Awam Kerajaan Warga JAWHAR

Kepentingan Sistem Ekonomi Islam Terhadap Masyarakat

Islam adalah sebuah cara hidup yang paling lengkap di atas muka bumi Allah dan agama yang paling layak dianuti hanyalah Agama Islam. Manusia diturunkan ke muka bumi ini untuk menjadi khalifah bagi membangun dan memakmurkan bumi ini dengan mengikuti peraturan dan kehendak yang telah ditetapkan oleh Pencipta Alam ini. Segala apa yang berlaku di bumi ini adalah mengikut aturan yang telah ditetapkan oleh Allah SWT. Namun begitu, ada dikalangan manusia yang sering melanggar peraturan dan ketetapan ini hingga sampai merosakkan bumi mengikut hawa nafsu mereka. Segala kegiatan perekonomian yang berlaku di dunia ini juga mengikut ketetapan dari Ilahi. Segala harta yang ada pada manusia adalah anugerah dari Yang Maha Kuasa. Manusia dipinjamkan sedikit sahaja harta di dunia untuk dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya. Setiap harta yang dimiliki ini akhirnya akan dihitung dan disoal oleh Allah SWT kelak untuk dipertanggungjawabkan.

Kegiatan perekonomian amat penting untuk membawa manusia kepada satu cara hidup yang tersusun. Maksud ekonomi yang berasal daripada bahasa greek iaitu [aikos] yang bermaksud ‘rumah’, dan [nemo], yang bermaksud ‘peraturan’, (iaitu pengurusan rumah tangga) merupakan satu cabang sains sosial yang mengkaji pembahagian sumber yang terhad untuk memenuhi keperluan manusia. Perkara ini termasuk kajian mengenai pengeluaran dan penggunaan melalui pembolehubah yang dapat diukur meliputi analisa pengeluaran, pengedaran dan penggunaan barang dan perkhidmatan.

Sistem Ekonomi yang diguna pakai kebanyakan masyarakat di zaman ini adalah sistem yang tidak berteraskan syariat Islam iaitu sistem ekonomi konvensional ataupun lebih dikenali dengan nama sistem Kapitalis. Terdapat pelbagai lagi sistem yang tidak mengikut syariat seperti sosialisme dan komunisme. Sistem kapitalis inilah yang paling meluas di gunakan pada masakini. Sistem ekonomi ini juga dikenali sebagai sistem perusahaan bebas. Melalui sistem ini, setiap individu adalah berhak untuk menggunakan dan mengawal barang-barang ekonomi yang diperolehinya, mencegah orang lain daripada menggunakan barang itu dan memutuskan bagaimana barang-barang itu perlu digunakan selepas kematian. Di dalam hal ini, setiap individu mahupun organisasi adalah bebas untuk mengaut segala hasil ataupun keuntungan dengan menggunakan apa jua cara sekalipun sama ada mengikut peraturan atau tidak.

Sebelum ini telah dinyatakan berkenaan pemahaman asas mengenai ekonomi dan salah satu sistem yang digunakan pada masa kini iaitu sistem Kapitalis. Adakah tidak ada sistem lain yang patut digunakan atau diamalkan? Kita telah diajar dengan pelbagai pelajaran dan pengajaran berpandukan Al-Quran dan As-Sunnah. Umat  Islam dibangkitkan di dunia ini adalah untuk memakmurkan muka bumi ini dengan mengikut segala batas dan peraturan yang telah ditetapkan dan ianya menetapi nilai-nilai murni dalam masyarakat. Pada zaman Rasulullah SAW, baginda telah melaksanakan sistem ekonomi Islam untuk memaju dan membangunkan kerajaan Islam pada masa itu. Sistem ekonomi Islam yang Baginda gagaskan telah menjatuhkan sistem-sistem lain yang digunakan di mana kebanyakannya menindas manusia dan mengkayakan golongan-golongan tertentu sahaja. Sudah Telah terbukti inilah satu sistem ekonomi terbaik yang telah Baginda SAW tunjukkan pada kita dan sewajibnya umat Islam pada masa ini mengamalkan sistem ekonomi yang berlandaskan syariat Islam.

Ekonomi Islam bermaksud satu ilmu yang mempelajari perilaku ekonomi manusia yang diatur berdasarkan syariat Islam yang berlandaskan Al-Quran dan As-Sunnah serta didasari dengan keimanan. Seain daripa sistem yang mengikut syariat Islam, pengamalnya sendiri mestilah mereka yang mempunyai integriti,kredibiliti, keimanan dan ketakwaan yang tinggi. Tuntutan untuk melaksanakan ekonomi mengikut ajaran Islam adalah sangat penting kerana Islam adalah cara hidup bagi umat manusia yang menyatukan kehendak-kehendak kebendaan dan rohani manusia. Dua tokoh penting yang sering disebut sebagai bapa ekonomi Islam ialah Ibnu Taymiyah (1262-1328 masihi) dan Ibnu Khaldun (1332-1406 masihi).

Asas-asas ekonomi Islam terkandung di dalam Al-Quran dan juga As-Sunnah Rasullullah SAW. Daripada sumber-sumber inilah para ulama’ dan ahli ekonomi Islam telah mengeluarkan dan mengetengahkan beberapa prinsip penting di dalam sistem ekonomi Islam. Prinsip-prinsip utama telah di rumus seperti berikut:

  • Kesatuan (unity)
  • Keseimbangan (equilibrium)
  • Kebebasan (free will)
  • Tanggungjawab (responsibility)

Islam amat menitik berat soal keadilan dalam semua perkara, dengan mengharamkan segala bentuk penindasan, amalan riba, penipuan, rasuah, monopoli yang tidak seimbang, manipulasi pasaran dan segala bentuk penyelewengan atau perkara-perkara yang menzalimi dan merugikan pihak-pihak tertentu. Allah telah berfirman di dalam Al-Quran Surah An-Nisa’ ayat 29 yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi, dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu, dan janganlah kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa mengasihani kamu.”

Salah satu cara yang terbaik untuk diamalkan oleh masyarakat Islam bagi meningkatkan taraf hidup dan ekonomi ialah melalui bidang perniagaan. Pelaksanaannya perniagaan haruslah mengikut batas-batas syariat dan juga mengikut acuan sistem ekonomi Islam. Nabi SAW pernah bersabda:

“Sembilan persepuluh punca rezeki itu adalah melalui bidang perniagaan.” – ( Riwayat Abu said bin Mansur)

Ekonomi Islam dapat menjana pelbagai hasil dan ianya melengkapi keperluan dan kehendak bagi memenuhi kemaslahatan masyarakat. Hasil yang diperolehi dapat menjana ekonomi sesebuah masyarakat, kerajaan ataupun organisasi. Allah telah menjadikan bumi ini tempat untuk manusia meneroka dan mengeksploitasi segala sumbernya. Sumber-sumber seperti petroleum, gas, ternakan, pertanian, semua hasil bumi dan pelbagai sumber lain yang diperolehi mestilah digunakan dan disalurkan dengan mengikut peraturan yang telah ditetapkan oleh Allah SWT. Penggunaan sumber-sumber ini adalah salah satu daripada proses pelaksanaan dan pembangunan ekonomi.

Banyak manfaat dan kelebihan yang masyarakat akan dapat nikmati melalui pengamalan sistem ekonomi Islam dan seterusnya mengenepikan sistem konvensional yang menindas masyarakat dan cuma menguntungkan pihak-pihak tertentu sahaja. Oleh itu, menjadi tanggungjawab kita sebagai umat Islam bagi melaksanakan dan menjalankan kegiatan ekonomi berteraskan syariat Islam dan dapat menunjukkan bahawa Islam ini sebagai satu cara hidup yang terbaik untuk manusia.

Melaksanakan sistem ekonomi Islam adalah salah satu tuntutan dalam syariat Islam. Ianya sangat penting bagi meningkatkan sosio ekonomi umat Islam khususnya dan umat manusia umumnya. Dengan terlaksananya sistem ekonomi Islam, maka kehidupan manusia akan lebih tersusun dan terjamin tanpa ada sebarang penindasan dari pihak yang tidak bertanggungjawab. Islam akan menjamin kehidupan umat Islam dan juga bukan Islam. Oleh itu, marilah kita sama-sama melaksanakan tuntutan ini dengan membuat perubahan ke arah yang lebih baik dan betapa pentingnya untuk kita melaksanakan sistem ekonomi berteraskan tuntutan syariat.

Penulis :   Abdul Hafiz Bin Alis

Bahagian Penyelidikan Dan Penyelarasan
Jabatan Wakaf, Zakat Dan Haji (Jawhar)
Jabatan Perdana Menteri.

About exploring my familys cultural http://pro-essay-writer.com/ roots because it is a method to

Waktu Solat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur & Sewaktu Dengannya

Imsak 5.30 Subuh 5.40 Syuruk 06.56 Zohor 13.00 Asar 16.19 Maghrib 18.59 Isyak 20.09
Arab Saudi
Malaysia
SIRIM IQNet SIRIM QAS MPC
Hubungi JAWHAR
Jabatan Wakaf, Zakat & Haji (JAWHAR)
Aras 8-9, Blok D, Kompleks Islam Putrajaya (KIP),
Jalan Tun Abdul Razak, Presint 3,
62100 Putrajaya, Malaysia
Talian Awam
Telefon: +(6) 03-8883 7400
Faks: +(6) 03-8883 7406
Emel: pejabatam[at]jawhar[dot]gov[dot]my
Statistik
Kemaskini Terakhir: 27 November, 2020 @ 11:47 AM
Top