JAWHAR INTELLECTUAL DISCOURSE (JID) BIL. 2/2018
Melaka, 19 Oktober 2018 – Bahagian Penyelidikan dan Kerjasama Antarabangsa, Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) dengan Kerjasama Mahkamah Syariah Negeri Melaka telah menganjurkan program JAWHAR Intellectual Discourse (JID) Bil. 2/2018 bertempat di Mahkamah Syariah Negeri Melaka yang bertemakan “Maqasid Syariah Dalam Dimensi Haji dan Umrah”.
Program ini telah dirasmikan oleh YBrs. Tuan Haji Ahmad Musadad Bin Haji Sulaiman, Ketua Pengarah JAWHAR dan telah disertai oleh para peserta yang terdiri daripada penjawat awam sekitar negeri Melaka dan juga pegawai-pegawai Majlis Agama Islam Negeri Melaka.
Program JID pada kali ini diadakan dalam bentuk ceramah dengan menampilkan 2 orang penceramah yang terdiri daripada YBrs. Tuan Shukeri Najib bin Ab. Rahim, Hakim Kanan Mahkamah Rendah Syariah Negeri Melaka dan YBrs. Tuan Mohamad Ridzuan bin Zainudin, Pegawai Syarie Mahkamah Syariah Negeri Melaka.
Tema kali ini membincangkan topik Penipuan Pakej Umrah dan Persiapan Mental dan Fizikal Dalam Ibadah Haji dan Umrah yang bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dan kefahaman masyarakat Islam tentang ibadah haji dan umrah serta tidak terpedaya dengan penipuan pakej umrah yang semakin meningkat sekarang ini.
Program yang berlangsung selama setengah hari ini mendapat sokongan dan sambutan yang baik daripada peserta yang hadir. Majlis berakhir pada jam 12.00 tengahari dengan sesi penyampaian cenderahati oleh Ketua Pengarah JAWHAR kepada Ketua Hakim Syarie Negeri Melaka dan penceramah jemputan.