Awam Kerajaan Warga JAWHAR

ILMU PEMANGKIN KELANCARAN DAN KESEMPURNAAN IBADAH HAJI

Putrajaya, 12 September 2013 – Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) sekali lagi telah berjaya menganjurkan program JAWHAR Intellectual Discourse (JID) bagi tahun 2013. Program ini yang merupakan kali ketiga seumpamanya diadakan pada tahun ini telah dirasmikan oleh Timbalan Ketua Pengarah JAWHAR, Yang Berusaha Tn. H.j Muaz bin Hj. Zawawi. Mengambil kesempatan sempena bulan Haji ini, program JID kali ini diadakan dengan tema “Ilmu Pemangkin Kelancaran dan Kesempurnaan Ibadah Haji ”.

 

YBhg. Timbalan Ketua Pengarah JAWHAR dalam ucapan perasmiannya menekankan mengenai kepentingan ilmu dan keperluannya sebagai bekalan oleh bakal-bakal haji kerana dengan ilmu sahajalah sesuatu ibadah akan mencapai kesempurnaan yang mana kesempurnaan merupakan syarat untuk mencapai kemabruran ibadah haji itu sendiri. Beliau juga percaya bahawa kebanyakan bakal-bakal haji sudah menghadiri kursus-kursus yang disediakan oleh Lembaga Tabung Haji dan JID JAWHAR ini hanya merupakan platform untuk mendapat ilmu tambahan bagi memantapkan lagi pemahaman para peserta. Beliau juga mengingatkan para peserta sama ada yang akan ke Mekah atau mempunyai saudara yang bakal berangkat menunaikan haji agar dapat menyampaikan ilmu yang diperoleh daripada JID ini. “ Ibadah haji perlukan mujahadah dan kesungguhan untuk melaksanakannya kerana ibadah ini sukar untuk diulang kerana ia membabitkan perbelanjaan yang tinggi dan juga kuota negara.” Demikian antara ucapan beliau. Oleh itu beliau suka agar semua peserta mengambil manfaat yang ada bagi menambah ilmu di dada. Sebelum beliau merasmikan JID pada kali ini beliau sempat merakamkan ucapan selamat berangkat menunaikan haji kepada para peserta bakal-bakal haji musim haji 2013 ini.

Dua kertas kerja telah dibentangkan oleh panel jemputan pada kali ini iaitu Ustaz Haji Mahamad bin Che Ngah, Pengurus Bahagian Haji Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd. dan Yang Berbahagia Dato’ Hj. Md. Daud bin Che Ngah, Pengerusi Eksekutif Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd.

 

Kertas kerja yang pertama bertajuk “Konsep, Kefarduan dan Cara Pelaksanaan Haji Bagi Mencapai Kesempurnaan Ibadah” telah disampaikan oleh Us. Hj. Mahamad bin Che Ngah. Beliau mengupas kertas kerja ini secara menyeluruh dan lebih menekankan tentang tawaf yang merupakan satu daripada rukun haji yang mempunyai pelbagai syarat bagi ibadah haji seseorang itu sah. Kepentingan tawaf dikupas dengan panjang lebar kerana pelbagai masalah dijangka bakal timbul ekoran pelaksanaan kerja-kerja pembesaran kawasan tawaf di Mekah yang menyebabkan kawasan tawaf yang ada sekarang menjadi terhad.

 

Kertas kerja kedua pula dibentangkan oleh penceramah haji terkenal negara iaitu Dato’ Us. Hj. Md. Daud bin Che Ngah dengan tajuk “Perkongsian Maklumat: Permasalahan-permasalahan Ibadah Jemaah Haji Malaysia.” Beliau telah berkongsi maklumat mengenai permasalahan-permasalahan jemaah haji Malaysia yang telahpun dibawa dan dibincangkan di dalam beberapa Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan tahun-tahun yang lalu. Permasalahan wanita menjadi topik yang hangat dibincangkan terutamanya yang berkaitan dengan syarat sah tawaf dan sai sebagai rukun haji.

 

Penganjuran program ini mendapat maklumbalas yang baik daripada kakitangan Kerajaan di Kuala Lumpur dan Putrajaya yang merupakan sasaran utama program ini. Lebih 300 orang peserta telah menyertai program JID kali ini dan ia turut merangkumi bakal-bakal haji yang terpilih menunaikan haji pada tahun ini. Menjadi harapan JAWHAR agar segala pengetahuan dan pengalaman yang dikongsi bersama dalam program ini memberi manfaat kepada semua peserta program terutamanya bakal jemaah haji dalam mencapai kesempurnaan manasik yang dilakukan.

Disediakan oleh: Hafizah binti Abdul Shukor

Bahagian Haji JAWHAR


Klik Sini Untuk Melihat Gambar Program

Waktu Solat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur & Sewaktu Dengannya

Imsak 5.30 Subuh 5.40 Syuruk 06.56 Zohor 13.00 Asar 16.19 Maghrib 18.59 Isyak 20.09
Arab Saudi
Malaysia
SIRIM IQNet SIRIM QAS MPC
Hubungi JAWHAR
Jabatan Wakaf, Zakat & Haji (JAWHAR)
Aras 8-9, Blok D, Kompleks Islam Putrajaya (KIP),
Jalan Tun Abdul Razak, Presint 3,
62100 Putrajaya, Malaysia
Talian Awam
Telefon: +(6) 03-8883 7400
Faks: +(6) 03-8883 7406
Emel: pejabatam[at]jawhar[dot]gov[dot]my
Statistik
Kemaskini Terakhir: 27 November, 2020 @ 11:47 AM
Top