Awam Kerajaan Warga JAWHAR

Lawatan Kerja Fasa 2 Bahagian MAL ke MAIN

Program Lawatan Kerja Bahagian Mal, Jabatan Wakaf, Zakat & Haji (JAWHAR) ke Majlis Agama Islam Negeri-Negeri (MAIN) Fasa Kedua telah berlangsung dengan jayanya bermula 10 sehingga 12 September 2007 dengan disertai oleh 5 orang pegawai daripada Bahagian ini. Tujuan utama kunjungan tersebut adalah:

i. Mendapatkan maklumat mengenai pelaksanaan pengurusan harta mal/sumber am di negeri-negeri bagi tujuan merancang bentuk pembangunan dan penyelarasan;

ii. Meneliti dan mengkaji secara kasar peranan yang dimainkan oleh pihak Majlis dalam pengurusan dan pembangunan mal/harta sumber am;

iii. Membuat perincian kepada sistem dan prosedur dalaman MAIN mengenai urusan mal;

iv. Mengenalpasti ruang dan peluang yang boleh diterokai bagi membangunkan mal/harta sumber am; dan

v. Mendapatkan maklumat-maklumat lain seperti dokumen-dokumen yang berkaitan (sekiranya ada) yang juga akan digunakan sebagai input tambahan.

Bahagian Mal merupakan sebuah bahagian baru di JAWHAR. Justeru itu, adalah menjadi tanggungjawab Bahagian ini untuk mengenali dengan lebih dekat Bahagian Sumber Am di MAIN yang merupakan faktor utama kewujudan Bahagian Mal di JAWHAR. Fungsi utama Bahagian Mal tidak lain adalah untuk membantu memantapkan tadbir urus terbaik Bahagian Sumber Am MAIN ini selaras dengan misi Jabatan agar taraf sosio-ekonomi ummah dapat dipertingkatkan.

Pada Lawatan Kerja ke Majlis Agama Islam Negeri-Negeri Fasa Kedua ini, Bahagian Mal telah melawat sebanyak tiga buah MAIN terdiri daripada Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS), Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) dan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk). Kunjungan buat pertama kalinya ini disambut baik oleh ketiga-tiga MAIN dan pelbagai info yang berguna dari setiap negeri ini boleh dimanfaatkan sebagai perancangan untuk pelaksanaan pembangunan oleh JAWHAR bagi memperkasakan MAIN di masa hadapan.

Lawatan kerja ke MAINS pada 10 September 2007 telah dipengerusikan oleh Encik Kamal Amran bin Kamarudin iaitu Setiausaha MAINS sendiri dan dibantu oleh para pegawainya. MAINS merupakan salah sebuah MAIN yang interaktif kerana telah berjaya menghasilkan suatu sistem online iaitu Sistem MOLEK serta telah mempunyai beberapa agensi dan anak syarikat terdiri daripada Mains Holdings Sdn. Bhd., Pusat Zakat, Hospital Pakar, Klinik Wakaf An Nur, Pusat Kaunseling dan Perbadanan Wakaf Negeri Sembilan.

Pada 11 September 2007, lawatan kerja diteruskan pula ke MAIM di mana satu mesyuarat yang diadakan untuk menyambut rombongan daripada JAWHAR telah dipengerusikan oleh Tuan Haji Abdul Halim bin Tawil, iaitu Setiausaha MAIM sendiri. Pelbagai info telah dapat dikumpul termasuklah urusan tebus pusaka serta agihan bantuan kepada fakir miskin yang sedang giat diusahakan oleh MAIM ketika ini.

Seterusnya, pada 12 September 2007 yang merupakan hari terakhir bagi program lawatan kerja MAIN fasa kedua ini telah dilaksanakan di Majlis Agama Islam Negeri Perak (MAIPk) dan disambut mesra oleh Ustaz Mohd Haidi Bin Sulaiman (Ketua Penolong Setiausaha Majlis Agama Islam Perak) bersama beberapa pegawai sumber am yang berkenaan. Pelbagai isu dan pandangan yang bernas telah dikemukakan oleh MAIPk dan memerlukan perhatian dan tindakan oleh pihak JAWHAR selanjutnya di masa hadapan.

Berdasarkan maklumat yang diperolehi semasa Lawatan Kerja Bahagian Mal ke Majlis Agama Islam Negeri-Negeri Fasa Kedua didapati bahawa terdapat beberapa isu dan pandangan yang perlu diambil perhatian termasuklah :

i. Kesukaran mengendalikan kerja-kerja pembangunan di peringkat negeri lantaran kekangan tenaga kerja yang terhad;

ii. Dana yang terhad menyukarkan proses pembangunan di peringkat negeri; dan

iii. Cadangan membangunkan sistem integrasi secara online antara MAIN dan agensi-agensi persekutuan.

Tarikh : 10/9/2007
Sumber : Bahagian Mal
Editor :Bahagian Mal

Waktu Solat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur & Sewaktu Dengannya

Imsak 5.34 Subuh 5.44 Syuruk 07.04 Zohor 13.06 Asar 16.28 Maghrib 19.03 Isyak 20.17
Arab Saudi
Malaysia
SIRIM IQNet SIRIM QAS MPC
Hubungi JAWHAR
Jabatan Wakaf, Zakat & Haji (JAWHAR)
Aras 8-9, Blok D, Kompleks Islam Putrajaya (KIP),
Jalan Tun Abdul Razak, Presint 3,
62100 Putrajaya, Malaysia
Talian Awam
Telefon: +(6) 03-8883 7400
Faks: +(6) 03-8883 7406
Emel: pejabatam[at]jawhar[dot]gov[dot]my
Statistik
Kemaskini Terakhir: 2 Disember, 2020 @ 8:56 AM
Top