font bigger  font smaller  blue theme  contras theme 
| Other Language
  • slide3
  • slide8
jtemplate.ru - free Joomla templates

  Definisi

Menzahirkan agenda transformasi fungsi baitulmal

Kegemilangan ekonomi ummah zaman Khalifah Umar Abdul Aziz boleh direalisasikan di Malaysia

PENGURUSAN ekonomi ummah secara umumnya berkait rapat dengan institusi baitulmal sebagai institusi kewangan Islam terunggul yang wujud sejak sekian lama. Nabi Yusuf telah diamanahkan oleh Raja Mesir pada masa itu untuk menjaga Perbendaharaan Negara ketika bumi Mesir bakal menghadapi musim kemarau.

Pada zaman Nabi Muhamad SAW, baitulmal menjadi tempat khusus untuk menyimpan harta atau khazanah umat Islam ketika itu. Baitulmal menyimpan harta umat Islam secara sementara (transit) sebelum diagih-agih dan dihabiskan pada masa sama kepada mereka yang berhak.

 Istilah Baitulmal telah digunakan secara rasmi pada zaman Khalifah ‘Umar bin al-Khattab yang awalnya dikenali sebagai ‘Diwan’ dan kemudian dijenamakan semula sebagai ‘Baitul-Mal lil-Muslimin’ (rumah harta bagi orang Islam), seperti Perbendaharaan Negara dalam konteks amalan masa kini.

Institusi baitulmal mengalami beberapa peringkat transformasi sejak dulu hingga sekarang selari peredaran zaman di mana sejarah mencatatkan kecemerlangan institusi Baitulmal di zaman pemerintahan Khalifah ‘Umar bin al-Khattab seterusnya zaman kegemilangan pemerintahan Khalifah ‘Umar bin Abdul Aziz (Kerajaan Bani Umayyah).

Zaman pemerintahan ‘Umar bin al-Khattab menyaksikan pengembangan empayar Islam secara meluas hasil usaha dakwah dilaksanakan yang turut menyebabkan sumber pendapatan disalurkan ke baitulmal meningkat secara mendadak.

Harta baitulmal pada ketika itu tidak dapat diagihkan dengan segera lantas perlu disimpan terlebih dulu di satu tempat untuk tempoh tertentu.


Disebabkan itu, Khalifah ‘Umar al-Khattab mentransformasikan sistem tadbir urus baitulmal dapat diuruskan dengan lebih berkesan dari segi pengagihan supaya sampai kepada golongan sasar serta dilaksanakan dengan adil dan pantas.

Antaranya, melantik pegawai yang amanah bagi mentadbir cawangan baitulmal di peringkat wilayah dan berpusat di Madinah bagi melicinkan pentadbiran.

Transformasi institusi baitulmal sekali lagi berlaku pada zaman pemerintahan Khalifah ‘Umar bin Abdul Aziz yang sangat terkenal dalam catatan sejarah tamadun ummah. Ketika itu, dana zakat sukar untuk disalurkan kepada yang berhak kerana kesukaran mencari asnaf yang layak menerimanya.

Kecemerlangan dasar pengurusan ekonomi negara secara berhemah oleh Khalifah ‘Umar membolehkan rakyat mempunyai keperluan mencukupi serta mempunyai taraf hidup yang tinggi.

Keadaan itu membuktikan dana baitulmal daripada sumber zakat boleh dikembang sehingga menjadi lebih produktif, mampu meningkatkan taraf hidup masyarakat dan bukan untuk menampung keperluan penerima dalam tempoh tertentu saja.

Baitulmal ditadbir Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) selaras Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan urusan agama di bawah bidang kuasa negeri termasuk pengurusan harta dan kewangan baitulmal.

Kegemilangan ekonomi ummah seperti zaman Khalifah Umar bin Abdul Aziz tidak mustahil direalisasikan di Malaysia jika dana baitulmal digunakan secara bijaksana untuk meningkatkan taraf hidup golongan fakir miskin sehingga mampu berdikari dan berubah menjadi penyumbang pula.

Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) telah merintis jalan membantu penerima bantuan memulakan perniagaan serta membabitkan diri dalam bidang pertanian bagi membolehkan mereka keluar dari kepompong kemiskinan.

Agenda transformasi melalui pembangunan tanah wakaf turut dilaksanakan menjadi pusat komersial yang menjana pendapatan tinggi seterusnya menghasilkan modal pusingan seperti pembinaan hotel wakaf, pusat haemodialisis, bangunan perniagaan dan ruang pejabat.

JAWHAR melalui Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) telah melaksanakan Projek Kecil Berimpak Besar seperti pembinaan Wakaf Mart di Masjid Kariah Panchor Jaya, Ampangan dan di Masjid Pekan Gemas, Negeri Sembilan serta pembinaan Bazar-bazar Rakyat di Masjid Jejawi, Perlis, di Masjid Bertam, Pulau Pinang, di Masjid Pulau Besar, Melaka, di Masjid Kulai Jaya, Johor dan juga di lain-lain negeri.

Bagi tujuan mempromosikan produk dan perkhidmatan baitulmal serta menzahirkan transformasi yang telah dilakukan, JAWHAR akan menganjurkan Program Promosi Baitulmal 2011 pada 30 September hingga 2 Oktober 2011 serentak penganjuran Karnival Transformasi Sistem Pengurusan Islam di Malaysia 2011 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur.

Program Promosi Baitulmal 2011 bertemakan ‘Bersama Menyumbang dan Berbakti’ disasarkan akan mengumpul dan menyatukan semua agensi berkaitan pengurusan baitulmal iaitu JAWHAR, MAIN, Agensi Mengurus Zakat (AMZ), YWM, World Zakat Organization (WZO) dan sebagainya bagi mempromosikan segala produk dan perkhidmatan yang disediakan untuk masyarakat.

Program ini bertujuan meningkatkan kesedaran dan kadar celik kewangan Islam dalam kalangan masyarakat Islam melalui instrumen seperti wakaf, sedekah jariah, zakat, hibah, wasiat dan nazar sebagai pengurusan kewangan serta pelaburan ibadat untuk akhirat.

Oleh : Anan C Mohd

Berita Harian - 30 September 2011

1malaysia  mygov   msc  ywm  jpm  jakim  jpa   mampu   mysms   ep  hrmis

Carian Tag

Hubungi Kami

Aras 7, Blok E2, Kompleks E,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62502 Putrajaya, Malaysia
Tel : 603 8883 7400
Faks : 603 8883 7406
Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.

Hakcipta Terpelihara © 2014 JAWHAR | Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji