Awam Kerajaan Warga JAWHAR

KONVENSYEN BAITULMAL KEBANGSAAN & SAMBUTAN BULAN ZAKAT KEBANGSAAN 2018

PUTRAJAYA, 27 November 2018 – Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) telah berjaya menganjurkan program Konvensyen Baitulmal Kebangsaan dan Sambutan Bulan Zakat Kebangsaan 2018 pada 27 November 2018 (Selasa) bertempat di Dewan Mesmera Hotel Everly Putrajaya. Program ini merupakan anjuran JAWHAR dengan kerjasama semua Majlis Agama Islam Negeri (MAIN), Agensi Mengurus Zakat (AMZ) seluruh Malaysia dan Islamic Banking and Finance Institute Malaysia (IBFIM).

Konvensyen Baitulmal Kebangsaan merupakan program kali keempat  yang dilaksanakan dua tahun sekali dengan tema ‘Baitulmal Meneguh Sosio Ekonomi Menebar Rahmat Lil-Alamin’ manakala  Sambutan Bulan Zakat Kebangsaan 2018 pada tahun ini merupakan program kali ke-11 yang dilaksanakan oleh JAWHAR sejak tahun 2008 lagi melibatkan para peserta yang terdiri daripada para pegawai baitulmal, amil dan asnaf zakat, pegawai kerajaan, agensi swasta, bank,  institusi pengajian tinggi  awam dan swasta dari seluruh Malaysia.

 

 

 

 

 

Konvensyen Baitulmal Kebangsaan 2018  telah dimulakan dengan Sesi Pembentangan 1 dengan tajuk “Keberdayaan Baitulmal dalam Menangani Permasalahan Sosioekonomi Ummah” yang telah disampaikan oleh YBhg. Prof. Dato’ Dr. Mohammad Haji Alias, Felo Utama Fakulti Ekonomi dan Muamalat Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). Kemudian, program ini diteruskan lagi dengan Sesi Pembentangan 2 dengan tajuk “Penggunaan Produk Kewangan Islam Masa Kini Dalam Pelaburan Harta Baitulmal” yang telah dibentangkan oleh Ustaz Mohd Nazri Bin Chik, Ketua Pegawai Syariah Kumpulan Bank Islam Malaysia Berhad.

 

 

 

 

 

 

 

Seterusnya, Majlis Perasmian Konvensyen Baitulmal Kebangsaan dan Pelancaran Sambutan Bulan Zakat Kebangsaan 2018 telah disempurnakan oleh YB Puan Hajjah Fuziah binti Salleh, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada jam 12.00 tengah hari. Serentak dengan majlis perasmian ini, turut diadakan Penyampaian Anugerah Zakat Kebangsaan 2018.

 

Pemberian Anugerah Zakat Kebangsaan adalah bagi menghargai jasa dan komitmen semua pihak yang terlibat dalam urusan zakat.  YB Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri  telah menyampaikan Anugerah Zakat Kebangsaan 2018 kepada lapan penerima yang telah dipilih oleh Jawatankuasa Anugerah Zakat Kebangsaan iaitu:

  • Anugerah Ikon Asnaf Kebangsaan 2018 (Kategori Akademik) diberikan kepada Puan Jaharatul Dini Karen Lee Binti Abdullah, pencalonan daripada Lembaga Zakat Selangor (MAIS);
  • Anugerah Ikon Asnaf Kebangsaan 2018 (Kategori Usahawan) diberikan kepada Encik Zaidi Bin Omar, pencalonan daripada Majlis Agama Islam Melaka (MAIM);
  • Anugerah Ikon Asnaf Kebangsaan 2018 (Kategori Usahawan Khas) diberikan kepada Encik Abdul Karim Bin Mohamed, pencalonan daripada Majlis Agama Islam Johor (MAIJ);
  • Anugerah Zakat Kebangsaan 2018 (Kategori Syarikat Awam Berhad) diberikan kepada KPJ Healthcare Berhad, pencalonan daripada Lembaga Zakat Selangor (MAIS)
  • Anugerah Zakat Kebangsaan 2018 (Kategori Syarikat GLC) diberikan kepada Technology Park Malaysia Corporation Sdn. Bhd. pencalonan daripada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP);
  • Anugerah Zakat Kebangsaan 2018 (Kategori Syarikat Sendirian Berhad) diberikan kepada YP Maintenance Sdn. Bhd., pencalonan daripada Pusat Kutipan Zakat Pahang (PKZ);
  • Anugerah Inovasi Zakat Terbaik 2018 (Kategori Kutipan) diberikan kepada Pusat Zakat Negeri Sembilan (PZNS); dan
  • Anugerah Inovasi Zakat Terbaik 2018 (Kategori Agihan) diberikan kepada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK).

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Pada sebelah petang, program ini diteruskan lagi dengan dua  sesi pembentangan dan perkongsian daripada Universiti Utara Malaysia (UUM)  dan  Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) iaitu:

  • “Potensi Penggunaan Teknologi Blockchain dalam Pengurusan / Transformasi Institusi Baitulmal” yang telah dibentangkan oleh YBhg. Prof. Dr. Suhaidi Hassan, Pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM); dan
  • “Peranan Zakat Dalam Pemulihan Asnaf Riqab:Pengalaman Majlis Agama Islam Selangor” yang telah dibentangkan oleh Ustazah Hafizatul Akmal Binti Abdul Jalil, Pengurus Bahagian Pemulihan Ar-Riqab Sektor Pembangunan Sosial Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).

 

 

 

 

 

 

 

Program ini telah berakhir dengan penyampaian sijil kepada para peserta  yang berjumlah lebih kurang 350 orang dan majlis jamuan ringan. Harapan JAWHAR  agar program ini dapat mempromosikan produk-produk asnaf yang telah disumbangkan oleh sebahagian Majlis Agama Islam Negeri-negeri kepada para peserta dan juga  Sambutan Bulan Zakat Kebangsaan 2018 yang telah dilancarkan  sebagai manifestasi bukti kejayaan hasil usaha yang tidak kenal jemu oleh pihak institusi zakat untuk mentransformasikan golongan asnaf supaya dapat berjaya dan keluar daripada kepompong kemiskinan dan menggalakkan masyarakat agar tetap terus menyokong untuk berzakat kepada institusi-institusi  zakat di negara ini.

Waktu Solat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur & Sewaktu Dengannya

Imsak 05.54 Subuh 06.04 Syuruk 07.19 Zohor 13.25 Asar 16.31 Maghrib 19.27 Isyak 20.36
Arab Saudi
Malaysia
SIRIM IQNet SIRIM QAS MPC
Hubungi JAWHAR
Jabatan Wakaf, Zakat & Haji (JAWHAR)
Aras 8-9, Blok D, Kompleks Islam Putrajaya (KIP),
Jalan Tun Abdul Razak, Presint 3,
62100 Putrajaya, Malaysia
Talian Awam
Telefon: +(6) 03-8883 7400
Faks: +(6) 03-8883 7406
Emel: pejabatam[at]jawhar[dot]gov[dot]my
Statistik
Kemaskini Terakhir: 27 Mac, 2019 @ 8:15 AM
Top