Zakat: Antara Kesedaran dan Sambil Lewa
Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) dengan kerjasama Pusat Pungutan Zakat (PPZ), Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) telah menganjurkan program JAWHAR Intellectual Discourse (JID) Bil. 2/2014 pada 18 Jun 2014 (Rabu) bertempat di Auditorium Kompleks E, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya yang bertemakan “Zakat: Antara Kesedaran dan Sambil Lewa”.
Program ini telah dirasmikan oleh YBrs. Encik Ahmad Azhan Mohd Noh, Pengarah Bahagian Baitulmal JAWHAR dan telah disertai oleh lebih 500 orang peserta yang terdiri daripada penjawat awam sekitar Putrajaya dan juga pegawai-pegawai Majlis Agama Islam Negeri seluruh Malaysia.
JID pada kali ini diadakan dalam bentuk forum yang mengetengahkan barisan ahli panel yang terdiri daripada YBrs. Dr. Arieff Salleh Rosman, Pensyarah Kanan Universiti Teknologi Malaysia selaku Felo Fatwa JAKIM, YBrs. Ustaz Hamizul Abdul Hamid, Eksekutif Dakwah dari Lembaga Zakat Selangor dan moderator jemputan bagi sesi forum ini ialah juara Imam Muda Musim Kedua iaitu Ustaz Hassan Adli bin Yahaya.
Penganjuran JID pada kali ini membincangkan topik berkaitan kewajipan berzakat sama ada zakat fitrah atau zakat harta di kalangan umat Islam dan seterusnya hikmah dan keberkatan daripada berzakat. Perbincangan ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dan kefahaman masyarakat Islam tentang kepentingan kewajipan berzakat yang difardhukan oleh Islam yang melibatkan zakat harta dan zakat fitrah. Ia juga bertujuan untuk memberi kefahaman yang jelas akan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan oleh kita dalam isu-isu berkaitan berzakat selaras dengan tuntutan agama Islam.
Bersempena program ini juga, PPZ MAIWP telah membuka kaunter bergerak bagi membantu para peserta untuk menyemak dan mengira jumlah kadar pendapatan yang perlu dikeluarkan zakat pendapatan selain mendapatkan maklumat lanjut mengenai perkara-perkara yang berkaitan dengan isu permasalah zakat. Adalah menjadi harapan pihak penganjur supaya program ini sedikit sebanyak dapat memberikan kesedaran dan kefahaman kepada semua peserta tentang peri penting dan kewajipan berzakat.