font bigger  font smaller  blue theme  contras theme 
| Other Language
  • slide1
  • slide3
  • slide8
jtemplate.ru - free Joomla templates

  Definition

Announcements

AWQAF HOTELS INFORMATION THAT HAS BEEN COMPLETED

Click Here To Get Information


PLEASE LIKE AND FOLLOW US ON FACEBOOK  AND TWITTER

Visitor Statistics

TodayToday277
YesterdayYesterday454
All DaysAll Days214959

Stay Connected

fb   twttr   rss   youtube

HAJI: PENGUKUH KEIMANANAN, PENINGKAT KETAQWAAN

Menjadi kewajipan setiap Muslim untuk memahami dan menghayati setiap amalan yang disyariatkan Allah S.W.T. Begitu jugalah halnya dengan ibadah haji. Sesungguhnya, salah satu di antara Rukun Islam yang menjadi pedoman setiap Muslim menghendaki mereka menunaikan ibadah haji di Tanah Suci Mekah sekurang-kurangnya sekali dalam hayat mereka untuk membuktikan ketaqwaan terhadap Yang Maha Esa.

 

Tuntutan terhadap pelaksanaan ibadah haji dinyatakan dengan jelas di dalam Al-Quran melalui Surah Al-Baqarah, Ayat 196. Allah berfirman yang bermaksud :

 

“.. dan sempurnakanlah ibadat haji dan umrah kerana Allah.”

 

Dari sudut bahasa Arab, perkataan ‘haji’ membawa maksud ‘datang’ (قََدِمَ) atau ‘menuju ke suatu tempat’ (قَصَدَ). Manakala dari sudut istilah pula, ia bermaksud menuju ke tempat-tempat yang khusus (iaitu Baitullah Al-Haram dan padang Arafah) pada waktu yang dikhususkan (iaitu bulan-bulan manasik haji) untuk melaksanakan amalan-amalan khusus seperti wukuf di padang Arafah, tawaf, Sai’e dengan pematuhan terhadap syarat-syarat yang tertentu.

 

Selain merupakan refleksi diri manusia terhadap tanggungjawab sebagai Khalifah Allah di muka bumi, setiap amalan yang disyariatkan dalam ibadah haji mempunyai simbolik tersendiri dan merupakan platform bagi para jemaah untuk meningkatkan keimanan kepada Allah S.W.T. Seharusnya para jemaah memahami dan menghayati setiap satunya dan mengambil iktibar di sebalik pengajaran yang diperolehi melalui pelaksanaan amalan-amalan ini. Oleh yang demikian, persediaan dari aspek jasmani dan rohani sebelum berangkat ke Tanah Suci Mekah untuk menunaikan haji perlu dititikberatkan oleh setiap jemaah supaya dapat menunaikan ibadah ini dengan sempurna.

 

Ihram yang dipakai oleh jemaah haji sewaktu melaksanakan ibadah ini melambangkan kesamaan taraf semua jemaah di sisi Allah S.W.T. Tidak kira dari mana asal mereka dan apa jua pekerjaan yang dilakukan, kesemuanya tidak terkecuali dari memakai ihram. Ini dijelaskan dalam Al-Quran di mana semua umat manusia adalah sama di sisi Allah S.W.T. Hanya mereka yang taat menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan sebagai Khalifah di muka bumi ini akan mendapat rahmat dari-Nya. Oleh yang demikian, seharusnya tidak wujud perbezaan di antara orang yang miskin dengan yang kaya, golongan bangsawan mahupun golongan marhaen, kerabat Diraja mahupun biasa dan sebagainya. Semuanya akan diadili dengan sama oleh Allah S.W.T. kelak.

 

Ibadah melontar di Jamrah pula melambangkan kebencian umat manusia terhadap musuh utamanya iaitu Syaitan dan Iblis. Simbolik ibadah ini iaitu dengan melontarkan batu-batu kecil ke arah Jamrah yang diibaratkan seperti para Iblis dan Syaitan dengan jelas menunjukkan kebencian manusia terhadap semua kemungkaran yang berlaku di dunia akibat godaan Syaitan dan Iblis.

 

Tidak dinafikan, manusia cenderung untuk memilih jalan mudah sebagai penyelesaian terhadap masalah yang dihadapi tanpa mengambilkira pandangan agama terhadapnya. Tidak kurang juga yang selalu mengambil mudah mengenai perkara-perkara berkaitan agama Islam dalam kehidupan seharian. Realitinya, kita lebih mementingkan kesenangan kehidupan duniawi semata-mata, seringkali tewas dengan godaan duniawi dan mengabaikan perintah Allah S.W.T. dalam mengejar kesenangan hidup di dunia. Justeru, melalui pelaksanaan ibadah melontar Jamrah ini, Islam mendidik kita supaya membenci musuh utama manusia (Syaitan dan Iblis) dan sentiasa mengambil berat mengenai perkara-perkara yang dilarang dalam agama Islam. Justeru, kita hendaklah mencegah sebarang bentuk penyelewengan dan mengelakkan salah laku yang boleh menjejaskan keimanan kepada Allah S.W.T.

 

Sesungguhnya, musim haji adalah waktu yang istimewa kepada umat Islam. Pada waktu inilah, umat Islam dari seluruh pelusuk dunia akan berhimpun di Tanah Suci Mekah dengan azam dan matlamat yang sama iaitu menunaikan kewajipan dan mencapai keredhaan Allah S.W.T. dengan mengerjakan ibadah haji sebaik yang mungkin. Mereka tetap bersatu walaupun hakikatnya mempunyai latar belakang dan budaya yang berbeza di antara satu dengan yang lain. Kesemuanya adalah sama, melaungkan tarbiyah “LabbaikaAllah”, mengakui kewujudan Tuhan Yang Maha Esa, Yang Mencipta dan Mentadbir seluruh muka bumi ini.

 

Pada musim haji, umat Islam turut berpeluang berkunjung ke tempat-tempat bersejarah di Kota Mekah dan sekitarnya. Ia bukanlah perjalanan ziarah biasa, namun ianya bertujuan menggambarkan kesusahan dan cabaran yang dihadapi oleh Junjungan Besar Rasulullah S.A.W. dalam usaha Baginda menyebarkan ajaran agama Islam suatu ketika dahulu. Penghayatan terhadap kisah-kisah perjuangan Baginda Rasulullah S.A.W. dalam meningkatkan syiar agama Islam akan meningkatkan rasa kasih kepada Baginda walaupun hakikatnya tidak pernah bertemu. Sebagai umat Muhammad S.A.W., sunnah Baginda hendaklah dijadikan panduan dalam menjalankan urusan kehidupan seharian.

 

Sesungguhnya, ibadah haji mendidik kita menjadi insan yang lebih baik untuk mencapai kesempurnaan. Seorang Muslim yang baik bukan sahaja mematuhi segala perintah Allah S.W.T., tetapi pada masa yang sama ia akan membawa kebaikan kepada persekitarannya. Pastinya ia akan menjadi seorang insan yang berkualiti dan menjalankan tanggungjawab sebagai seorang anak, ibu, bapa, majikan, pekerja dan sebagainya dengan baik.

 

Akhirnya, matlamat pelaksanaan ibadah haji ialah untuk mengubah seseorang menjadi insan yang lebih baik. Seseorang yang menunaikan semua amalan yang disyariatkan dalam ibadah haji dengan sempurna akan beroleh keampunan Allah S.W.T. walau sebanyak mana kekhilafan yang dilakukan pada masa lampau. Golongan inilah yang dianugerah haji mabrur iaitu tingkat haji yang paling tinggi di mana balasannya ialah syurga.

Oleh : Ahmad Azhan bin Mohd Noh

Pengarah Haji JAWHAR

1malaysia  mygov   msc  ywm  jpm  jakim  jpa   mampu   mysms   ep  hrmis

Tag Search

Contact Us

Level 7, Block E2, Complex E,
Federal Government Administrative Centre,
62502 Putrajaya, Malaysia.
Phone : 603 8883 7400
Fax : 603 8883 7406
Email : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.

Hakcipta Terpelihara © 2014 JAWHAR | Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji