|
Himpunan Fatwa > Pulau Pinang
1. PERKARA WASIAT BERKAITAN WAKAF Pihak kami ingin memohon pandangan mengenai surat wasiat Encik Zachariah bin Omar Bachir berkenaan penerimaan wakaf yang berhak atas rumah No.67, Leboh aceh, Pulau Pinang.
KEPUTUSAN Jawatankuasa telah memutuskan bahawa bahagian-bahagian wakaf khas orang yang telah mati terdiri daripada Syed Syeikh, Syed Omar dan Syed Ali adalah terluput dan yang yang masih kekal pembahagian wakaf itu hanya untuk Syed ‘Othman sahaja. Maka peruntukan pampasan diwaktu itu adalah tertakluk kepada Peruntukan Undang-undang majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang yang sedia ada (1959). (Mac 1995)
2. PERKARA LAGI KES WAKAF TANAH MASJID SIMPANG ENAM 1. Apakah pandangan Ahli Jawatankuasa mengenai syarat-syarat yang terkandung dalam Surat Amanah Wakaf atau Deed Of Settlement yang ditafsirkan oleh mahkamah sebagai Surat Ikatan Penyelesaian bermaksud- ia digunakan sebagai tempat orng-orang Islam bersembahyang jemaah dan tidak untuk tujuan-tujuan lain. 2. Hakim berkata dalam penghakiman : Pada pandangan saya, pihak Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAIPP) juga harus mempunyai minda yang terbuka mengenai rancangan ini. Majlis bukanlah berada dalam satu keadaan dimana ia perlu membuat satu pilihan antara hidup atau mati. Tanah wakaf itupun cukup luas untuk dibina masjid dn bangunan-bangunan lain sebelah-menyebelah. Soalan saya :- (a) Tidak bolehkah tapak masjid itu dikekalkan untuk masjid? (b) Tidak bolehkan bahagian yang selain daripadanya itu digunakan untuk tujuan ekonomi dan sebagainya?
KEPUTUSAN 1. Jawatankuasa Syariah telah memutuskan bahawa syarat tersebut tidak bercanggah dengan apa yang hendak dibuat oleh Majlis Agama Islam PUlau Pinang iaitu dengan membina lima tingkat bangunan dan diatasnya masjid adalah tiadak bercanggah dengan amanah tersebut. Sebabnya dengan pembinaan tersebut tidak menghalang orang-orang Islam bersembahyang jemaah di mauquf itu.
Jika syarat waqif hanya tempat orang sembahyang, syarat yang disyaratkan itu tidak bercanggah dengan Fatwa tahun 1989 kerana syarat wakif itu bukannya diubah wasiat itu, mengikut kitab Al Fiqhul Islami Wa Adillatuh. Juzuk 8, dan dalam Kitab Hidayatu Sharhu Bidayah tetapiuntuk meluaskannya sahaja tempat bersembahyang jemaah itu. 2. Jawatankuasa Syariah berpendapat bahawa tidak apa-apa halangan untuk menerima pandangan dan cadangan hakim ini dan tidak bercanggah dengan hokum-hukum syara’ dan dengan fatwa yang telah dikeluarkan pada tahun 1989 itu. (Disember 1995)
3. PERKARA FATWA PENGIRAAN ZAKAT PADI DAN SUBSIDI PADI (MAALUL MUSTAFAD) Bagaimanakah pandangan Ahli Jawatankuasa mengenai pengiraan zakat padi dan subsidi padi (Maalul Mustafad)
KEPUTUSAN Kerajaan memberi subsidi ini kepada orang yang membuat bendang dan menjual padi itu dalam tempoh yang ditetapkan, sekiranya seseorang itu telah menyimpan padi ke satu tarikh yang luput tempohnya maka subsidi padi tidak akan diberikan kepadanya, ini bererti subsidi itu bukanlah dari hasil daripada padi tetapi sebagai inisiatif (galakan) yang diberi oleh Kerajaan kepada pesawah-pesawah padi dan ia adalah berasingan daripada hasil padi sebenarnya.
Bagi subsidi sebanyak 0.2481 itu adalah sebahagian daripada subsidi yang diberi oleh Kerajaan kepada petani seperti baja, racub dan sebagainya. Semua ini dinamakan subsidi, oleh itu sekiranya hendak diambil kira semuanya maka hendaklah semua dimasukkan dalam satu kiraan sebagai subsidi bukan hanya subsidi jualan padi sahaja oleh kerana itu subsidi padi itu adalah berasingan dengan harga padi.
Jika berlaku bencana alam terhadap padi-padi yang ditanam, maka subsidi akan luput daripada pesawah-pesawah padi tadi dan ia hanya dapat subsidi dalam bentuk yang lain. Oleh itu, Ahli Jawatankuasa Syariah memberi pendapat bahawa subsidi padi bukan harga padi dan tidak boleh dicampur subsidi padi dengan harga padi untuk kiraan pungutan/kutipan zakat biji-bijian.
(Oktober 1996)
4. PERKARA WANG ZAKAT YANG TIDAK HABIS DIAGIHKAN Bagaimanakah jika ada cadangan untuk menghabiskan wang zakat yang tidak habis digunakan seperti dengan cara : - 1. Mewujudkan tabung pinjaman daripada Al-Faidh 2. Mewujudkan tabung pinjama kepada pelajar 3. Imthess wang zakat dilaburkan itu dimasukkan ke dalam AKaun Sumber Am sebagai hasil.
KEPUTUSAN Dalam masalah di atas AJK Mesyuarat Syariah Negeri Pulau Pinang sebulat suara menolak dan melarang sama sekali ketiga-tiga cadangan tersebut. (Januari 1998)
5. PERKARA PERLANTIKAN LHDN SEBAGAI AMIL ZAKAT GAJI
KEPUTUSAN Mesyuarat bersetuju dengan syarat Amilnya dilantik di kalangan staff LHDN itu beragama Islam dan mendapat kebenaran terlebih dahulu dari pengeluar zakat tersebut. (Januari 1998)
6. PERKARA KES KEDUDUKAN TANAH WAKAF DAN BANGUNAN SURAU KG.PERLIS, BAYAN LEPAS.
KEPUTUSAN Mesyuarat memutuskan : - 1. Surau boleh dikategorikan sebagai masjid dalam isu wakaf. 2. Perlu dapatkan maklumat lanjut mengenai keluasan bangunan surau sebenar supaya dapat dianggarkan kawasan sekeliling yang patut dimasukkan di bawah keperluan surau. 3. Memohon jasa baik Y.Bhg. Dato’ Abu Hassan Din Al-Hafiz bertemu dan berbincang dengan pihak Tabung Haji bagi mendapatkan persetujuan mewakafkan tanah surau Kg.Perlis dan kawasan sekeliling untuk kegunaan masyarakat Islam setempat. (Januari 2000)
7. PERKARA FATWA MENGENAI “ZAKAT PENGAJIAN’ Pada menjalankan kuasa yang diberikan oleh syeksyen 36 Enakmen Pentadbiran Hal Ehwal Agama Islam Negeri Pulau Pinang 1993, Mufti bagi Negeri Pulau Pinang 1993, Mufti bagi Negeri Pulau Pinang setelah membincang dengan Jawatankuasa Syariah membuat fatwa seperti yang dinyatakan dalam jadual. 1. Zakat ke atas pendapatan dan pengajian adalah wajib bagi orang yang layak mengeluarkan zakat. 2. Pengajian adalah bayaran yang diterima oleh seseorang ssebagai gaji atau upah kerja atau perkhidmtan yang dilakukan mengikut masa tertentu termasuk elaun dan imbuhan atau bonus daripada apa-apa pekerjaan dan perkhidmatan professional dan bukan professional. (April 2001)
8. PERKARA CADANGAN PENGAMBILAN BALIK TANAH WAKAF DI SEBAHAGIAN LOT 936, G.M. 238, MK.16,SPU SELUAS 5000 KAKI PERSEGI UNTUK TUJUAN AWAM (PEMASANGAN LAMPU ISYARAT)
KEPUTUSAN 1. Mesyuarat membahaskan asas pertimbangan yang dikemukakan, bahawa kesesakan jalan raya di kawasan itu, iaitu di persimpangan jalan Sungai Dua – pengkalan Machang telah menyebabkan banyak kejadian kemalangan berlaku di situ. Justeru pihak berkuasa negeri telah mengambil inisiatif untuk membuat pemasangan lampu isyarat serta menaik persimpangan jalan Sungai Dua – Pengkalan Machang. 2. Mesyuarat bersetuju untuk membenarkan pengambilan balik tanah wakaf seluas 5000 kaki persegi bagi maksud tujuan awam. 3. Mesyuarat berpandangan bahawa nilaian pampas an RM 14.00 sekaki persegi adalah tidak berpatutan dengan nilaian semasa. Justeru, mesyuarat mencadangkan agar pihak Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) meminta Jabatan Penilaian Harta untuk mengkaji semula kadar nilaian yang berpatutan bagi tapak tersebut. (April 2002)
9. PERKARA PENGGUNAAN WANG ZAKAT BAGI PEMBELIAN KENDERAAN UNTUK KEGUNAAN PEJABAT MAJLIS AGAMA ISLAM NEGERI PULAU PINANG DAN JABATAN AGAMA ISLAM PULAU PINANG.
KEPUTUSAN Mesyuarat memutuskan bahawa tidak membenarkan penggunaan sumber zakat bagi maksud pembelian ini kerana sumber-sumber rujukan dan pandangan ulamak (kitab) muktabar masa kini jelas menyatakan tidak membenarkannya. (Jun 2002)
10. PERKARA CADANGAN PENGAMBILAN TANAH WAKAF SEBAHAGIAN LOT 315 GM 710,316, 717 GM 284 DAN 2006. MK. 16 SPU UNTUK TUJUAN AWAM-PROJEK TEBATAN BANJIR, SUNGAI PERAI.
KEPUTUSAN Mesyuarat bersetuju untuk pengambilan balik tanah bagi maksud kepentingan awam dan memberikan harga nilai tanah tersebut kepada MAINPP. (Jun 2002)
11. PERKARA PEMBELIAN PREMIS-PREMIS ZAKAT, MAJLIS AGAMA ISLAM NEGERI PULAU PINANG DI NO. 40 DAN 40-A, JALAN LIM EOW THOON, PULAU PINANG.
KEPUTUSAN Mesyuarat memutuskan bahawa pembelian premis-premis tersebut oleh Bahagian Sumber Am, Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang dibenarkan dengan kadar yang ditentukan oleh Majlis Agama islam Negeri Pulau Pinang. (Ogos 2003)
12. PERKARA CADANGAN MAINPP UNTUK MEMBAYAR BALIK PINJAMAN MENGGUNAKAN PERUNTUKAN KEWANGAN DARIPADA AKAUN TAWAQUF DI BAWAH DI BAWAH PENTADBIRAN PUSAT URUS ZAKAT.
KEPUTUSAN 1. Mesyuarat bersetuju tidak membenarkan bayaran balik pinjaman dibuat menggunakan peruntukan Akaun Tawaquf. 2. Mesyuarat mengambil kira asas pengagihan kutipan zakat kepada lapan asnaf yang berkenaan sahaja. Manakala bayaran balik kepada pinjaman Akaun Tawaquf pula tidak dapat ditentukan masanya yang mana jumlah keseluruhan pinjaman tersebut perlu selesaikan pada tahun berkenaan pinjaman dibuat. 3. Mesyuarat juga mengambil kira factor bayaran pinjaman belum sampai ke tahap kritikal. (Ogos 2003)
13. PERKARA MEROBOH DAN MEMBINA SEMULA MASJID JAMEK AR-RAHMAN, BATU FERINGGHI, DAERAH TIMUR LAUT.
KEPUTUSAN 1. Mesyuarat memutuskan segala hasil dan manfaat dari aktiviti komersial yang diperolehi melalui tanah tersebut hendaklah diberi kepada masjid yang berdekatan sebagai menunaikan hasrat pewakaf. 2. Mesyuarat memutuskan memberi kebenaran menggunakan bayaran pampas an pengambilan pengambilan balik tanah Lot 1066, MK. 4, SPT untuk membeli sebahagian tanah bagi pembesaran Masjid Permatang Pauh mengikut kaedah Istibdal. Perkara ini telah dimaklumkan kepada pihak MAINPP. (September 2004)
14. Perkara:
CADANGAN PENETAPAN KADAR ZAKAT TANAMAN (PADI)
Keputusan:
Mesyuarat bersetuju memutuskan perkara tersebut adalah seperti berikut:
i. Kadar zakat tanaman padi ialah 10% jika sampai nisab setelah ditolak kos penyelenggaraan pengurusan.
ii. Pihak Pusat Urus Zakat, MAINPP dipohon supaya menyediakan garis panduan bagi kadar kos penyelenggaraan pengurusan.
iii. Mengenai subsidi pada jenis tanaman tersebut bahawa dikenakan zakat atas kadar 2.5% sebagai wang mustafad.
( Mac 2005 )
15. Perkara:
PERMOHONAN UNTUK MENDIRIKAN TADIKA ISLAM DI ATAS TANAH WAKAF LOT 121 MUKIM 7, SEBERANG PERAI UTARA
Keputusan:
Mesyuarat mendapati bahawa Tanah Wakaf Lot 121 Mukim 7, SPU tersebut adalah Tanah Wakaf Khas (untuk tanah perkuburan) dan bukan untuk tujuan lain. Oleh yang demikian, permohonan tersebut adalah tidak dapat dipertimbangkan.
i. Mesyuarat mendapati bahawa Tanah Wakaf Lot 121 Mukim 7, SPU tersebut adalah Tanah Wakaf Khas (untuk tanah perkuburan) dan bukan untuk tujuan lain. Oleh yang demikian, permohonan tersebut adalah tidak dapat dipertimbangkan. ii. Untuk mengatasi permasalahan tadika tersebut, maka mesyuarat mengesyorkan supaya bangunan surau yang sedia ada tersebut perlu dibaik pulih atau dibangunkan semula demi keperluan setempat. iii. Mesyuarat mengambil peringatan bahawa Tanah 121 tersebut hendaklah di pagar dan aktiviti permainan bola di tempat tersebut hendaklah diberhentikan dan perkara tersebut dibuat kajian dengan mengenal pasti kawasan yang ada kubur di dalam Tanah 121 tersebut.
( Mac 2005 )
16. Perkara:
CADANGAN MENGGUNA PAKAI TANAH-TANAH DAN BANGUNAN “RESERVE” SURAU / MASJID UNTUK LAIN-LAIN KEGUNAAN
Keputusan:
1. Mesyuarat mengambil maklum dan meneliti secara terperinci mengenai butiran yang dinyatakan.
2. Mesyuarat memutuskan mengenai perkara tersebut seperti berikut:
i. Tanah-tanah ‘Reserve’ surau boleh diguna pakai untuk perkara-perkara lain, dengan syarat (Tidak bercanggah dengan hukum Syarak). ii. Bagi bangunan surau yang sedia ada dan tidak digunakan, maka hendaklah diimarahkan.
( Mac 2005)
17. Perkara:
CADANGAN MENGGUNAKAN WANG TAWAQQUF BAGI PEMBELIAN TANAH LOT 3800 DAN 3801 MK.12, SPU UNTUK DIJADIKAN SEBAGAI ASET WAKAF MELALUI SUMBER DANA WAKAF.
Keputusan:
Mesyuarat bersetuju mencadangkan dan memutuskan perkara tersebut seperti berikut:
i. Pihak MAINPP melalui Tabung Tawaqquf membeli tanah tersebut dengan kadar RM1,173,307,479 berdasarkan nilaian RM8.50 sekaki persegi atau jika boleh atas kadar nilaian RM8.00 sekaki persegi.
ii. Pihak Tawaqquf hendaklah menjual semula tanah tersebut kepada orang ramai bagi tujuan wakaf mengikut kaki persegi atau yang bersesuaian.
( April 2005 )
18. Perkara: CADANGAN UNTUK MENDIRIKAN SEKOLAH AGAMA RAKYAT DI ATAS TANAH WAKAF LOT 1323, MUKIM 14, SEBERANG PERAI TENGAH.
Keputusan: Mesyuarat memutuskan berdasarkan fakta-fakta yang dinyatakan oleh pemohon adalah seperti berikut:
i. Tanah wakaf tersebut dinyatakan wakaf khas untuk Masjid dan tanah perkuburan, oleh itu ianya tidak boleh digunakan untuk tujuan lain.
ii. Mesyuarat memutuskan berdasarkan keperluan, maka dicadangkan supaya Ruang Balai Lintang dan persekitaran ruang tambahan yang dijadikan kelas KAFA di masjid berkenaan dibuat pembesaran yang sesuai untuk dijadikan kelas KAFA sementara dan juga sesuai untuk tempat tambahan ruang sembahyang.
( Jun 2005 )
19. Perkara: PERMOHONAN MEWAKAFKAN TANAH ATAS LOT 624, SEKSYEN 2 GEORGETOWN, DTL OLEH PUAN HASMAH BINTI BAKAR.
Keputusan: Mesyuarat bersetuju memutuskan permohonan tersebut seperti berikut:
i. Bahagian Wakaf MAINPP adalah dipohon supaya mendapatkan maklumat lengkap berkenaan status Encik Osman bin Kastawi, sama ada beliau salah seorang waris yang berhak ke atas Tanah Lot 624, Seksyen 2 Georgetown.
( April 2006 )
20. Perkara: STATUS PEMILIKAN FAEDAH ATAS TANAH WAKAF LOT 717, MUKIM 16 SPU.
Keputusan: Mesyuarat telah memutuskan status Lot 717, Mukim 16 SPU adalah seperti berikut:
ii. Untuk urusan pentadbiran Tanah Wakaf, MAINPP boleh mengambil peruntukan dari hasil Tanah Wakaf itu untuk tujuan tersebut.
iii. Faedah ke atas Tanah Wakaf Lot 717 Mukim 16 SPU, hendaklah ditentukan berdasarkan kepada kedudukan haraki ahli keluarga berkenaan, kerana wakaf tersebut sebagai “wakaf ahli”.
( April 2006 )
21. Perkara: PERMASALAHAN PENGAGIHAN WANG ZAKAT UNTUK PROGRAM TUISYEN UPSR/PMR DAN SPM DI SEKOLAH-SEKOLAH TEPILIH DI PULAU PINANG.
Keputusan: Mesyuarat telah memutuskan seperti berikut:
i. Pelajar-pelajar bukan Islam boleh menyertai tuisyen tersebut.
ii. Ibu bapa pelajar bukan Islam perlu membayar kos tuisyen untuk anak mereka atau pihak sekolah menggunakan wang dari sumber lain.
iii. Untuk pembayaran kepada tenaga pengajar bukan Islam, pihak PUZ dinasihatkan supaya mengeluarkan peruntukan tersebut di atas nama sekolah berkenaan, maka tenaga pengajar yang bukan Islam itu boleh membuat tuntutan bayaran tersebut terus dari pihak sekolah.
iv. Mesyuarat mencadangkan supaya mata pelajaran pengetahuan Agama Islam diajar dalam program tuisyen ini dan pihak PUZ dapat menyediakan buku-buku yang berkaitan dengan ‘adab-adab dalam Islam’.
( April 2006 )
22. Perkara: CADANGAN MELAKSANAKAN KONSEP ISTIBDAL BAGI PERMOHONAN PEMAJUAN PERUMAHAN SECARA USAHA SAMA OLEH PANSPRINT CONSOLIDATED SDN.BHD ATAS TANAH WAKAF PERKUBURAN DI LOT 45, SEKSYEN 2, BUKIT MERTAJAM,SPT.
Keputusan: Mesyuarat telah memutuskan seperti berikut:
i. Bersetuju supaya konsep Istibdal wakaf dilaksanakan ke atas Lot 45, Seksyen 2, Bukit Mertajam.
ii. Mesyuarat juga mengingatkan supaya tanah yang diistibdalkan itu hendaklah sama atau lebih baik dari tanah Lot 45.
( Oktober 2006 )
23. Perkara: PENGESAHAN HUKUM PENGAGIHAN DANA ZAKAT KEPADA GOLONGAN BUKAN ISLAM.
Keputusan: Mesyuarat telah mengambil keputusan seperti berikut:
i. Takrif Asnaf Muallaf ialah “Seseorang yang memeluk Islam dan iman masih lemah, adalah diharapkan melalui pemberian agihan ini boleh menguatkan imannya”. Takrif ini telah diputuskan dalam Muzakarah “Penetapan Pengesahan Hukum dan Dasar Agihan MAINPP” yang telah diadakan pada 26 – 28 September 1998 di Hotel Seri Malaysia, Bayan Baru. ii. Sumber zakat tidak boleh diberikan kepada orang bukan Islam. Ini berdasarkan kepada pendapat Mazhab Syafie dalam Kitab Fiqh al-Islami Waadilah Jilid ke-2, karangan Dr. Wahbah al-Zuhaily : hal 871;
Bermaksud “Zakat tidak boleh diberikan kepada orang kafir sama ada tujuannya untuk menjinakkan mereka kepada Islam ataupun untuk tujuan lain. Semasa permulaan Islam orang kafir diberi zakat kerana bilangan orang Islam masih kecil, sedangkan bilangan musuh (orang kafir) ramai. Sekarang Allah telah memuliakan Islam dan penganutnya. Bilangan mereka sudah ramai dan tidak perlu lagi untuk menjinakkan orang kafir (dengan pemberian zakat). Para Khulafa al-Rasyidin pun tidak memberi zakat kepada mereka. Malah Saiyidina Umar bin al-Khattab mengatakan, “Sesungguhnya kami tidak akan memberi sesuatu untuk mereka menganut Islam. Mereka boleh memilih sama ada hendak beriman atau menjadi kafir”.
iii. Mesyuarat berpendapat program lawatan dan ziarah pesakit-pesakit di hospital adalah baik dan patut diteruskan. Cuma sumbangan yang hendak diberikan kepada orang bukan Islam hendaklah diperolehi dari sumber lain, bukan sumber zakat.
( November 2006 )
24. Perkara: PERMASALAHAN PAJAKAN PREMIS DI ATAS TANAH WAKAF BAGI CADANGAN USAHA SAMA PEMBANGUNAN TANAH WAKAF LOT 1444, MUKIM 4, SEBERANG JAYA, SEBERANG PERAI TENGAH, Pulau Pinang.
Keputusan: Mesyuarat telah mengambil keputusan seperti berikut:
i. Mesyuarat bersetuju Lot 1444, Mukim 4, SPT dimajukan dengan cara usaha sama di antara MAINPP dengan UDA Land (North) Sdn.Bhd sebagai balasan kepada MAINPP dengan usaha sama ini UDA Land akan menyerahkan kepada MAINPP 7 unit kedai pejabat tiga tingkat bernilai RM10.88 juta.
ii. Tanah wakaf Lot 1444 ini tetap menjadi milik MAINPP sebagai pemegang amanah.
iii. Borang 15A akan digunapakai dalam proses sewaan atau pajakan yang akan dilaksanakan.
iv. Mesyuarat bersetuju supaya kaedah sewaan atau pajakan yang digunapakai adalah seperti berikut:
a) Menurut hukum syarak, Tanah Wakaf dan binaan yang terdapat di atasnya tidak boleh dijual, dicagar dan digadai.
b) Harta ini hanya boleh disewa atau dipajak iaitu dengan memberi milik manfaat dalam masa tertentu dengan kadar bayaran tertentu. Jika seseorang menyewa atau memajak sebuah rumah atau kedai maka dia boleh mengambil manfaat daripadanya mengikut kehendaknya iaitu samada dia mendiami sendiri atau memberi kepada orang lain mendiaminya dengan cara menyewa atau dengan cara memberi pinjaman (mendiami secara percuma tanpa sewaan) (Dr. Wahbah al-Zuhaily : Hal 763. Fiqh al-Islami Waadilah Jilid ke-4).
c) Berdasarkan kepada hujah di atas, maka sistem sewaan atau pajakan ini boleh dilaksanakan seperti berikut:
- Setelah premis dibangunkan dalam sesebuah projek itu siap, maka ianya di bawah pentadbiran MAINPP sebagai pemegang amanah.
- MAINPP bolehlah menyewa atau memajak kepada pihak bank / institusi kewangan untuk tempoh 99 tahun, perolehan dari sewaan atau pajakan itu, MAINPP bolehlah menggunakannya untuk membuat bayaran balik kepada pemaju.
- Setelah itu pihak bank dibolehkan untuk menyewa atau memajak kepada pihak yang ketiga (pelanggan) dalam tempoh masa yang boleh ditetapkan oleh pihak bank, seperti dalam tempoh 25 tahun.
- Pihak bank mengenakan sewaan atau pajakan dengan jumlah tertentu dalam tempoh yang ditetapkan, setelah mengambil kira keuntungan yang akan diperolehi oleh bank. Bayaran sewaan atau pajakan itu boleh dibuat dengan cara ansuran iaitu tiap-tiap bulan. Pihak bank boleh berjanji akan meneruskan sewaan atau pajakan ke atas pelanggan dalam tempoh baki tahun iaitu 74 tahun, jika sekiranya pelanggan dapat menjelaskan sewaan atau pajakan bulanan itu dengan baik hingga tamat tempoh yang ditetapkan.
- Pihak bank juga boleh membatalkan sewaan atau pajakan ke atas seseorang jika orang itu gagal menjelaskan sewaan bulanannya, dengan itu pihak bank boleh menyewa atau memajak kepada orang lain.
- Jika pihak bank menetapkan sewaan atau pajakan dalam tempoh 25 tahun telah tamat, pihak bank bolehlah membaharui sewaan atau pajakan dalam tempoh baki iaitu 74 tahun. Bayaran sewaan atau pajakan dalam tempoh baki ini boleh dilaksanakan dengan cara ‘token’.
- Pihak yang menyewa atau memajak dalam tempoh ini (74 tahun) dibolehkan menyewa atau memajak kepada pihak yang keempat.
- Pihak MAINPP sebagai pemegang amanah ke atas tanah wakaf ini boleh membuat apa-apa syarat yang lain yang munasabah untuk menjaga kepentingan tanah wakaf tersebut.
( November 2006 )
25. Perkara: PERMOHONAN UNTUK MENDIRIKAN SEKOLAH AGAMA RAKYAT ATAS LOT PT 2330, MUKIM 13, DTL DAN PERMASALAHAN TANAH WAKAF ATAS LOT 6602, MUKIM 13, DTL.
Keputusan: Mesyuarat telah mengambil keputusan seperti berikut:
i. Bahagian Wakaf dipohon untuk mendapatkan surat Qauluhu al-haq yang asli.
( November 2006 )
26. Perkara: CADANGAN MENGGUNAKAN SUMBER HASIL WAKAF BAGI TUJUAN MELAKSANAKAN PROJEK PEMBANGUNAN 14 UNIT RUMAH KEDIAMAN DI ATAS TANAH WAKAF LOT 192 MK.1, SEBERANG PERAI TENGAH.
Keputusan: Mesyuarat telah mengambil keputusan seperti berikut:
i. Mesyuarat meluluskan cadangan menggunakan sumber hasil wakaf bagi tujuan melaksanakan projek pembangunan 14 unit rumah kediaman di atas Tanah Wakaf Lot 192 MK.1, Seberang Perai Tengah.
ii. Kelulusan ini dibuat kerana ianya memberi keuntungan kepada sumber hasil wakaf.
( November 2006 )
| Tarikh : |
23/10/2007 |
| Oleh : |
P&P |
|