Awam Kerajaan Warga JAWHAR

LAWATAN DELEGASI NATIONAL POVERTY ERADICATION PROGRAM (NAPEP)KE JAWHAR

21 Disember 2012 – Seramai sembilan orang anggota National Poverty Eradication Program (NAPEP) dari Nigeria telah mengadakan lawatan ke Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR).

Rombongan mereka tiba di JAWHAR pada jam 9:00 pagi dan disambut oleh urusetia dan dibawa ke Bilik Gerakan JAWHAR. YBhg. Tuan Haji Muaz bin Hj Zawawi, Timbalan Ketua Pengarah JAWHAR telah menyampaikan ucapan alu-aluan sambil mengucapkan selamat datang kepada semua anggota delegasi yang datang ke Malaysia bagi mempelajari pengalaman dan pendekatan Malaysia berkaitan usaha-usaha membasmi kemiskinan melalui mekanisme yang relevan. Rombongan mereka diketuai oleh Mr. Zakariyya Mu’az Gombe. Mereka turut diiringi oleh empat orang pegawai Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) diketuai oleh Prof. Dr. Aslam Haneef, pensyarah di Kulliyyah Ekonomi dan Sains Pengurusan.

Agenda dimulakan dengan pembentangan dari Unit Perancangan Ekonomi yang disampaikan oleh Encik Muhammad Idris. Beliau telah membentangkan dasar ekonomi baru Malaysia dan juga Rancangan Malaysia Pertama sehinggalah Rancangan Malaysia Kesepuluh.

Agenda seterusnya ialah tayangan video korporat JAWHAR yang memberikan banyak maklumat berkaitan sejarah, visi, misi, bidang teras dan pencapaian JAWHAR hingga ke saat ini. Kemudian Tuan Hj Muaz bin Hj Zawawi menyampaikan penerangan dan maklumat berkaitan aktiviti JAWHAR yang telah dilaksanakan sejak dahulu hinga kini. Menurut beliau, apa yang dilaksanakan JAWHAR merupakan pendekatan baru dalam bidang wakaf dan hasilnya amat berjaya di mana masyarakat kini telah mendapat kesedaran dan pencerahan baru berkaitan bidang wakaf. Secara tradisi, wakaf hanyalah satu produk agama yang tidak berdaya saing dan lesu kerana tanah wakaf hanya digunakan untuk mendirikan masjid, surau, tanah kubur dan sekolah agama sahaja. Senario ini berubah apabila para ulama’ berijtihad bahawa tanah wakaf boleh dikomersialkan agar dapat memberikan kuntungan kepada ummah secara berganda. Hasilnya, terbinalah projek-projek fizikal wakaf yang berdaya saing seperti Kompleks Pendidikan, Pusat Perlindungan Wanita, Pusat Dialisis, Asrama Anak Yatim, rumah kedai, Pusat Kegiatan Saudara Baru dan hotel-hotel bertaraf bintang, maka masyarakat kini telah sedar bahawa tanah wakaf juga boleh dibangunkan dengan projek-projek komersial yang amat menguntungkan. Manfaatnya dinikmati oleh semua umat Islam tanpa mengira taraf hidup.

Dalam sesi ini juga Encik Ahmad Azhan Mohd Noh, Pengarah Bahagian Haji JAWHAR telah menyampaikan penerangan berkaitan perlembagaan yang menetapkan bahawa perkara berkaitan hal ehwal Islam adalah terletak di bawah urusan negeri masing-masing melalui Majlis Agama Islam Negeri (MAIN). Peranan JAWHAR adalah untuk menyelaras, memantau, membantu dan menyeragamkan pengurusan harta wakaf, zakat dan baitulmal agar lebih sistematik, mantap dan berkesan.

Pengerusi juga memberi penerangan berkenaan projek-projek fizikal wakaf yang telah dan sedang dilaksanakan di seluruh negara dengan kerjasama beberapa buah MAIN. Setakat ini, terdapat empat buah hotel wakaf yang mana tiga daripadanya telah beroperasi dan sebuah lagi sedang giat disiapkan. Tiga buah hotel tersebut ialah Hotel Pantai Puteri, Tanjung Kling, Melaka; Klana Beach Resort, Port Dickson, Negeri sembilan dan Hotel Seri Warisan, Taiping, Perak. Hotel wakaf yang hampir siap ialah Hotel Wakaf Kuala Terengganu yang dibina berhampiran Pasar Besar Payang dan Masjid Abidin (Masjid Putih).

 Selain itu beliau turut memberikan penerangan tentang kejayaan projek-projek pembangunan yang dilaksanakan oleh JAWHAR di atas tanah wakaf seperti Kompleks Pendidikan Al-Masshoor Al-Islami, Balik Pulau, Pulau Pinang; Pusat Hemodialisis, Batu Pahat, Johor; Asrama Anak Yatim, Derga, Alor Setar, Kedah; Asrama Pelajar, Besut, Terengganu; Asrama Anak Yatim, Machang, Kelantan; Pusat Perlindungan Wanita, Perling, Johor Bahru, Johor; dan Pusat Kegiatan Saudara Baru Muslim, Seremban, Negeri Sembilan.

Sesi soal jawab berlangsung dalam suasana penuh harmoni dan mesra. Pihak NAPEP amat teruja dengan kejayaan Malaysia dalam memaju dan mentranformasikan bidang wakaf. Mereka juga berasa kagum terhadap keadaan ekonomi Malaysia yang makmur, stabil dan berdaya saing.

Di akhir majlis, pihak JAWHAR telah menyampaikan cenderamata sebagai tanda kenang-kenangan kepada delegasi NAPEP. Majlis lawatan berakhir pada jam 12:00 tengahari dan disudahi dengan sesi fotografi dan jamuan makan.

Waktu Solat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur & Sewaktu Dengannya

Imsak 5.34 Subuh 5.44 Syuruk 07.04 Zohor 13.06 Asar 16.28 Maghrib 19.03 Isyak 20.17
Arab Saudi
Malaysia
SIRIM IQNet SIRIM QAS MPC
Hubungi JAWHAR
Jabatan Wakaf, Zakat & Haji (JAWHAR)
Aras 8-9, Blok D, Kompleks Islam Putrajaya (KIP),
Jalan Tun Abdul Razak, Presint 3,
62100 Putrajaya, Malaysia
Talian Awam
Telefon: +(6) 03-8883 7400
Faks: +(6) 03-8883 7406
Emel: pejabatam[at]jawhar[dot]gov[dot]my
Statistik
Kemaskini Terakhir: 2 Disember, 2020 @ 8:56 AM
Top