Awam Kerajaan Warga JAWHAR

MAJLIS PELANCARAN BULAN WAKAF KEBANGSAAN TAHUN 202I OLEH YAB PERDANA MENTERI

KUALA LUMPUR, 13 April 2021 – Jabatan Wakaf Zakat dan Haji (JAWHAR), Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) dengan kerjasama Bank Rakyat dan Kenanga Investors Berhad telah menganjurkan Majlis Pelancaran Bulan Wakaf Kebangsaan (BWK) Tahun 2021 yang merupakan program julung kali diadakan. Majlis ini dirasmikan oleh YAB Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin bin Haji Mohd Yassin, Perdana Menteri dan turut diserikan dengan penyampaian ucaptama oleh YB Senator Datuk Dr. Zulkifli bin Mohamad Al-Bakri, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama). Dalam majlis yang sama, Ketua Setiausaha Negara, Ketua-ketua Setiausaha Kementerian, Ketua Jabatan / Agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri wakil-wakil Majlis Agama Islam Negeri, wakil Kenanga Investors Berhad dan Bank Rakyat turut menyertai program ini.

Semasa ucapan perasmian YAB Perdana Menteri dalam Majlis Pelancaran Bulan Wakaf Kebangsaan Tahun 2021 yang bertemakan “Wakaf untuk Kemakmuran Bersama” beliau berkata, Kerajaan mengiktiraf kuasa negeri-negeri dalam aspek pengurusan dan pembangunan hartanah wakaf yang dizahirkan melalui penubuhan Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) pada tahun 2004 dan Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) pada tahun 2008, yang bertujuan menjadi pelengkap kepada usaha Majlis Agama Islam Negeri-negeri. Bagi tujuan ini, penglibatan semua pihak sama ada masyarakat, agensi Kerajaan, syarikat-syarikat berkaitan Kerajaan dapat dioptimumkan demi memperkasakan peranan wakaf dalam usaha membangunkan ekonomi negara. Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) telahpun mengambil inisiatif segera bekerjasama dengan Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) dalam mewujudkan Tabung Wakaf Perkhidmatan Air atau Wakaf Air pada 17 Disember 2020 yang lalu. Kerjasama ini diperluaskan menerusi kerjasama dengan syarikat-syarikat iaitu Kenanga Investors Berhad dengan pewujudan Dana Kenanga Waqf Al-Ihsan dan Bank Rakyat dalam meningkatkan lagi tabungan dana wakaf melalui platform yang disediakan oleh Bank Rakyat.

 

 

 

 

 

 

Tambahnya, dalam usaha menjadikan wakaf sebagai salah satu elemen penting dalam pembangunan ekonomi negara, tanpa menidakkan peranan Majlis Agama Islam Negeri-negeri sebagai pemegang amanah tunggal hartanah wakaf di Malaysia, empat (4) perkara utama perlu diberi perhatian, iaitu:

  1. Pertama, meningkatkan tabungan dana wakaf bagi membolehkan banyak lagi aset wakaf diwujudkan;
  2. Kedua, menjadikan pembangunan hartanah wakaf sebagai satu elemen penting dalam penyediaan pelan pembangunan Rancangan Malaysia Lima (5) tahun negara melalui kerjasama Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji, Yayasan Waqaf Malaysia dan Majlis Agama Islam dengan GLC, GLIC, badan korporat;
  3. Ketiga, memperhebatkan lagi aktiviti pembudayaan dan sosialisasi wakaf ke arah mewujudkan masyarakat celik wakaf; dan
  4. Keempat, YWM khususnya perlu diperkasa sama ada dalam bentuk suntikan dana atau pertambahan bakat supaya dapat benar-benar menjadi contoh teladan pentadbiran wakaf yang terkehadapan di peringkat antarabangsa. Institusi-institusi berkaitan wakaf di Malaysia boleh menawarkan kepakaran serta model amalan terbaik kepada negara-negara Islam yang lain dalam usaha mengembalikan kegemilangan wakaf.

Menerusi majlis ini juga, Ketua Pegawai Eksekutif YWM, Prof. Madya Dr. Amir bin Shaharuddin telah menerima replika cek Geran Sepadan Wakaf Tunai berjumlah RM1,000,000.00 di mana bagi setiap ringgit yang disumbangkan oleh pewakaf individu ke platform yang disediakan oleh Bank Rakyat, Bank Rakyat akan mewakafkan nilai yang sama kepada Dana Wakaf Tunai ini dan RM50,000.00 Dana Permulaan Wakaf Tunai daripada Encik Nizam Sani, Ketua Pemasaran dan Komunikasi Bank Rakyat. Manakala Encik Ismitz Matthew De Alwis, Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Kenanga Investors Berhad telah menyerahkan Prospektus Dana Kenanga Waqf Al-Ihsan kepada YWM.

Pelancaran Bulan Wakaf Kebangsaan Tahun 2021 ini telah disiarkan melalui saluran 114 TV Alhijrah dan Facebook Live TV Alhijrah. Statistik penonton FB Live yang telah dicatatkan adalah seramai 26,000 orang dan lebih daripada 80 orang Ketua Jabatan/Agensi di peringkat persekutuan dan negeri mengikuti program menerusi atas talian (aplikasi Google Meet). Bersempena kemuliaan bulan Ramadhan, BWK 2021 ini turut disambut baik oleh Majlis Agama Islam Negeri-negeri menerusi penganjuran aktiviti bulan wakaf seperti Program Penyerahan Katil Wakaf Menerusi Wakaf Kesihatan, Program Gotong-Royong Kawasan Tanah Perkuburan Wakaf, Program Bantuan Prihatin, Program Penerimaan dan Pengurusan Pewakafan Tanah, Program Menyantuni Pewakaf Korporat dan Persendirian, Program Penyerahan Mesin Hemodialisis Wakaf dan Program Cakna Komuniti.

Pekeliling Am Bil. 1 Tahun 2020 Potong Gaji untuk Wakaf.pdf

 

 

 

 

 

Waktu Solat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur & Sewaktu Dengannya

Imsak 5.46 Subuh 5.56 Syuruk 07.09 Zohor 13.22 Asar 16.47 Maghrib 19.30 Isyak 20.45
Arab Saudi
Malaysia
Hubungi JAWHAR
Jabatan Wakaf, Zakat & Haji (JAWHAR)
Aras 8-9, Blok D, Kompleks Islam Putrajaya (KIP),
Jalan Tun Abdul Razak, Presint 3,
62100 Putrajaya, Malaysia
Talian Awam
Telefon: +(6) 03-8883 7400
Faks: +(6) 03-8883 7406
Emel: pejabatam[at]jawhar[dot]gov[dot]my
Statistik
Kemaskini Terakhir: 14 September, 2021 @ 5:31 PM
Top