LAWATAN PEMANTAUAN PROJEK WAKAF DI PULAU PINANG
Lawatan Kerja Ketua Pengarah bulan September telah diadakan pada 22 dan 23 September 2016 di 2 projek pembangunan hartanah wakaf JAWHAR di Pulau Pinang iaitu Projek Pembinaan Kediaman Pangsapuri di Teluk Air Tawar Butterworth dan di Sungai Nibong Pulau Pinang.
Tujuan lawatan ini adalah memastikan supaya pelaksanaan projek ini berjalan dengan lancar mengikut jadual seperti yang dirancangkan. Lawatan kerja ini dihadiri sama oleh pegawai daripada JKR CKBA, JKR Pulau Pinang, Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAINPP), JAWHAR, ICU Pulau Pinang dan Kontraktor.
Berdasarkan pemantauan, JAWHAR dan JKR sentiasa memperingatkan kedua-dua kontraktor berkenaan supaya meningkatkan jumlah pekerja di tapak mengikut keperluan semasa disamping memastikan bekalan bahan binaan mencukupi selari dengan jadual pelaksanaan kerja.
Pada masa yang sama, JAWHAR meminta pihak JKR supaya terus membuat pemantauan dengan lebih rapi disamping memberi panduan dan bimbingan dengan lebih jelas kepada pihak kontraktor bagi melaksanakan kerja dengan lancar dan teratur untuk memastikan projek ini dapat disiapkan mengikut jadual.