BENGKEL PENYEDIAAN MANUAL PENGURUSAN WANG KHAIRAT (MPWK)
Bengkel Penyediaan Manual Pengurusan Wang Khairat (MPWK) anjuran Bahagian Mal, Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) telah diadakan pada 27 hingga 29 November 2013 bertempat di AnCasa AllSuites Resort & Spa, Port Dickson, Negeri Sembilan. Bengkel ini telah dirasmikan oleh Tuan Hj. Mu‘az bin Hj. Zawawi, Timbalan Ketua Pengarah JAWHAR mewakili YBhg. Datuk Ketua Pengarah JAWHAR.
Tujuan bengkel ini diadakan adalah untuk membincang dan merangka satu garis panduan terbaik serta prosedur yang jelas dan seragam berkaitan pengurusan wang khairat untuk menjadi rujukan kepada pihak Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) di seluruh Malaysia.
Sepanjang tiga hari berlangsungnya bengkel ini, pakar-pakar rujuk yang terdiri daripada Ust. Mohd Zamro bin Muda (Universiti Kebangsaan Malaysia), Ust. Abdullaah bin Jalil (Universiti Sains Islam Malaysia) dan Ust. Indera Shahril bin Mohd Shahid (Majlis Agama Islam Selangor), wakil-wakil MAIN serta para pegawai kanan JAWHAR telah mencurahkan ilmu, maklumat, idea, saranan serta pengalaman yang sangat membantu dalam menjayakan penerbitan MPWK ini.
Draf awal MPWK telah disiapkan pada hari ketiga bengkel diadakan dan akan diberi pemurnian oleh pihak urus setia sebelum dikemukakan semula bagi tujuan semakan dan penambahbaikan oleh semua peserta bengkel. Seterusnya, MPWK akan diterbitkan selepas disemak dan mendapat persetujuan Pengurusan Tertinggi JAWHAR.
Semoga dengan terhasilnya MPWK ini akan dapat menyumbang dalam usaha pemerkasaan dan penyeragaman pengurusan kutipan wang khairat (derma / sedekah) di Malaysia, insya-Allah.