Awam Kerajaan Warga JAWHAR

MAJLIS PENYERAHAN KUNCI SURAU AL-BARAKAH

Gurun, 10 September 2017 – Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR), Jabatan Perdana Menteri dengan kerjasama Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) telah mengadakan Majlis Penyerahan Kunci Surau al-Barakah bertempat di Kg. Batu 8, Jalan Jeniang, Gurun, Kedah yang telah disempurnakan oleh YB Mejar Jeneral Dato’ Seri Jamil Khir bin Hj. Baharom (B), Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Surau al-Barakah ini yang telah diselaraskan pembangunannya oleh LZNK telah pun siap dibina sepenuhnya pada pertengahan bulan Jun 2017. Surau ini yang dibangunkan menggunakan dana sumbangan daripada semua Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) dan Agensi Mengurus Zakat (AMZ) seluruh Malaysia merupakan projek kekal yang menjadi ikon dalam program Konvoi Kembara Zakat (KKZ) 2016 yang telah berlangsung pada 14 hingga 16 Oktober 2016 di negeri Kedah.

Majlis Penyerahan Kunci Surau al-Barakah telah bermula pada jam 4.00 petang sejurus ketibaan YB  Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Majlis ini turut dihadiri oleh YBhg. Dato’ Setia Jaya Dato’ Paduka Syeikh Hasbullah bin Hj. Abd Halim, Timbalan Yang Dipertua, Majlis Agama Islam Negeri Kedah (MAIK), YBhg. S.S. Dato’ Syeikh Fadzil bin Hj. Awang, Mufti Kerajaan Negeri Kedah, Tuan Hj. Jaafar bin Ismail, Timbalan Ketua Pengarah JAWHAR, En. Ridzuan bin Ahmad, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif LZNK, Tuan Hj. Halim bin Ahmad, Pengarah Bahagian Keluarga, Sosial dan Komuniti, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Tuan Syeikh Hj. Alwi bin Othman, Pegawai Agama Daerah Kuala Muda dan juga tetamu-tetamu jemputan yang lain serta masyarakat setempat di sekitar Kg. Batu 8, Jalan Jeniang, Gurun, Kedah.

YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri dalam ucapan beliau telah merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan tahniah kepada semua pihak yang terlibat dalam pembinaan Surau al-Barakah ini, sama ada secara langsung atau tidak langsung. Beliau juga turut mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan sekalung tahniah dan syabas kepada Encik Mansor bin Salim, iaitu insan yang telah bermurah hati mewakafkan tanah yang dibangunkan di atasnya Surau al-Barakah ini demi manfaat masyarakat setempat. YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri berpandangan bahawa tindakan tersebut patut dicontohi oleh semua pihak dan berdoa agar pewakaf tanah ini diberi ganjaran oleh Allah SWT dengan sebaik-baik ganjaran serta mendapat pahala jariah yang berterusan di sisi-Nya.

Di akhir majlis, YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri telah menyerahkan replika kunci Surau al-Barakah kepada YBhg. Timbalan Yang Dipertua MAIK, seterusnya replika kunci tersebut diserahkan pula kepada Imam Surau al-Barakah sebagai simbolik penyerahan surau ini secara rasmi kepada masyarakat setempat. Secara keseluruhannya, majlis ini telah berjalan dengan lancar dan diharapkan dengan terbinanya Surau al-Barakah ini, penduduk di sekitar Kg. Batu 8 dapat melaksanakan ibadah dengan  lebih mudah dan selesa serta ia akan dapat dimanfaatkan dengan sebaiknya oleh masyarakat setempat demi kelangsungan syiar Islam di sekitar kawasan ini, insya-Allah.

Waktu Solat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur & Sewaktu Dengannya

Imsak 05.38 Subuh 05.48 Syuruk 07.02 Zohor 13.10 Asar 16.14 Maghrib 19.12 Isyak 20.20
Arab Saudi
Malaysia
SIRIM IQNet SIRIM QAS MPC
Hubungi JAWHAR
Jabatan Wakaf, Zakat & Haji (JAWHAR)
Aras 8-9, Blok D, Kompleks Islam Putrajaya (KIP),
Jalan Tun Abdul Razak, Presint 3,
62100 Putrajaya, Malaysia
Talian Awam
Telefon: +(6) 03-8883 7400
Faks: +(6) 03-8883 7406
Emel: pejabatam[at]jawhar[dot]gov[dot]my
Statistik
Kemaskini Terakhir: 19 Oktober, 2018 @ 4:09 PM
Top