Awam Kerajaan Warga JAWHAR

Nazar

Definisi Nazar

Nazar dari sudut bahasa ialah janji melakukan kebaikan ataupun keburukan. Dari sudut syarak, nazar ialah janji melakukan kebaikan secara khusus. Manakala nazar menurut istilah fuqaha’ pula bererti mewajibkan diri melakukan ibadah yang tidak diwajibkan oleh syarak secara mutlak ataupun ibadah yang bergantung kepada perkara yang lain.

Dalil Nazar

Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Mereka dikurniakan kesenangan itu kerana mereka menyempurnakan nazarnya (apatah lagi yang diwajibkan Tuhan kepadanya), serta mereka takutkan hari (akhirat) yang azabnya seksanya merebak di sana sini.” – (Surah al-Insan: ayat )

Daripada `Aisyah r.a., Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:

“Sesiapa yang bernazar untuk taat kepada Allah maka taatlah akanNya, dan sesiapa yang bernazar untuk berbuat maksiat kepadaNya maka janganlah membuat maksiat kepadaNya.” – (Riwayat Bukhari)

Hukum Nazar

Nazar adalah disyariatkan dan ia termasuk ibadat yang wajib dilaksanakan oleh orang yang bernazar. Sebab itulah para fuqaha’ menyatakan bahawa nazar tidak sah dilakukan oleh orang kafir. Namun adalah lebih afdhal seseorang itu melakukan ibadat yang mahu dilakukannya tanpa mewajibkan perkara itu ke atas dirinya dengan menjadikannya sebagai nazar.

Jenis-Jenis Nazar

Terdapat 3 jenis nazar, iaitu:

1. Nazar Al-Lajjaj (Keras Kepala)

Nazar yang berlaku dalam keadaan pertengkaran dan ia terbit hasil daripada kemarahan. Contohnya, sekiranya aku bercakap dengan si pulan, maka atas nama Allah wajib ke atasku puasa sebulan. Nazar jenis ini ada dua keadaan dari satu sudut ia seperti bersumpah tidak mahu bercakap, dari sudut yang lain pula seperti nazar, maka orang yang bernazar boleh memilih sama ada tebus sumpah atau menunaikan nazarnya.

2. Nazar Al-Mujazah (Ganjaran)

Nazar yang mana seseorang itu mensyaratkan kewajipan sesuatu ibadat dengan tercapainya sesuatu kehendak. Contohnya, jika aku sembuh daripada penyakit ini maka aku akan mewakafkan sebahagian daripada hartaku. Apabila kehendak yang dinazarkan itu tercapai seperti Allah menyembuhkan penyakitnya itu, maka orang yang bernazar wajib melaksanakan apa yang telah diwajibkan untuk dilaksanakan.

3. Nazar Al-Mutlaq

Nazar yang semata-semata hendak mendekatkan diri kepada Allah dan tidak didahului oleh apa-apa masalah. Contohnya, atas nama Allah wajib ke atasku puasa pada hari Khamis. Nazar ini wajib dilaksanakan kerana nazar ini tiada pergantungan syarat dengan perkara lain.

Syarat-Syarat Nazar

1. Orang yang bernazar, disyaratkan tiga perkara:

  1. Islam, tidak sah nazar orang kafir.
  2. Taklif, tidak sah nazar kanak-kanak dan orang gila.
  3. Sukarela, tidak sah nazar orang yang dipaksa.

2. Perkara yang dinazarkan, disyaratkan dua perkara berikut:

  1. Hendaklah sesuatu yang dinazarkan itu berupa ibadat dan mendapat pahala.
  2. Perkara yang dinazarkan bukanlah termasuk perkara yang sememangnya telah diwajibkan secara fardu ain, contohnya solat lima waktu.

Kesan Terhadap Nazar Yang Sahih (Cukup Syaratnya)

Apabila nazar itu sah iaitu cukup syarat yang telah disebutkan, maka orang yang bernazar wajib melaksanakan apa yang telah diwajibkan ke atas dirinya, apabila berlaku perkara yang dikehendakinya itu. Hukum ini adalah bagi nazar yang dikaitkan dengan tercapainya sesuatu kehendak. Bagi nazar mutlak, dia bebas melaksanakannya secara mutlak (bila-bila masa).

Disunatkan menyegerakan perlaksanaan apa yang dinazarkan pada awal waktu dan ketika hadirnya peluang yang mengizinkan. Ini dilakukan sebagai cara untuk segera melepaskan diri daripada kewajipan tersebut. Sekiranya nazar itu terikat dengan masa tertentu maka wajib menunaikannya dalam masa tersebut. Sekiranya melewatkan daripada masa yang ditetapkan tanpa keuzuran maka berdosa dan wajib mengqadanya. Sekiranya dia melewatkannya disebabkan keuzuran, dia tidak berdosa dan wajib mengqadhanya pada bila-bila masa yang memungkinkannya menunaikannya.

Rujukan

  • Mohd. Farid Ravi Abdullah. 2007. Harus bernazar untuk dekatkan diri kepada Allah. Utusan Malaysia Online – Bicara Agama, 18 Mei.
  • Mustofa Al-Khin, Mustofa Al-Bugho & Ali Asy-Syarbaji. 2005. Kitab Fikah Mazhab Syafie. Jilid 3. Kuala Lumpur: Pustaka Salam Sdn. Bhd.
  • Tafsir Pimpinan Ar-Rahman.

Waktu Solat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur & Sewaktu Dengannya

Imsak 5.41 Subuh 5.51 Syuruk 07.07 Zohor 13.15 Asar 16.22 Maghrib 19.20 Isyak 20.29
Arab Saudi
Malaysia
SIRIM IQNet SIRIM QAS MPC
Hubungi JAWHAR
Jabatan Wakaf, Zakat & Haji (JAWHAR)
Aras 8-9, Blok D, Kompleks Islam Putrajaya (KIP),
Jalan Tun Abdul Razak, Presint 3,
62100 Putrajaya, Malaysia
Talian Awam
Telefon: +(6) 03-8883 7400
Faks: +(6) 03-8883 7406
Emel: pejabatam[at]jawhar[dot]gov[dot]my
Statistik
Kemaskini Terakhir: 28 September, 2020 @ 2:56 PM
Top