tahun 2017.

Tujuan mesyuarat ini diadakan adalah bagi membincangkan pelaksanaan program-program zakat melalui kerjasama antara JAWHAR, MAIN dan AMZ seluruh Malaysia bagi tahun 2018 serta isu-isu yang berbangkit. Antara agenda utama yang telah dibincangkan ialah penganjuran program KKZ 2018 yang dicadangkan akan diadakan pada 23 hingga 25 Julai 2018 (Isnin hingga Rabu) di negeri Terengganu.

Selain daripada itu, beberapa isu semasa berkaitan pengurusan zakat di Malaysia turut dibincangkan seperti permohonan rebat cukai ke atas zakat perniagaan, Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang dibayar oleh institusi zakat, pengecualian cukai pendapatan kepada Agensi Mengurus Zakat, kutipan zakat oleh badan korporat tanpa melalui institusi zakat, penggubalan akta / enakmen zakat negeri-negeri dan lain-lain lagi.

Secara keseluruhannya, mesyuarat ini telah menjadi medan perkongsian pandangan serta pengalaman sesama wakil semua agensi yang terlibat di samping menjana idea-idea baru dalam usaha memartabatkan pengurusan zakat di Malaysia. Melalui mesyuarat seperti ini, diharapkan agar jalinan kerjasama dan hubungan silaturahim antara pihak JAWHAR, MAIN dan AMZ seluruh Malaysia dapat ditingkatkan lagi seterusnya memacu pembangunan institusi Baitulmal khususnya zakat ke arah yang lebih mantap demi maslahah ummah, insya-Allah.

Waktu Solat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur & Sewaktu Dengannya

Imsak 05.49 Subuh 05.59 Syuruk 07.06 Zohor 13.15 Asar 16.28 Maghrib 19.21 Isyak 20.31
Arab Saudi
Malaysia
SIRIM IQNet SIRIM QAS MPC
Hubungi JAWHAR
Jabatan Wakaf, Zakat & Haji (JAWHAR)
Aras 8-9, Blok D, Kompleks Islam Putrajaya (KIP),
Jalan Tun Abdul Razak, Presint 3,
62100 Putrajaya, Malaysia
Talian Awam
Telefon: +(6) 03-8883 7400
Faks: +(6) 03-8883 7406
Emel: pejabatam[at]jawhar[dot]gov[dot]my
Statistik
Kemaskini Terakhir: 19 April, 2018 @ 1:41 PM
Top