Awam Kerajaan Warga JAWHAR

Riba

Definisi

Menurut bahasa Arab, riba ialah lebihan, pertambahan dan perkembangan pada sesuatu dari harta yang ditentukan atau dikhususkan.

Manakala, menurut istilah pula ia bermaksud kontrak yang dimeterai sebagai pertukaran barangan tertentu tetapi pada ketika kontrak dimeterai pertukaran ini tidak diketahui kesamarataannya menurut ukuran syarak, ataupun penyerahan salah satu atau kedua-dua barangan tersebut dilewatkan.

Dalil Riba

Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Orang-orang yang memakan (mengambil) riba itu tidak dapat berdiri betul melainkan seperti berdirinya orang yang dirasuk syaitan dengan terhuyung-hayang kerana sentuhan (syaitan) itu. Yang demikian ialah disebabkan mereka mengatakan: “Bahawa sesungguhnya berjual beli itu sama sahaja seperti riba.” Padahal Allah telah menghalalkan berjual beli (berniaga) dan mengharamkan riba. Orang itu sesiapa yang telah sampai kepadanya peringatan (larangan) dari Tuhannya lalu ia berhenti (dari mengambil riba), maka apa yang telah diambilnya dahulu (sebelum pengharaman itu) adalah menjadi haknya, dan perkaranya terserahlah kepada Allah. Dan sesiapa yang mengulangi lagi (perbuatan mengambil riba itu) maka mereka itulah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya.” – (Surah Al-Baqarah: ayat 275)

Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu memakan riba dengan berlipat ganda dan bertakwalah kamu kepada Allah supaya kamu mendapat keberuntungan.” – (Surah Ali `Imran: ayat 130)

Dari Abu Sa`id al-Khudri r.a., bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:

“Janganlah kalian menjual emas dengan emas kecuali yang sama beratnya, janganlah kalian melebihkan sebahagian di atas sebahagian yang lain, janganlah kalian menjual perak dengan perak kecuali yang sama beratnya dan janganlah kalian melebihkan sebahagian di atas sebahagian yang lain, dan janganlah kalian menjual yang tidak ada di antara barang-barang itu dengan yang ada.” – (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Hukum Riba

Hukum riba ialah haram berdasarkan firman Allah SWT dan sabda Rasulullah s.a.w. sebagaimana yang telah dinyatakan di atas.

Jenis Riba

1. Riba Al-Fadl (Bayaran Tambahan)

Riba al-Fadl ialah jual beli barangan berunsur riba iaitu barangan ribawi seperti mata wang (emas dan perak) dan bahan makanan asas (beras dan gandum) dan disertakan dengan adanya perbezaan dan pertambahan oleh salah satu pihak.

Contohnya ialah penjual menjual secupak gandum dengan pembeli membayar dua cupak gandum.

2. Riba Al-Nasi’ah (Bayaran Bertangguh)

Riba al-Nasi’ah ialah jual beli barangan berunsur riba dengan barangan berunsur riba yang lain secara bertangguh dan kedua-duanya mempunyai `illah yang sama.

Contohnya ialah penjual menjual secupak gandum dan dibayar dengan secupak gandum atau dua cupak barli dalam tempoh sebulan barulah pembayaran dibuat.

3. Riba Al-Yad

Riba al-Yad ialah jual beli barangan berunsur riba dengan barangan berunsur riba yang lain dan kedua-duanya mempunyai `illah yang sama tanpa disyaratkan tempoh tertentu ketika kontrak tersebut. Walau bagaimanapun, kelewatan menyerahkan salah satu atau kedua-dua barangan benar-benar berlaku di luar majlis kontrak.

Hikmah Pengharaman Riba

Di antara hikmah dalam pengharaman riba adalah seperti berikut:

  • Memelihara harta orang Islam agar tidak dieksploitasi dengan cara batil;
  • Memfokuskan orang Islam supaya mengembangkan harta dengan apa jua bentuk pekerjaan yang mulia yang bersih dari segala bentuk penipuan, jauh dari segala unsur yang boleh menimbulkan kesukaran dan kemarahan di kalangan kaum Muslimin, misalnya terlibat dalam sektor pertanian, pembuatan (industri) dan perniagaan yang sah lagi bersih;
  • Menyekat semua jalan yang boleh menimbulkan atau menyebabkan permusuhan di kalangan sesama Muslim; dan
  • Menjauhkan orang Islam dari sesuatu yang menyebabkan kebinasaan sendiri, kerana pemakan riba adalah seorang yang zalim dan akibat perbuatan zalim adalah kesusahan.

Rujukan

  • Abu Bakar Hamed, Nasri Naiimi & Muhammad Nasri. 2005. Pengurusan Perniagaan Islam. Sintok: Universiti Utara Malaysia.
  • Abdullah bin Abdurrahman Ali Bassam. 2003. Syarah Hadits Pilihan. Jakarta: Buku Islam Kaffah.
  • Mustofa Al-Khin, Mustofa Al-Bugho & Ali Asy-Syarbaji. 2005. Kitab Fikah Mazhab Syafie. Jilid 6. Kuala Lumpur: Pustaka Salam Sdn. Bhd.
  • Tafsir Pimpinan Ar-Rahman.

Waktu Solat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur & Sewaktu Dengannya

Imsak 5.41 Subuh 5.51 Syuruk 07.07 Zohor 13.15 Asar 16.22 Maghrib 19.20 Isyak 20.29
Arab Saudi
Malaysia
SIRIM IQNet SIRIM QAS MPC
Hubungi JAWHAR
Jabatan Wakaf, Zakat & Haji (JAWHAR)
Aras 8-9, Blok D, Kompleks Islam Putrajaya (KIP),
Jalan Tun Abdul Razak, Presint 3,
62100 Putrajaya, Malaysia
Talian Awam
Telefon: +(6) 03-8883 7400
Faks: +(6) 03-8883 7406
Emel: pejabatam[at]jawhar[dot]gov[dot]my
Statistik
Kemaskini Terakhir: 28 September, 2020 @ 2:56 PM
Top