Pengumuman

“MAKLUMAT PENTING KEPADA BAKAL JEMAAH HAJI DAN UMRAH TAHUN 2010M/1431.Sila baca maklumat lanjut….


"JAWHAR mengucapkan Selamat Menyambut Hari Lahir kepada pegawai dan kakitangan yang menyambut hari lahir pada bulan September 2010."
Zuzaidaisyantie binti Zaaba, (7/September)
Noor Azura binti Zainal, (9/September)
Aniza binti Ludin, (28/September)
Semoga diri, keluarga dan harta diberkati ALLAH.


 

RSS JAWHAR

Pungutan Suara

Penilaian anda terhadap mutu penyampaian laman sesawang JAWHAR?
 
Mal PDF Cetak E-mel

Harta Pusaka

Menurut kamus Dewan, Pusaka adalah harta benda yang ditinggalkan oleh orang yang telah meninggal dunia, (untuk diwarisi oleh keluarganya) Dalam bahasa Arab, pusaka dipanggil Al Irth, Al Wirth, atau Al Wirathah yang dalam bahasa Melayu dipanggil Warisan.Menurut istilah Syara’ harta warisan atau mirath ialah harta peninggalan orang yang telah meninggal dunia yang telah menjadi hak mutlak ahli warisnya untuk diagih-agihkan di kalangan mereka yang berhak.

 

c_pusaka

Harta Pusaka termasuk :

  • Semua harta yang ditinggalkan oleh si mati yang diperolehi semasa hayatnya secara halal seperti melalui jual beli, mendapat pusaka, melalui hibah, hadiah, sedekah dan melalui wasiat.

  • Sewa yang masih belum dijelaskan kepada si mati

  • Hutang kepada si mati yang di jelaskan selepas kematian

  • Dividen /faedah yang terbit daripada harta si mati

  • Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)

  • Barang yang terbit selepas mati seseorang dari usaha si mati semasa hayatnya

Harta Pusaka Tidak Termasuk

  • Harta yang telah diberi, dijual, diwakafkan dan yang dipegang amanah oleh si mati kepada seseorang semasa hayatnya

  • Khairat kematian

  • Pemberian oleh orang-orang yang menziarahi kematian

  • Faedah kematian /amaun tambahan KWSP

  • Imbuhan, pampasan dan sagu hati

  • Pencen

  • Bayaran – bayaran di bawah Akta Keselamatan Sosial pekerja 1969 Perkeso

  • Harta yang dipinjam

Kenapa Pembahagian Pusaka Perlu Disegerakan
Pembahagian pusaka perlu disegerakan bagi menggelakkan perkara seperti berikut :

  • Memakan dan menguasai harta dengan cara batil

  • Hutang tidak dijelaskan dengan segera

  • Wasiat tidak disempurnakan dengan segera

  • Bilangan waris bertambah ramai akibat kematian berlapis

  • Pembahagian yang salah akibat lupa keterangan yang sebenar

  • Harta tidak terurus atau terbiar

  • Urusniaga tidak dapat dijalankan

  • Wang pampasan pengambilan balik tanah oleh kerajaan tidak dapat dibayar kepada waris-waris kerana masih didaftar dengan nama simati

  • Kehilangan dokumen penting seperti surat mati surat perjanjian dan sebagainya

Tanggungjawab Waris Menunaikan Hak Si Mati Ke Atas Harta Pusaka
Sebelum pembahagian harta pusaka, waris –waris wajib
menyelesaikan perkara berikut :

  • Membelanjakan urusan pengkebumian sekadar yang wajib sahaja

  • Menjelaskan hutang si mati :

  • Hutang kepada Allah swt seperti Zakat, kaffarah, nazar, haji dan fidyah.

  • Hutang kepada manusia

  • Melaksanakan wasiat si mati (jika ada) yang tidak melebihi 1/3 daripada harta peninggalannya.

Sebab Menerima Pusaka

  • Perkahwinan

  • Keturunan / kerabat

  • Pembebasan hamba

Harta Pusaka Yang Terhad Kepada Baitulmal
Menurut Mazhab Syafi’e, Baitumal menerima harta pusaka apabila :

  • Harta Pusaka yang tidak berwaris

  • Lebihan harta pusaka yang tidak dihabiskan oleh waris (melalui pembahagian faraid)

Perolehan Harta Pusaka Kepada Baitulmal

  • Perintah Mahkamah Syariah (Sijil Faraid)

  • Perintah Bicara Seksyen Pembahagian Pusaka

  • Perintah Pembahagian Pusaka dan Amahan Raya Berhad

  • Melalui aduan atau laporan orang awam

Proses Pengambilan Harta Pusaka Yang Terhak Kepada Baitulmal

  • Membuat siasatan awal kes dengan mendapat maklumat diri si mati

  • Mendapat maklumat/keterangan daripada waris atau saudara –mara si mati

  • Membuat hebahan/publisiti melalui akhbar bagi kematian yang tiada waris

  • Mengemukakan kes kepada Mahkamah Syariah untuk mendapat sijil faraid bagi si mati yang diperlukan

  • Melantik panel peguam bagi kes yang diperlukan

  • Mengurus pindah milik hartanah pusaka yang terhak kepada baitumal atas nama Majlis Agama Islam Negeri (MAIN)

Proses Tebus Harta Pusaka Oleh Waris Si Mati

  • Penilaian harta pusaka

  • Menghantar notis tuntutan tebusan kepada waris

Proses Pindah Milik Hartanah Kepada Main / Waris

  • Urusan pindah milik hartanah/tanah si mati kepada /daripada MAIN dengan mengunakan borang dan surat kuasa tertentu mengikut jenis-jenis harta

  • Tandatangan, cap mohor penerima / pemberi (MAIN) di borang suratkuasa

  • Urusan pindah milik hartanah /tanah dicatatkan nama MAIN digantikan kepada nama-nama waris yang berkenaan

 

Enakmen wasiat

Fidyah

FIDYAH
Fidyah ialah memberi makan kepada orang-orang fakir dengan satu cupak makanan asasi untuk setiap satu hari yang ditinggalkan. Fidyah juga merupakan denda yang dikenakan ke atas seseorang sebab-sebab tertentu ataupun sengaja melewatkan puasa ganti (qada’) bulan Ramadhan.

DALIL
Ini berdasarkan kepada firman Allah s.w.t yang bermaksud :
“Dan wajib ke atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa,(kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah dengan memberi makan orang-orang miskin”

(al-Baqarah : ayat 184)


Rasulullah s.a.w bersabda mafhumnya :
“Barangsiapa yang mati sedangkan dia masih mempunyai puasa Ramadhan yang belum digantikan , hendaklah diberi makan seorang miskin bagi setiap hari yang ditinggalkan bagi pihaknya”

( Riwayat at-Tirmizi)

SEBAB-SEBAB DIKENAKAN FIDYAH

  1. Orang yang terlalu tua dan pesakit yang tiada harapan untuk
    sembuh
    Terdiri daripada golongan tua yang tidak mampu berpuasa, atau golongan yang menghidapi sakit kuat dan tidak mempunyai harapan untuk sembuh. Golongan ini tidak perlu menggantikan puasa, tetapi perlu membayar fidyah satu cupak makanan asasi bagi setiap hari yang ditinggalkan.
  2. Perempuan Hamil
    Dengan syarat bimbang akan keselamatan bayi yang dikandungnya Golongan ini diwajibkan membayar fidyah dan juga mengqantikan puasa yang ditinggalkan.
  3. Ibu yang menyusukan anak
    Dengan syarat ibu yang menyusukan anak merasa bimbang akan memudaratkan bayi yang disusuinya seperti kurang air susu atau menjejaskan kesihatan bayinya itu. Golongan ini dikenakan membayar fidyah dan juga menggantikan puasa yang ditinggalkan.
  4. Orang Yang Telah Meninggal Dunia
    Hutang puasa bagi orang yang telah meninggal dunia hendaklah disempurnakan dengan bayaran fidyahnya oleh waris-warisnya mengikut bilangan hari yang ditinggalkan.
  5. Melambatkan Menggantikan Puasa
    Mereka yang melambatkan mengantikan puasanya hingga telah melangkah ke tahun yang berikutnya, dikenakan denda membayar fidyah juga wajib menggantikan puasa yang ditinggalkan. Bayaran fidyah akan berganda mengikut jumlah tahun-tahun yang ditinggalkan.

KADAR BAYARAN FIDYAH

  • Kadar bayaran fidyah bagi satu hari puasa yang ditinggalkan ialah satu cupak beras.

  • Mereka yang ingin membayar fidyah boleh melakukannya dengan memberi sedekah kepada fakir miskin ataupun menghubungi pihak berkuasa negeri untuk maklumat lanjut seperti pengiraan kadar bayaran dan sebagainya.

Derma

DERMA

DEFINISI

Derma ialah sumbangan ikhlas daripada seseorang untuk diberikan kepada seseorang yang lain. Ianya merupakan satu bentuk hibah yang paling banyak dilakukan oleh umat Islam. Menurut Kamus Dewan, derma diertikan sebagai bantuan yang berupa wang (kepada perkumpulan dan lain-lain), dan diertikan pula sebagai pemberian ikhlas. Derma ialah satu cara menginfaqkan harta pada jalan Allah untuk perkaraperkara yang diredhai Allah. Hibah dalam bentuk derma sangat penting dan sangat digalakkan sehingga Allah menjanjikan keuntungan atau pahala sehingga 700 kali ganda atau lebih harta yang dilaburkan dalam perkara tersebut. Setiap manusia, sejak azali sudah dikurniakan sifat insani seperti keinginan untuk mengambil berat, membimbing, menunjuk ajar, membelai, menyayangi dan disayangi, menghargai dan dihargai, bergotong-royong dan bekerjasama. Oleh itu, mereka boleh memainkan peranan dengan menghulurkan derma kepada golongan yang memerlukan.

 

DALIL

Firman Allah S.W.T:

مَّثَلُ ٱلَّذِینَ یُنفِقُونَ أمْوَٰلَھُمْ فِى سَبِیلِ ٱلله كَمَثَلِ حَبَّةٍ أنْبَۢتَتْ سَبْعَ سَنَابِلَ فِى كُلِّ سُنبُۢلَةٍ مِّاْئَةٍ حَبَّةٍۗ وَٱللهُ

یُضَٰعِفُ لِمَن یَشَآءُۗ وَٱللهُ وَٰسِعٌ عَلِیْمٌ ۝

 

Maksudnya: “Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya
pada jalan Allah ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh
tangkai, tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah
akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya”.
(Surah Al-Baqarah: 261)

 

Dalil Hadis:

عن أبي هريرة رضي الله عنه : عن النبي صلى الله عليه وسلم قال ( خير الصدقة ما كان عن ظهر غني وابدأ بمن تعول )

Maksudnya: Dari Abu Hurairah r.a, Rasulullah S.A.W. bersabda : “Sedekah yang terbaik adalah yang dilakukan oleh orang yang kaya. Mulailah dengan memberi sedekah dengan bersedekah kepada orang yang menjadi tanggungjawabm u”. (Hadis riwayat Bukhari)

 

عن أنس رضي الله عنه عن النبي صلى الله عليه وسلم قال : ( لا يؤمن أحدكم حتى يحب لأخيه ما يحب لنفسه )

Maksudnya: “Daripada Anas Radhiallahu 'anhu daripada Nabi S.A.W sabdanya: “Tiada beriman seseorang kamu hingga dia mencintai untuk saudaranya apa yang dia cintai untuk dirinya”. (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

 

KEBAIKAN MENDERMA

i. Dapat menyucikan harta yang ada.
ii. Dapat membantu golongan fakir miskin.
iii. Mewujudkan rasa kasih sayang.
iv. Menjadikan harta lebih diberkati dan diperluaskan lagi rezeki.

 

KEMULIAAN ORANG YANG MENDERMA:

i. Menjadi penaung di akhirat apabila berada di Padang Mahsyar.
ii. Diringankan hisab di akhirat.
iii. Menambah berat timbangan amalan kebaikan di akhirat.
iv. Memudahkan laluan di Titian Siratul Mustaqim.

 

Menderma dalam konsep Islam bukan sekadar membantu golongan miskin dan mereka yang ditimpa musibah, malahan juga boleh dibuat melalui pembiayaan pembinaan rumah anak-anak yatim, golongan orang kurang upaya dan warga emas. Menderma juga boleh diertikan dengan menyediakan peralatan seperti makanan, pakaian, perabot dan lain-lain peralatan yang bersesuaian bagi golongan tersebut.

Ijarah

AL-IJARAH (KONTRAK SEWA)

DEFINISI

Ijarah bermaksud bayaran yang diberikan kepada orang yang melakukan sesuatu kerja sebagai ganjaran kepada apa yang dilakukan. Menurut istilah fuqaha’, ijarah ialah kontrak untuk mendapatkan khidmat (manfaat) tertentu yang boleh dibayar dan dihalalkan dengan barangan tertentu.

 

DALIL


Firman Allah S.W.T:

ٰٰھُمَا یَٰأبَتِ ٱسْتَئْجِرْهۖ ٳنَّ خَیْرَ مَن ٱسْتَئْجَْرتَ ٱلْقَوىُّ ٱلأمِینُ ۝  قَالَتْ ٳحْدَ ىَٰ أن تَأْجُرَنِى ثَمَٰنِىَ حِجَجٍۖ  أُرِیُد أنْ أُنكِحَكَ ٳحْدَى ٱبْنَتَىَّ ھَٰتَیْنِ عَل  قَالَ ٳِنِّى

َ

Maksudnya: “Wahai ayah, ambillah dia menjadi orang upahan (mengembala kambing kita), sesungguhnya sebaik-baik orang yang ayah ambil bekerja, ialah orang yang kuat, lagi amanah. Bapa perempuan itu berkata (kepada Musa): Aku hendak mengahwinkanmu dengan salah seorang dari dua anak perempuanku ini, dengan syarat engkau bekerja denganku selama lapan tahun.”

(Surah Al-Qasas : ayat 26-27)

 

Dalil hadis:

عن عائشة رضي الله عنها : واستأجر النبي صلى الله عليه وسلم وأبو بكر رجلا من بني الديل ثم من بني عبد بن عدي هاديا خريتا - الخريت الماهر بالهداية - قد غمس يمين حلف في آل العاص بن وائل وهو على دين كفار قريش فأمناه فدفعا إليه راحلتيهما ووعداه غار ثور بعد ثلاث ليال فأتاهما براحلتيهما صبيحة ليال ثلاث فارتحل

Maksudnya: Daripada Aisyah r.a berkata: “Nabi S.A.W dan Abu Bakar mengupah tenaga seorang lelaki Bani al-Dail daripada Bani Abd bin Addi, seorang penunjuk jalan yang mahir dan masih menganut agama kafir Quraisy. ۲٦ Nabi s.a.w dan Abu Bakar mempercayainya dan menyerahkan dua ekor unta tunggangan mereka kepadanya. Mereka berjanji untuk bertemu dengannya di gua Thur selepas tiga hari. Pada hari ketiga, lelaki itu datang bersama unta tunggangan mereka dan mereka berangkat”.

(Riwayat al-Bukhari)

عن عبدالله بن السائب قال دخلنا على عبدالله بن معقل فسألناه عن المزارعة ؟ فقال زعم ثابت : أن رسول الله صلى الله عليه وسلم نهى عن المزارعة وأمر بالمؤاجرة وقال ( لا بأس لها )

Maksudnya: Daripada Abdullah bin al-Sa’ib berkata: Kami telah melawat Abdullah bin Ma`qil dan bertanya kepadanya tentang muzara`ah, maka dia berkata: Thabit telah menjelaskan bahawasanya Nabi S.A.W melarang muzara`ah dan membenarkan ijarah (sewa). Baginda bersabda: “Tidak mengapa dengannya”.

(Riwayat Muslim)

 

HUKUM KONTRAK SEWA

Apabila kontrak sewa memenuhi rukun dan syarat yang ditetapkan, kontrak tersebut dikira sah dan segala hukum yang berkaitan (implikasi syariat) akan terpakai sebaik sahaja kontrak dimeterai.

RUKUN SEWA

Kontrak sewa mempunyai empat rukun iaitu dua pihak yang berkontrak, sighah, perkhidmatan (manfaat) yang diberikan dan bayaran sewa atau upah.

4.1 Rukun pertama:
Dua pihak yang berkontrak iaitu pemilik perkhidmatan (manfaat) dan penyewa:
· Pihak yang berkontrak mestilah baligh dan berakal. Kontrak sewa tidak sah jika membabitkan kanak-kanak dan orang gila kerana kedua-dua golongan ini tidak mempunyai kuasa hak milik pada diri sendiri dan harta mereka.

4.2 Rukun kedua:
Sighah kontrak iaitu Penawaran dan persetujuan:

i) Penawaran: iaitu apa jua lafaz yang dilahirkan oleh pemilik perkhidmatan; dan

ii) Persetujuan: iaitu apa jua lafaz yang lahir daripada penyewa dapat menunjukkan persetujuan dan ia difahami dengan jelas.
· Persetujuan dan penawaran mestilah selari;
· Tidak wujud jurang masa yang lama antara penawaran dan persetujuan; dan
· Tidak bersyarat.

4.3 Rukun ketiga:
Perkhidmatan (manfaat)

· Perkhidmatan mestilah mempunyai nilai; Contohnya menyewa rumah untuk didiami.
· Pemilik perkhidmatan mestilah mampu menyerahkan perkhidmatannya supaya penyewa boleh menggunakannya; Contohnya pemilik tidak boleh menyewakan rumah yang sudah rosak kepada penyewa.
· Khidmat diperoleh oleh pengupah bukan oleh orang yang diupah; Contohnya mengupah orang untuk menunaikan haji, pahala haji akan diperoleh oleh pengupah.
· Khidmat mestilah dimaklumi oleh kedua-dua pihak dari segi barangan, sifat dan kadarnya.

4.4 Rukun Keempat:
Bayaran Sewa Syarat bayaran sewa:

· Bayaran itu mestilah bayaran yang suci tidak mengandungi unsurunsur riba;
· Bayaran sewa boleh digunakan dan bernilai seperti duit; dan
· Bayaran sewa diketahui oleh kedua-dua belah pihak.

5. JENIS DAN SYARAT PENYEWAAN

Terdapat dua jenis kontrak sewa: Sewa barangan dan sewa jaminan.

5.1 Sewa Barangan
Sewa barangan ialah sewa yang membabitkan perkhidmatan yang diperoleh daripada barangan tertentu. Contohnya sewa rumah. Syarat sewa barangan:

· Barangan yang disewa mestilah ditetapkan;
· Barangan yang disewa mestilah wujud dan dipamerkan di hadapan kedua-dua pihak ketika memeterai kontrak sewa; dan
· Penyewa boleh menggunakan perkhidmatan serta-merta selepas kontrak ditandatangani.

5.2 Sewa Jaminan
Sewa jaminan ialah sewa yang membabitkan perkhidmatan yang diperoleh melalui jaminan pemilik. Contohnya mengupah seseorang untuk menjahit pakaian. Syarat sewa jaminan:

· Bayaran sewa adalah serta-merta dan diserahkan dalam majlis kontrak; dan
· Spesifikasi barangan yang ditawarkan perkhidmatan itu hendaklah dinyatakan dengan jelas.

6. PENAMATAN KONTRAK SEWA

Faktor-faktornya:

i) Pembatalan kontrak Sebab-sebab yang membatalkan kontrak ialah;
· Barangan yang disewa rosak.
· Barangan sewaan tidak diserahkan pada masa yang ditetapkan.

ii) Penggunaan barangan sewa berakhir.

Hibah

HIBAH

DEFINISI

Hibah dari segi bahasa ialah suatu pemberian yang diberikan bukan kerana tanggungjawab tertentu dan pemberian ini memberi manfaat kepada penerima. Menurut istilah syarak, hibah ialah suatu akad yang dapat memindah milik sesuatu tanpa sebarang gantian ketika masih hidup dan dibuat secara sukarela. Menurut kamus dewan, hibah diertikan sebagai pemberian hak (harta) secara sukarela kepada orang lain dengan tujuan baik. Selain hibah, pemberian dalam bahasa Arab juga disebut Tabarru’ dan `Atiyah. Apabila masuk kedalam bahasa Melayu, terdapatlah istilah menghibahkan dan dihibahkan yang membawa maksud diberikan secara percuma. Hibah merupakan pemberian kepada seseorang kerana sesuatu penghargaaan atau kasih sayang kepadanya.

 

DALIL


Firman Allah S.W.T:

طِبْنَ لَكُمْ عَن شَئْءٍ مِّنْھُ نَفْسًا فكلوه ھنیٔاً مریٔاً ۝  وَءَاتُواْ ٱلنِّسَآءَ صَدٌقَٰتِھِنَّ نِحْلَةًۚ

ِMaksudnya: “Berikanlah maskawin (mahar) kepada wanita (yang kamu nikahi) sebagai pemberian dengan penuh kerelaan. Kemudian jika mereka menyerahkan kepada kamu sebahagian dari maskawin itu dengan senang hati, maka makanlah (ambillah) pemberian itu (sebagai makanan) yang sedap lagi baik akibatnya.”

(Surah An-Nisa’: 4)

 

Dalil hadis:

عن خالد بن عدي الجهني قال سمعت رسول الله صلى الله عليه وسلم يقول : من بلغه معروف عن أخيه من غير مسألة ولا أشراف نفس فليقبله ولا يرده فإنما هو رزق ساقه الله عز وجل إليه

Maksudnya: Daripada Khalid bin `Adi al-Jahni telah berkata: Saya mendengar Rasulullah S.A.W bersabda: “Barangsiapa diberikan kebaikan oleh saudaranya bukan kerana ia minta dan dengan tidak berlebih-lebihan, maka terimalah dan janganlah ditolak kerana sesungguhnya kebaikan tersebut merupakan rezeki yang Allah berikan kepadanya ”.

(Riwayat Ahmad)

 

HUKUM HIBAH

Sunat dan amat digalakkan.

RUKUN HIBAH

4.1 Pemberi.
4.2 Penerima.
4.3 Barang yang diberi.
4.4 Sighah (ijab dan qabul).

SYARAT HIBAH

5.1 Syarat-syarat pemberi

5.1.1 Dewasa (baligh), berakal sihat dan cekap.
5.1.2 Pemberi adalah pemilik sah benda yang dihibahkan.
5.1.3 Pemberi bukanlah sedang berada dalam pengawasan orang lain kerana sesuatu sebab.
5.1.4 Tidak ditekan mana-mana pihak.

5.2 Syarat penerima

1. Tidak meminta.
2. Wujud.

5.3 Syarat-syarat mauhub (barang yang dihibahkan)

1. Ada bendanya secara jelas.
2. Barang yang dihibahkan adalah suci dan mempunyai manfaat.
3. Benda yang dihibahkan benar-benar ada di tangan atau pada kekuasaan wahib.
4. Barang yang dihibahkan tidak melekat dengan milik wahib sendiri; umpamanya menghibahkan pokok atau rumahnya tidak dengan tanah. Dengan kata lain, barang yang dihibahkan mestilah terpisah secara murni dengan benda-benda yang tidak dihibahkan.

5.4 Syarat Sighah

1. Berkesinambungan.
2. Tidak bersyarat.
3. Tidak bertempoh.

HIKMAH HIBAH

1. Membina masyarakat penyayang dan cinta-mencintai.
2. Menghilangkan perasaan dendam dan sakit hati di antara sesama manusia.
3. Mewujudkan sifat tolong-menolong antara umat Islam.

 

HUKUM PENARIKAN HIBAH

Menarik balik hibah hukumnya haram, kecuali hibah yang diberikan oleh seseorang ayah
kepada anaknya.


Dalil Hadis:

عن ابن عباس : عن النبي أنه قال العائد في هبته كالعائد في قيئه

Maksudnya: Daripada Ibnu Abbas Nabi S.A.W bersabda: “Orang yang mengambil semula pemberiannya umpama orang yang menelan semula muntahnya”.

(Hadis Shahih Muslim)

 

Hutang Lapuk

HUTANG LAPUK

DEFINISI

Hutang dalam bahasa Arab di sebut Qardh iaitu bermaksud potong. Hutang
dari segi istilah bermaksud memberi hak milik sesuatu barangan kepada
orang lain dengan syarat orang tersebut memulangkan gantinya tanpa
sebarang tambahan.


Hutang lapuk ialah hutang yang tidak dibayar dalam masa tempoh yang lama.
Jika orang yang memberi hutang atau warisnya tidak ditemui, maka nilai
wang hutang tersebut hendaklah diserahkan kepada Baitulmal.

DALIL

Firman Allah Ta’ala:

أضْعَافًا كَثِیرَةًج وَٱللهُ یَقْبِضُ  مَّن ذَاٱلَّذِى یُقْرِضُ ٱللهَ قَرْضًا حَسَنًا فَیُضَٰعِفَھُولَھُو وَیَبَصُّطُ وَٳِلَیْھِ تُرْجَعُونَ ۝

Maksudnya: “Siapakah yang mahu memberi pinjaman kepada Allah, pinjaman yang baik (menafkahkan hartanya di jalan Allah), maka Allah akan memperlipatgandakan pembayaran kepadanya dengan lipat ganda yang banyak. Dan Allah menyempitkan dan melapangkan (rezeki) dan kepadaNyalah kamu dikembalikan.”

(Al-Baqarah : ayat 245)

 

Dalil hadis:

عن أبي هريرة رضي الله عنه : عن النبي صلى الله عليه وسلم قال ( من أخذ أموال الناس يريد أداءها أدى الله عنه ومن أخذ يريد إتلافها أتلفه الله )

Maksudnya: Daripada Abu Hurairah r.a Nabi S.A.W bersabda: “Siapa yang berhutang dengan maksud membayarnya kembali, Tuhan akan menolongnya dengan membayar kembali. Siapa yang mengambil harta orang lain dengan maksud menghilangkannya, Tuhan akan menolong menghilangkannya”.

(Hadis Shahih Bukhari)

 

KEWAJIPAN MELUNASKAN HUTANG

Boleh dikatakan sebahagian besar daripada kita berhutang tidak kira samada banyak atau sedikit. Berhutang atau meminjam dibenarkan dalam Islam. Namun, Islam turut menekankan dengan tegas mengenai tanggungjawab untuk membayar hutang walaupun selepas kematian penghutang.

 

Dalil Hadis:

عن أبي هريرة قال : استقرض رسول الله صلى الله عليه وسلم سنا فأعطى سنا فوقه وقال ( خياركم محاسنكم قضاء )

Maksudnya: Daripada Abu Hurairah r.a berkata, “Rasulullah S.A.W pernah berhutang seekor unta kemudian beliau membayarnya dengan yang lebih baik dan bersabda” : “Sebaik-baik kalian adalah yang paling baik dalam membayar hutangnya”.

(Hadis Shahih Muslim)

Wasiat

DEFINISI WASIAT

Wasiat ataupun al-isa’ (pesanan) dari segi bahasa bermakna seseorang berjanji kepada seseorang yang lain supaya melaksanakan sesuatu perbuatan atau urusan semasa hidup atau selepas kematiannya, atau bermaksud memberikan harta kepada seseorang yang lain.

Dari segi istilah syarak, wasiat bermaksud memberi milik harta (kepada seseorang) selepas kematian secara sukarela (tabarru`), sama ada yang diberikan itu `ain harta atau manfaat.

 

DALIL WASIAT

Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Kamu diwajibkan, apabila seorang dari kamu hampir mati, jika ia ada meninggalkan harta (hendaklah ia) membuat wasiat untuk ibu-bapa dan kaum kerabat dengan cara yang baik (menurut peraturan ugama), sebagai satu kewajipan atas orang-orang yang bertakwa.”

(Surah Al-Baqarah: ayat 180)

Hadis Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:

“Dari Abdullah bin Abbas, dia berkata: Sekiranya saja orang-orang menurunkan wasiat dari sepertiga menjadi seperempat, maka Rasulullah bersabda: Sepertiga, dan sepertiga itu adalah banyak.”

(Riwayat Bukhari dan Muslim)


HUKUM WASIAT

Pada peringkat awal Islam, telah sepakat di kalangan fuqaha’ bahawa wasiat kepada ibu bapa adalah wajib bagi mereka yang mempunyai harta berdasarkan surah al-Baqarah (ayat 180). Walau bagaimanapun setelah turun ayat al-Mawarith (ayat 11, 12 dan 176, surah al-Nisa’) hukum berwasiat adalah berbeza mengikut tafsiran fuqaha’. Pendapat fuqaha’ boleh dikategorikan kepada tiga, iaitu:

Jumhur fuqaha’ (Hanafi, Maliki, Syafi`i dan Hanbali) berpendapat bahawa hukum berwasiat adalah sunat, kerana ayat 180 surah al-Baqarah telah dinasakhkan oleh ayat al-Mawarith dan hadis Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:

“Sesungguhnya Allah SWT telah memberi setiap orang yang mempunyai hak akan haknya, oleh itu tidak harus berwasiat kepada ahli waris.”

(Hadis riwayat Ibnu Majah)

Pendapat golongan tabi`in (termasuk Ibn Hazm), mereka berpendapat bahawa hukum wasiat adalah wajib bagi mereka yang mempunyai harta. Alasan golongan ini ialah ayat di atas telah dinasakhkan oleh ayat al-Mawarith tentang hukum wajib berwasiat kepada ibu bapa dan kaum kerabat  yang menjadi ahli waris, tetapi hukum wajib berwasiat kepada mereka yang bukan ahli waris masih berkekalan.Pendapat Daud al-Zahiri menyatakan bahawa wasiat adalah wajib untuk dua ibu bapa dan kaum kerabat yang tidak menerima harta pusaka (bukan waris).

Menurut jumhur fuqaha’, hukum wasiat boleh berubah mengikut keadaan, umpamanya wajib, sunat, harus, makruh dan haram.

 

RUKUN WASIAT

Rukun wasiat terbahagi kepada 4 iaitu:

  1. Pewasiat
  2. Penerima wasiat
  3. Harta yang diwasiatkan
  4. Lafaz wasiat (sighah)

SYARAT-SYARAT WASIAT

Syarat pewasiat:

    1. Pemilik harta, iaitu yang memiliki harta.
    2. Berakal, bukan orang gila atau mabuk.
    3. Baligh, bukan dari kalangan kanak-kanak walaupun mumaiyiz.
    4. Pilihan sendiri, buat secara redha/sukarela tanpa dipaksa oleh sesiapa.
    5. Merdeka, bukan dari golongan hamba.

Syarat penerima wasiat:

    1. Penerima wasiat hendaklah diketahui (kecuali untuk perkara kebajikan).
    2. Penerima wasiat wujud masa kematian pewasiat dan ketika wasiat dibuat.
    3. Penerima wasiat berkeahlian memiliki harta.
    4. Penerima wasiat bukan ahli waris mengikut pendapat jumhur fuqaha’ (mazhab Hanafi, Maliki, Syafi`i, dan Hanbali).

Syarat harta yang diwasiatkan:

    1. Hendaklah harta tersebut halal dimanfaatkan.
    2. Hendaklah harta tersebut boleh dipindah milik.
    3. Hendaklah harta tersebut boleh dimiliki dan milik pewasiat.

Berdasarkan syarat-syarat tersebut, wasiat boleh dilaksanakan kepada perkara-perkara berikut:

  • Mewasiatkan harta yang tidak pasti adalah sah. Contohnya, mewasiatkan anak kambing yang masih lagi di dalam rahim ibunya.
  • Mewasiatkan sesuatu yang tidak wujud ketika wasiat adalah sah. Contohnya, mewasiatkan buah-buahan yang akan keluar.
  • Memberikan wasiat yang tidak jelas adalah sah. Contohnya; mewasiatkan pakaian. Pewaris akan menentukan pakaian yang mana yang akan diberikan.
  • Mewasiatkan penggunaan harta semata-mata sama ada penggunaan tersebut bersifat sementara atau kekal adalah sah. Contohnya, pewasiat mewasiatkan kepada seseorang untuk mengawasi rumahnya dan kemudian mewasiatkan orang tersebut untuk mendiaminya pula.
  • Sah mewasiatkan harta yang najis yang boleh dimanfaatkan seperti tahi lembu.

Syarat lafaz wasiat (sighah):

    1. Hendaklah wasiat dilafazkan secara jelas atau kabur.
  • Lafaz yang jelas, contohnya: “Saya mewasiatkan untuknya satu ribu.”
  • Lafaz yang kabur, contohnya: “Buku saya ini untuk Ali.” (Lafaz yang kabur perlu disertakan dengan niat oleh individu yang memberi wasiat).
  1. Hendaklah wasiat diterima oleh penerima wasiat.
  2. Hendaklah persetujuan tersebut diambil kira selepas kematian pewasiat tanpa mengira sama ada penerima telah bersetuju atau telah menolak wasiat ini sebelum kematian pewasiat.

 

KADAR HARTA YANG BOLEH DIWASIATKAN

Berhubung dengan kadar harta yang boleh diwasiatkan, ia terbahagi kepada dua keadaan iaitu:

1.  Jika pewasiat mempunyai ahli waris, maka menurut jumhur fuqaha’ (selain Zahiri dan Maliki), wasiat yang melebihi satu pertiga itu tidak berkuat kuasa, kecuali dengan persetujuan ahli-ahli waris. Jika ahli-ahli waris bersetuju, wasiat itu sah dan berkuat kuasa, sebaliknya jika mereka tidak bersetuju maka kadar yang melebihi satu pertiga itu batal. Sebaliknya menurut mazhab Maliki dan Zahiri, wasiat yang melebihi satu pertiga tidak boleh berkuat kuasa, sekalipun jika dipersetujui oleh ahli-ahli waris.

2. Jika pewasiat tidak mempunyai ahli waris, menurut pendapat mazhab Hanafi, wasiat yang melebihi satu pertiga harta adalah sah. Sebaliknya pendapat jumhur mengatakan bahawa wasiat yang melebihi kadar satu pertiga adalah tidak harus secara mutlak, kerana ia melibatkan hak orang-orang Islam.

 

PEMBATALAN WASIAT

Pewasiat boleh menarik balik kesemua wasiatnya atau sebahagiannya atau mengubahnya atau menambah syarat baru kerana harta tersebut masih dalam hak miliknya selagi beliau masih hidup.

Pembatalan wasiat boleh dilakukan dengan:

1. Lafaz yang menunjukkan tujuan tersebut

Contohnya pewasiat berkata: “Saya memansuhkan wasiat itu, atau saya membatalkannya, atau saya menarik balik wasiat saya, atau saya serahkannya kepada waris saya.”

2. Melalui perbuatan yang menunjukkan bahawa wasiat itu dibatalkan

Contohnya, pewasiat menjual harta yang diwasiatkan, atau menjadikannya sedekah, atau menghadiahkannya kepada orang lain, atau menggadaikannya atau menyerahkannya kepada penghutang. Kesemua tindakan ini menunjukkan bahawa pewasiat telah membatalkan atau menarik balik wasiatnya kerana ia menghapuskan hak miliknya pada harta tersebut.

 

RUJUKAN

  1. Abdullah bin Abdurrahman Ali Bassam. 2003. Syarah Hadits Pilihan. Jakarta: Buku Islam Kaffah.
  2. Mohd Ridzuan Awang. 2008. Wasiat Kepada Ahli Waris Menurut Pandangan Fuqaha’ dan Kedudukannya di Negara-Negara Islam. Kertas kerja Bengkel Pemantapan Harta Sumber Am: Wasiat. Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji, Putrajaya. 28-30 April.
  3. Mustofa Al-Khin, Mustofa Al-Bugho & Ali Asy-Syarbaji. 2005. Kitab Fikah Mazhab Syafie. Jilid 5. Kuala Lumpur: Pustaka Salam Sdn. Bhd.

Tafsir Pimpinan Ar-Rahman

Kifarah

DEFINISI KIFARAH

Kifarah atau kaffarah diambil daripada perkataan asal al-kafru yang bermaksud menutup. Dinamakan kifarah kerana ia menutup dosa dan mendapat keringanan daripada Allah SWT.

Dari sudut istilah pula ia bermaksud perbuatan yang boleh menghapuskan dosa yang berupa membebaskan hamba, sedekah dan puasa, dengan syarat-syarat tertentu.

DALIL KIFARAH

  1. Firman Allah SWT yang bermaksud:

Kamu tidak dikira salah oleh Allah tentang sumpah-sumpah kamu yang tidak disengajakan (untuk bersumpah), akan tetapi kamu dikira salah oleh-Nya dengan sebab sumpah yang sengaja kamu buat dengan bersungguh-sungguh. Maka bayaran dendanya ialah memberi makan sepuluh orang miskin dari jenis makanan yang sederhana (biasa) berikan kepada keluarga kamu, atau memberi pakaian kepada mereka atau memerdekakan seorang hamba. Kemudian sesiapa yang tidak dapat (menunaikan denda yang tersebut) maka hendaklah ia berpuasa tiga hari. Yang demikian itu ialah denda penebus sumpah kamu apabila kamu bersumpah. Dan jagalah - peliharalah - sumpah kamu. Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayatNya (hukum-hukum ugama-Nya) supaya kamu bersyukur.

(Surah al-Ma’idah: ayat 89)

Diriwayatkan daripada `Uqbah bin `Amir r.a. daripada Nabi s.a.w. mafhumnya:

“Kifarah nazar sama dengan kifarah sumpah.”

(Riwayat Muslim)

JENIS-JENIS KIFARAH

Terdapat beberapa jenis kifarah dalam syarak sebagaimana berikut:

  1. Kifarah merosakkan puasa kerana berjimak pada bulan Ramadhan

Kifarah bagi puasa yang terbatal atau rosak adalah:

  1. Membebaskan seorang hamba yang beriman sama ada lelaki ataupun perempuan;
  2. Berpuasa selama 2 bulan berturut-turut jika tidak ada hamba ataupun tidak mampu melakukannya disebabkan kemiskinan dan sebagainya; atau
  3. Memberikan makan kepada 60 orang miskin, setiap orang mendapat secupak makanan asasi negeri itu, jika tidak mampu berpuasa.
2. Kifarah musafir dan pesakit yang tidak mengqada puasa pada tahun ia ditinggalkan

Sekiranya puasa tidak diqadha sehingga masuk Ramadhan tahun berikutnya, hukumnya berdosa dan wajib qadha serta mengeluarkan kifarah iaitu memberi secupak makanan asasi negeri itu kepada fakir miskin untuk setiap hari yang ditinggalkan.

Bertambahnya kifarah dengan bertambahnya tahun, apabila dilewatkan qadha sehingga masuk Ramadhan yang kedua maka wajib dikeluarkan kifarah 2 cupak bagi setiap hari yang ditinggalkan berserta dengan qadha, dan begitulah seterusnya.

3. Kifarah orang tua yang tidak mampu berpuasa

Dibolehkan berbuka, tetapi wajib bersedekah bagi setiap hari yang ditinggalkan dengan secupak makanan asasi negeri itu. Hanya itulah yang diwajibkan ke atasnya atau walinya.

4. Kifarah wanita hamil dan wanita yang menyusukan anak apabila berbuka kerana bimbangkan keselamatan anaknya

Wajib qadha dan kifarah iaitu menyedekahkan secupak makanan asasi negeri itu bagi setiap hari yang ditinggalkan dan diberikan kepada fakir miskin.

Sekiranya wanita hamil atau wanita menyusukan anak berbuka kerana bimbangkan keselamatan dirinya, maka mereka hanya diwajibkan qadha dan dalam keadaan ini kifarah tidak diwajibkan.

5. Kifarah haji

Kifarah haji terbahagi kepada 5 bahagian yang berupa dam (darah) yang diwajibkan ataupun yang boleh menggantikannya. Berikut adalah kelima-lima bahagian kifarah haji:

  1. Bahagian pertama; Dam tersusun dan tertentu.
  2. Bahagian kedua; Dam pilihan dan tertentu.
  3. Bahagian ketiga; Dam pilihan dan seimbang.
  4. Bahagian keempat; Dam tersusun dan seimbang.
  5. Bahagian kelima; Dam tersusun dan seimbang juga.
6. Kifarah sumpah

Barang siapa yang melanggar sumpah, wajib ke atasnya kifarah iaitu boleh memilih antara 3 perkara:

  1. Membebaskan seorang hamba mukmin;
  2. Memberi makan sehingga kenyang 10 orang miskin iaitu makanan sederhana yang diberikan kepada keluarganya; atau
  3. Memberi pakaian 10 orang fakir miskin mengikut apa yang dinamakan pada adatnya adalah pakaian.

Sekiranya tidak mampu mengeluarkan salah satu daripada 3 perkara tersebut, maka wajib berpuasa 3 hari dan tidak disyaratkan berturut-turut.

7. Kifarah nazar

Nazar yang wajib dikeluarkan kifarah hanyalah Nazar al-Lajjaj sahaja, iaitu nazar yang dilafazkan sewaktu bertengkar. Penazar wajib melaksanakan apa yang dinazarkan itu, ataupun dia boleh mengeluarkan “kifarah sumpah” seperti yang diterangkan di atas.

8. Kifarah zihar

Kifarah zihar dikeluarkan berdasarkan kemampuan mengikut turutan berikut:

  1. Membebaskan seorang hamba beriman yang tidak ada kecacatan yang menghalangnya daripada berusaha mencari rezeki dan bekerja;
  2. Puasa 2 bulan berturut-turut apabila tiada hamba atau tidak mampu melakukannya; atau
  3. Memberi makan 60 orang fakir miskin apabila tidak mampu berpuasa atau tidak mampu bertahan puasa berturut-turut disebabkan tua ataupun sakit.
9. Kifarah membunuh

Orang yang membunuh sama ada dengan sengaja, menyerupai sengaja atau tersilap wajib mengeluarkan kifarah sebagai hak Allah SWT. Juga sama ada wali-wali mangsa memaafkannya daripada dikenakan diyah yang ditetapkan ataupun tidak, dan sama ada pembunuh itu waras (akil baligh) ataupun kanak-kanak ataupun orang gila. Kifarah itu adalah seperti berikut:

  1. Membebaskan seorang hamba mukmin yang tiada kecacatan yang menghalangnya bekerja atau mencari rezeki; atau
  2. Berpuasa 2 bulan berturut-turut jika tidak berkemampuan untuk membebaskan hamba.

Sekiranya tidak mampu berpuasa maka tidak diwajibkan memberi makanan kerana ia tidak diperintahkan, bahkan kewajipan kifarah itu tetap kekal sehinggalah dia mampu melakukannya.

10. Kifarah melalui pelaksanaan hukum hudud

Barang siapa yang melakukan dosa kesalahan hudud (hukumannya telah ditetapkan dalam agama) seperti membunuh, mencuri, qazaf dan meminum arak, kemudian hukuman tersebut dilaksanakan ke atasnya di dunia, sesungguhnya pelaksanaan hukuman tersebut menjadi kifarah bagi dosa itu walaupun dia tidak bertaubat dan Allah SWT tidak akan mencelanya di akhirat.

HIKMAH DISYARIATKAN KIFARAH

Kifarah di dalam syarak merupakan penampal kecuaian yang dilakukan oleh manusia dalam tindakan-tindakannya. Ia menampal bagi perkara yang telah dirosakkan dan memperbaiki perkara yang mungkin silap dilakukan. Selain itu ia juga menghapuskan kesan-kesan yang lahir daripada tindakan manusia sendiri.

Kifarah zihar contohnya adalah sebagai penghapus pendustaan yang dilakukan sewaktu dia menyamakan isterinya dengan ibunya dan pencerobohannya terhadap kehormatan orang yang dikasihinya.

RUJUKAN

  1. Mustofa Al-Khin, Mustofa Al-Bugho & Ali Asy-Syarbaji. 2005. Kitab Fikah Mazhab Syafie. Jilid 3. Kuala Lumpur: Pustaka Salam Sdn. Bhd.

 

  1. Tafsir Pimpinan Ar-Rahman.

Luqatah

DEFINISI LUQATAH

Dari segi bahasa, luqatah ialah sesuatu yang ditemui di tanah. Menurut syarak pula luqatah ialah harta yang ditemui di suatu kawasan yang tidak dimiliki, tidak dijaga dan penemu tidak mengenali pemiliknya.

Luqatah juga bermaksud harta yang hilang dari tuannya dan dijumpai oleh orang lain. Ia juga ditakrifkan sebagai harta tanpa milik yang dihormati yang dijumpai di sesuatu tempat yang tidak sepatutnya disimpan dan si penemunya tidak mengetahui orang yang berhak ke atas harta tersebut.

 

DALIL BERKAITAN HUKUM LUQATAH

Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Setelah itu, ia dipungut oleh orang-orang Firaun kesudahannya ia akan menjadi musuh dan menyebabkan dukacita bagi mereka; sesungguhnya Firaun dan Haman serta orang-orangnya adalah golongan yang bersalah.”

(Surah al-Qasas: ayat 8)

Rasulullah s.a.w. bersabda, mafhumnya:

“Kenalilah ikatan atau bungkusannya. Kemudian umumkan selama setahun. Jika anda tidak kenali pemiliknya, gunalah ia dan jadikan nilainya sebagai simpanan anda. Jika pemiliknya datang menuntutnya pada bila-bila masa, hendaklah anda serahkan kepadanya.”

(Riwayat Bukhari)

Zaid bin Khalid al-Juhani meriwayatkan, seorang lelaki bertanya Rasulullah s.a.w. berkenaan dengan harta luqatah lalu Baginda bersabda yang bermaksud:

“Hebahkanlah harta tersebut selama setahun.”

(Riwayat Bukhari dan Muslim)

HUKUM PEMILIKAN HARTA LUQATAH

Apabila seorang Muslim menemui barangan luqatah, dia digalakkan mengambilnya jika yakin mampu bersifat amanah dan bimbang barangan tersebut tidak akan ditemui oleh pemiliknya. Ini dilakukan bagi menjaga hak saudara Muslimnya.

Jika dia tidak yakin akan bersifat amanah dan bimbang dia sendiri akan mengambil terus barang tersebut, makruh jika dia mengambilnya.

Jika dia merasakan dirinya tidak akan bersikap amanah dan akan mengambilnya untuk memilikinya dan bukan untuk dikembalikan, haram baginya untuk mengambilnya.Rasulullah s.a.w. pernah menyentuh perkara ini:

“Orang yang mengambil barang yang hilang adalah berdosa selagi dia tidak menghebahkannya.”

(Riwayat Ahmad)

 

Mengikut pandangan jumhur fuqaha’, harus bagi penemu harta luqatah memiliki harta tersebut selepas tempoh hebahan sama ada beliau seorang yang kaya atau fakir. Jika harta tersebut telah dijual dia boleh memiliki harganya. Sekiranya pemilik asal ditemui beliau hendaklah mengembalikan harta atau harganya kepada pemilik tersebut sewajarnya.

 

JENIS-JENIS HARTA LUQATAH

a) Luqatah Bukan Haiwan:

  1. Harta yang cepat rosak seperti makanan. Dari segi hukum begini boleh diberi pilih kepada penemunya sama ada untuk memakan atau menggunakannya dan diganti, atau dia menjualnya dan menyimpan harganya.
  2. Harta yang cepat rosak tetapi boleh dijaga supaya tidak rosak. Bagi harta jenis ini wajib bagi penemunya mengambil tindakan yang sewajarnya bagi kepentingan pemilik asal iaitu menjual dan menyimpan harganya, melakukan sesuatu yang boleh mengelakkan harta tersebut dari rosak dengan belanja sendiri, atau dia menjual sebahagian harta tersebut bagi tujuan perbelanjaan penjagaan harta yang selebihnya.
  3. Harta yang tidak rosak. Bagi harta ini wajib bagi penemu menjaganya selama tempoh hebahan.

b) Luqatah Haiwan:

  1. Harus bagi penemu memelihara haiwan yang ditemuinya dan dikembalikan kepada tuannya apabila dituntut. Beliau boleh meminta dari tuan asalnya jumlah perbelanjaan yang digunakannya. Harus juga bagi beliau menjual dan menyimpan wang hasil jualan.

 

KUASA PENJAGA HARTA LUQATAH

Semasa berada di bawah jagaannya, penemu Harta Luqatah berkewajipan untuk menjaganya dengan cara yang sepatutnya. Dia tidak bertanggungjawab sekiranya berlaku apa-apa perkara kepada harta tersebut selama mana tidak ada kecuaian dari pihaknya. Walau bagaimanapun, penemu berkewajipan membuat hebahan terhadap Harta Luqatah tersebut.

Harta Luqatah yang bersifat remeh dan kecil yang kebiasaannya tidak dipedulikan oleh pemiliknya tidak wajib dihebahkan dan boleh dimiliki oleh penemunya.

TEMPOH HEBAHAN

Tempoh hebahan bagi harta yang bernilai ialah selama setahun sebagaimana yang disebut dalam hadis Rasulullah s.a.w. Bagi harta yang tidak begitu bernilai pada pandangan masyarakat, tempoh setahun adalah tidak perlu. Bahkan adalah memadai untuk satu tempoh yang dianggap pada kebiasaannya telah sampai hebahan tersebut kepada pemilik asalnya.

Hebahan hendaklah dilakukan di tempat-tempat awam seperti pasar, di pintu-pintu masjid, akhbar-akhbar dan seumpamanya yang menjadi tempat kunjungan orang ramai.

 

RUJUKAN

1.  Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji, Jabatan Perdana Menteri. 2007. Manual Pengurusan Harta Luqatah. Putrajaya: Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji.

2. Mustofa Al-Khin, Mustofa Al-Bugho & Ali Asy-Syarbaji. 2005. Kitab Fikah Mazhab Syafie. Jilid 7. Kuala Lumpur: Pustaka Salam Sdn. Bhd.

3. Tafsir Pimpinan Ar-Rahman.

Nazar

DEFINISI NAZAR

Nazar dari sudut bahasa ialah janji melakukan kebaikan ataupun keburukan. Dari sudut syarak, nazar ialah janji melakukan kebaikan secara khusus. Manakala nazar menurut istilah fuqaha’ pula bererti mewajibkan diri melakukan ibadah yang tidak diwajibkan oleh syarak secara mutlak ataupun ibadah yang bergantung kepada perkara yang lain.

DALIL NAZAR

Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Mereka dikurniakan kesenangan itu kerana mereka menyempurnakan nazarnya (apatah lagi yang diwajibkan Tuhan kepadanya), serta mereka takutkan hari (akhirat) yang azabnya seksanya merebak di sana sini.”

(Surah al-Insan: ayat )

Daripada `Aisyah r.a., Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:

"Sesiapa yang bernazar untuk taat kepada Allah maka taatlah akanNya, dan sesiapa yang bernazar untuk berbuat maksiat kepadaNya maka janganlah membuat maksiat kepadaNya."

(Riwayat Bukhari)

HUKUM NAZAR

Nazar adalah disyariatkan dan ia termasuk ibadat yang wajib dilaksanakan oleh orang yang bernazar. Sebab itulah para fuqaha’ menyatakan bahawa nazar tidak sah dilakukan oleh orang kafir.

Namun adalah lebih afdhal seseorang itu melakukan ibadat yang mahu dilakukannya tanpa mewajibkan perkara itu ke atas dirinya dengan menjadikannya sebagai nazar.

JENIS-JENIS NAZAR

Terdapat 3 jenis nazar, iaitu:

1. Nazar al-Lajjaj (keras kepala)

Nazar yang berlaku dalam keadaan pertengkaran dan ia terbit hasil daripada kemarahan. Contohnya, sekiranya aku bercakap dengan si pulan, maka atas nama Allah wajib ke atasku puasa sebulan. Nazar jenis ini ada dua keadaan dari satu sudut ia seperti bersumpah tidak mahu bercakap, dari sudut yang lain pula seperti nazar, maka orang yang bernazar boleh memilih sama ada tebus sumpah atau menunaikan nazarnya.

2. Nazar al-Mujazah (ganjaran)

Nazar yang mana seseorang itu mensyaratkan kewajipan sesuatu ibadat dengan tercapainya sesuatu kehendak. Contohnya, jika aku sembuh daripada penyakit ini maka aku akan mewakafkan sebahagian daripada hartaku. Apabila kehendak yang dinazarkan itu tercapai seperti Allah menyembuhkan penyakitnya itu, maka orang yang bernazar wajib melaksanakan apa yang telah diwajibkan untuk dilaksanakan.

3. Nazar al-Mutlaq

Nazar yang semata-semata hendak mendekatkan diri kepada Allah dan tidak didahului oleh apa-apa masalah. Contohnya, atas nama Allah wajib ke atasku puasa pada hari Khamis. Nazar ini wajib dilaksanakan kerana nazar ini tiada pergantungan syarat dengan perkara lain.

 

SYARAT-SYARAT NAZAR

1. Orang yang bernazar, disyaratkan tiga perkara

  1. Islam, tidak sah nazar orang kafir.
  2. Taklif, tidak sah nazar kanak-kanak dan orang gila.
  3. Sukarela, tidak sah nazar orang yang dipaksa.

2. Perkara yang dinazarkan, disyaratkan dua perkara berikut:

Hendaklah sesuatu yang dinazarkan itu berupa ibadat dan mendapat pahala.

Perkara yang dinazarkan bukanlah termasuk perkara yang sememangnya telah diwajibkan secara fardu ain, contohnya solat lima waktu.

KESAN TERHADAP NAZAR YANG SAHIH (CUKUP SYARATNYA)

Apabila nazar itu sah iaitu cukup syarat yang telah disebutkan, maka orang yang bernazar wajib melaksanakan apa yang telah diwajibkan ke atas dirinya, apabila berlaku perkara yang dikehendakinya itu. Hukum ini adalah bagi nazar yang dikaitkan dengan tercapainya sesuatu kehendak. Bagi nazar mutlak, dia bebas melaksanakannya secara mutlak (bila-bila masa).

Disunatkan menyegerakan perlaksanaan apa yang dinazarkan pada awal waktu dan ketika hadirnya peluang yang mengizinkan. Ini dilakukan sebagai cara untuk segera melepaskan diri daripada kewajipan tersebut. Sekiranya nazar itu terikat dengan masa tertentu maka wajib menunaikannya dalam masa tersebut. Sekiranya melewatkan daripada masa yang ditetapkan tanpa keuzuran maka berdosa dan wajib mengqadanya. Sekiranya dia melewatkannya disebabkan keuzuran, dia tidak berdosa dan wajib mengqadhanya pada bila-bila masa yang memungkinkannya menunaikannya.

RUJUKAN

  1. Mohd. Farid Ravi Abdullah. 2007. Harus bernazar untuk dekatkan diri kepada Allah. Utusan Malaysia Online – Bicara Agama, 18 Mei.
  2. Mustofa Al-Khin, Mustofa Al-Bugho & Ali Asy-Syarbaji. 2005. Kitab Fikah Mazhab Syafie. Jilid 3. Kuala Lumpur: Pustaka Salam Sdn. Bhd.
  3. Tafsir Pimpinan Ar-Rahman.

Riba

DEFINISI RIBA

Menurut bahasa Arab, riba ialah lebihan, pertambahan dan perkembangan pada sesuatu dari harta yang ditentukan atau dikhususkan.

Manakala, menurut istilah pula ia bermaksud kontrak yang dimeterai sebagai pertukaran barangan tertentu tetapi pada ketika kontrak dimeterai pertukaran ini tidak diketahui kesamarataannya menurut ukuran syarak, ataupun penyerahan salah satu atau kedua-dua barangan tersebut dilewatkan.

DALIL RIBA

Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Orang-orang yang memakan (mengambil) riba itu tidak dapat berdiri betul melainkan seperti berdirinya orang yang dirasuk syaitan dengan terhuyung-hayang kerana sentuhan (syaitan) itu. Yang demikian ialah disebabkan mereka mengatakan: “Bahawa sesungguhnya berjual beli itu sama sahaja seperti riba.” Padahal Allah telah menghalalkan berjual beli (berniaga) dan mengharamkan riba. Orang itu sesiapa yang telah sampai kepadanya peringatan (larangan) dari Tuhannya lalu ia berhenti (dari mengambil riba), maka apa yang telah diambilnya dahulu (sebelum pengharaman itu) adalah menjadi haknya, dan perkaranya terserahlah kepada Allah. Dan sesiapa yang mengulangi lagi (perbuatan mengambil riba itu) maka mereka itulah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya.”

(Surah Al-Baqarah: ayat 275)

Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu memakan riba dengan berlipat ganda dan bertakwalah kamu kepada Allah supaya kamu mendapat keberuntungan.”

(Surah Ali `Imran: ayat 130)

Dari Abu Sa`id al-Khudri r.a., bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:

"Janganlah kalian menjual emas dengan emas kecuali yang sama beratnya, janganlah kalian melebihkan sebahagian di atas sebahagian yang lain, janganlah kalian menjual perak dengan perak kecuali yang sama beratnya dan janganlah kalian melebihkan sebahagian di atas sebahagian yang lain, dan janganlah kalian menjual yang tidak ada di antara barang-barang itu dengan yang ada.”

(Riwayat Bukhari dan Muslim)

HUKUM RIBA

Hukum riba ialah haram berdasarkan firman Allah SWT dan sabda Rasulullah s.a.w. sebagaimana yang telah dinyatakan di atas.

 

JENIS RIBA

1.         Riba al-Fadl (bayaran tambahan)

Riba al-Fadl ialah jual beli barangan berunsur riba iaitu barangan ribawi seperti mata wang (emas dan perak) dan bahan makanan asas (beras dan gandum) dan disertakan dengan adanya perbezaan dan pertambahan oleh salah satu pihak.

Contohnya ialah penjual menjual secupak gandum dengan pembeli membayar dua cupak gandum.

2.         Riba al-Nasi’ah (bayaran bertangguh)

Riba al-Nasi’ah ialah jual beli barangan berunsur riba dengan barangan berunsur riba yang lain secara bertangguh dan kedua-duanya mempunyai `illah yang sama.

Contohnya ialah penjual menjual secupak gandum dan dibayar dengan secupak gandum atau dua cupak barli dalam tempoh sebulan barulah pembayaran dibuat.

3.         Riba al-Yad

Riba al-Yad ialah jual beli barangan berunsur riba dengan barangan berunsur riba yang lain dan kedua-duanya mempunyai `illah yang sama tanpa disyaratkan tempoh tertentu ketika kontrak tersebut. Walau bagaimanapun, kelewatan menyerahkan salah satu atau kedua-dua barangan benar-benar berlaku di luar majlis kontrak.

 

HIKMAH PENGHARAMAN RIBA

Di antara hikmah dalam pengharaman riba adalah seperti berikut:

  1. Memelihara harta orang Islam agar tidak dieksploitasi dengan cara batil;
  2. Memfokuskan orang Islam supaya mengembangkan harta dengan apa jua bentuk pekerjaan yang mulia yang bersih dari segala bentuk penipuan, jauh dari segala unsur yang boleh menimbulkan kesukaran dan kemarahan di kalangan kaum Muslimin, misalnya terlibat dalam sektor pertanian, pembuatan (industri) dan perniagaan yang sah lagi bersih;
  3. Menyekat semua jalan yang boleh menimbulkan atau menyebabkan permusuhan di kalangan sesama Muslim; dan
  4. Menjauhkan orang Islam dari sesuatu yang menyebabkan kebinasaan sendiri, kerana pemakan riba adalah seorang yang zalim dan akibat perbuatan zalim adalah kesusahan.

RUJUKAN

  1. Abu Bakar Hamed, Nasri Naiimi & Muhammad Nasri. 2005. Pengurusan Perniagaan Islam. Sintok: Universiti Utara Malaysia.
  2. Abdullah bin Abdurrahman Ali Bassam. 2003. Syarah Hadits Pilihan. Jakarta: Buku Islam Kaffah.
  3. Mustofa Al-Khin, Mustofa Al-Bugho & Ali Asy-Syarbaji. 2005. Kitab Fikah Mazhab Syafie. Jilid 6. Kuala Lumpur: Pustaka Salam Sdn. Bhd.
  4. Tafsir Pimpinan Ar-Rahman.
Dikemaskini pada Jumaat, 30 April 2010 09:10
 

Mutiara Kata

Pautan

ywm

ywm

intranet

webmail

Hit Laman

mod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_counter
mod_vvisit_counterHari Ini5536
mod_vvisit_counterSemalam13674
mod_vvisit_counterKeseluruhan884054

Hari Ini: Sep 07, 2010