LAWATAN RASMI DELEGASI DARI THE ASIA FOUNDATION, AFGHANISTAN KE JAWHAR
Putrajaya, 6 April 2012 – Seramai 20 orang delegasi dari The Asia Foundation, Afghanistan telah mengadakan lawatan rasmi ke Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR). Lawatan ini merupakan salah satu aktiviti yang dianjurkan oleh The Asia Foudation di bawah Afghanistan Traditional Leaders Discovery Project ke Malaysia yang bermula pada 1 April 2012.
Ketibaan delegasi Afghanistan ke JAWHAR pada jam 9.20 pagi disambut oleh pegawai-pegawai JAWHAR. Majlis bermula pada pukul 9.30 pagi dengan ucapan ‘Selamat Datang’ oleh Cik Norfadhilah Abdullah, selaku Pengacara Majlis. Seterusnya, YBrs. Encik Khalid Mohamed, Timbalan Ketua Pengarah JAWHAR dalam ucapan aluannya mengucapkan terima kasih kepada semua delegasi Afghanistan di atas kesudian mengadakan lawatan rasmi ke JAWHAR dan menerangkan serba sedikit mengenai fungsi JAWHAR. Ucapan balas dari Ketua Delegasi Afghanistan disampaikan oleh Mr. Mohammad Qasim Halimi, Penasihat Kanan, The Asia Foundation. Di dalam ucapannya, beliau mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada JAWHAR di atas layanan baik yang diberikan dan memaklumkan bahawa di antara objektif program lawatan tersebut ialah bagi mengumpul maklumat dan mempelajari kaedah pengurusan haji oleh Malaysia.
Peserta lawatan ini kemudiannya telah dipertontonkan dengan tayangan video korporat JAWHAR bagi menunjukkan dengan lebih jelas mengenai fungsi dan aktiviti-aktiviti JAWHAR. Seterusnya, taklimat bagi menerangkan dengan lebih lanjut mengenai JAWHAR telah disampaikan oleh Encik Ahmad Azhan bin Mohd Noh, Pengarah Bahagian Haji. Pelbagai maklumat dikongsi dan dibincang bersama terutamanya mengenai pembangunan projek-projek waqaf oleh JAWHAR dan hal ehwal pengurusan haji di Malaysia. Wakil delegasi Afghanistan menyatakan rasa kagum dengan pencapaian Malaysia dalam pembangunan projek-projek wakaf dan pengurusan jemaah haji.
Majlis diakhiri dengan penyampaian cenderahati oleh kedua-dua pihak. Wakil delegasi Afghanistan telah menyerahkan cenderahati berupa dua helai jubah istimewa yang dikenali sebagai chapan dan disarungkan kepada YBrs. TKP JAWHAR dan Encik Ahmad Azhan Mohd Noh sebagai simbolik lawatan ini.