Public Government JAWHAR Staff

Wasiat

Definisi

Wasiat ataupun al-isa’ (pesanan) dari segi bahasa bermakna seseorang berjanji kepada seseorang yang lain supaya melaksanakan sesuatu perbuatan atau urusan semasa hidup atau selepas kematiannya, atau bermaksud memberikan harta kepada seseorang yang lain.

Dari segi istilah syarak, wasiat bermaksud memberi milik harta (kepada seseorang) selepas kematian secara sukarela (tabarru`), sama ada yang diberikan itu `ain harta atau manfaat.

Dalil Wasiat

Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Kamu diwajibkan, apabila seorang dari kamu hampir mati, jika ia ada meninggalkan harta (hendaklah ia) membuat wasiat untuk ibu-bapa dan kaum kerabat dengan cara yang baik (menurut peraturan ugama), sebagai satu kewajipan atas orang-orang yang bertakwa.” – (Surah Al-Baqarah: ayat 180)

Hadis Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:

“Dari Abdullah bin Abbas, dia berkata: Sekiranya saja orang-orang menurunkan wasiat dari sepertiga menjadi seperempat, maka Rasulullah bersabda: Sepertiga, dan sepertiga itu adalah banyak.” – (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Hukum Wasiat

Pada peringkat awal Islam, telah sepakat di kalangan fuqaha’ bahawa wasiat kepada ibu bapa adalah wajib bagi mereka yang mempunyai harta berdasarkan surah al-Baqarah (ayat 180). Walau bagaimanapun setelah turun ayat al-Mawarith (ayat 11, 12 dan 176, surah al-Nisa’) hukum berwasiat adalah berbeza mengikut tafsiran fuqaha’. Pendapat fuqaha’ boleh dikategorikan kepada tiga, iaitu:

Jumhur fuqaha’ (Hanafi, Maliki, Syafi`i dan Hanbali) berpendapat bahawa hukum berwasiat adalah sunat, kerana ayat 180 surah al-Baqarah telah dinasakhkan oleh ayat al-Mawarith dan hadis Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:

“Sesungguhnya Allah SWT telah memberi setiap orang yang mempunyai hak akan haknya, oleh itu tidak harus berwasiat kepada ahli waris.” – (Hadis riwayat Ibnu Majah)

Pendapat golongan tabi`in (termasuk Ibn Hazm), mereka berpendapat bahawa hukum wasiat adalah wajib bagi mereka yang mempunyai harta. Alasan golongan ini ialah ayat di atas telah dinasakhkan oleh ayat al-Mawarith tentang hukum wajib berwasiat kepada ibu bapa dan kaum kerabat yang menjadi ahli waris, tetapi hukum wajib berwasiat kepada mereka yang bukan ahli waris masih berkekalan.Pendapat Daud al-Zahiri menyatakan bahawa wasiat adalah wajib untuk dua ibu bapa dan kaum kerabat yang tidak menerima harta pusaka (bukan waris).

Menurut jumhur fuqaha’, hukum wasiat boleh berubah mengikut keadaan, umpamanya wajib, sunat, harus, makruh dan haram.

Rukun Wasiat

Rukun wasiat terbahagi kepada 4 iaitu:

  1. Pewasiat
  2. Penerima wasiat
  3. Harta yang diwasiatkan
  4. Lafaz wasiat (sighah)

Syarat-Syarat Wasiat

Syarat pewasiat:

  • Pemilik harta, iaitu yang memiliki harta.
  • Berakal, bukan orang gila atau mabuk.
  • Baligh, bukan dari kalangan kanak-kanak walaupun mumaiyiz.
  • Pilihan sendiri, buat secara redha/sukarela tanpa dipaksa oleh sesiapa.
  • Merdeka, bukan dari golongan hamba.

Syarat penerima wasiat:

  • Penerima wasiat hendaklah diketahui (kecuali untuk perkara kebajikan).
  • Penerima wasiat wujud masa kematian pewasiat dan ketika wasiat dibuat.
  • Penerima wasiat berkeahlian memiliki harta.
  • Penerima wasiat bukan ahli waris mengikut pendapat jumhur fuqaha’ (mazhab Hanafi, Maliki, Syafi`i, dan Hanbali).

Syarat harta yang diwasiatkan:

  • Hendaklah harta tersebut halal dimanfaatkan.
  • Hendaklah harta tersebut boleh dipindah milik.
  • Hendaklah harta tersebut boleh dimiliki dan milik pewasiat.

Berdasarkan syarat-syarat tersebut, wasiat boleh dilaksanakan kepada perkara-perkara berikut:

  • Mewasiatkan harta yang tidak pasti adalah sah. Contohnya, mewasiatkan anak kambing yang masih lagi di dalam rahim ibunya.
  • Mewasiatkan sesuatu yang tidak wujud ketika wasiat adalah sah. Contohnya, mewasiatkan buah-buahan yang akan keluar.
  • Memberikan wasiat yang tidak jelas adalah sah. Contohnya; mewasiatkan pakaian. Pewaris akan menentukan pakaian yang mana yang akan diberikan.
  • Mewasiatkan penggunaan harta semata-mata sama ada penggunaan tersebut bersifat sementara atau kekal adalah sah. Contohnya, pewasiat mewasiatkan kepada seseorang untuk mengawasi rumahnya dan kemudian mewasiatkan orang tersebut untuk mendiaminya pula.
  • Sah mewasiatkan harta yang najis yang boleh dimanfaatkan seperti tahi lembu.

Syarat lafaz wasiat (sighah):

  • Hendaklah wasiat dilafazkan secara jelas atau kabur.
  • Lafaz yang jelas, contohnya: “Saya mewasiatkan untuknya satu ribu.”
  • Lafaz yang kabur, contohnya: “Buku saya ini untuk Ali.” (Lafaz yang kabur perlu disertakan dengan niat oleh individu yang memberi wasiat).
  • Hendaklah wasiat diterima oleh penerima wasiat.
  • Hendaklah persetujuan tersebut diambil kira selepas kematian pewasiat tanpa mengira sama ada penerima telah bersetuju atau telah menolak wasiat ini sebelum kematian pewasiat.

Kadar Harta Yang Boleh Diwasiatkan

Berhubung dengan kadar harta yang boleh diwasiatkan, ia terbahagi kepada dua keadaan iaitu:

1. Jika pewasiat mempunyai ahli waris, maka menurut jumhur fuqaha’ (selain Zahiri dan Maliki), wasiat yang melebihi satu pertiga itu tidak berkuat kuasa, kecuali dengan persetujuan ahli-ahli waris. Jika ahli-ahli waris bersetuju, wasiat itu sah dan berkuat kuasa, sebaliknya jika mereka tidak bersetuju maka kadar yang melebihi satu pertiga itu batal. Sebaliknya menurut mazhab Maliki dan Zahiri, wasiat yang melebihi satu pertiga tidak boleh berkuat kuasa, sekalipun jika dipersetujui oleh ahli-ahli waris.

2. Jika pewasiat tidak mempunyai ahli waris, menurut pendapat mazhab Hanafi, wasiat yang melebihi satu pertiga harta adalah sah. Sebaliknya pendapat jumhur mengatakan bahawa wasiat yang melebihi kadar satu pertiga adalah tidak harus secara mutlak, kerana ia melibatkan hak orang-orang Islam.

Pembatalan Wasiat

Pewasiat boleh menarik balik kesemua wasiatnya atau sebahagiannya atau mengubahnya atau menambah syarat baru kerana harta tersebut masih dalam hak miliknya selagi beliau masih hidup.

Pembatalan wasiat boleh dilakukan dengan:

1. Lafaz yang menunjukkan tujuan tersebut. Contohnya pewasiat berkata: “Saya memansuhkan wasiat itu, atau saya membatalkannya, atau saya menarik balik wasiat saya, atau saya serahkannya kepada waris saya.”

2. Melalui perbuatan yang menunjukkan bahawa wasiat itu dibatalkan. Contohnya, pewasiat menjual harta yang diwasiatkan, atau menjadikannya sedekah, atau menghadiahkannya kepada orang lain, atau menggadaikannya atau menyerahkannya kepada penghutang. Kesemua tindakan ini menunjukkan bahawa pewasiat telah membatalkan atau menarik balik wasiatnya kerana ia menghapuskan hak miliknya pada harta tersebut.

Rujukan

  • Abdullah bin Abdurrahman Ali Bassam. 2003. Syarah Hadits Pilihan. Jakarta: Buku Islam Kaffah.
  • Mohd Ridzuan Awang. 2008. Wasiat Kepada Ahli Waris Menurut Pandangan Fuqaha’ dan Kedudukannya di Negara-Negara Islam. Kertas kerja Bengkel Pemantapan Harta Sumber Am: Wasiat. Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji, Putrajaya. 28-30 April.
  • Mustofa Al-Khin, Mustofa Al-Bugho & Ali Asy-Syarbaji. 2005. Kitab Fikah Mazhab Syafie. Jilid 5. Kuala Lumpur: Pustaka Salam Sdn. Bhd.
  • Tafsir Pimpinan Ar-Rahman

Prayer Time for Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur & As Time With It

Imsak 5.55 Subuh 6.05 Syuruk 07.24 Zohor 13.26 Asar 16.48 Maghrib 19.23 Isyak 20.37
Arab Saudi
Malaysia
SIRIM IQNet SIRIM QAS MPC
Contact JAWHAR
Jabatan Wakaf, Zakat & Haji (JAWHAR)
Aras 8-9, Blok D, Kompleks Islam Putrajaya (KIP),
Jalan Tun Abdul Razak, Presint 3,
62100 Putrajaya, Malaysia
Public Hotline
Telephone: +(6) 03-8883 7400
Fax: +(6) 03-8883 7406
Email: pejabatam[at]jawhar[dot]gov[dot]my
Statistic
Last Updated: 25 January, 2020 @ 12:26 PM
You're Visitor Number: [wHitCounter]
Top