Awam Kerajaan Warga JAWHAR

Luqatah

Definisi

Dari segi bahasa, luqatah ialah sesuatu yang ditemui di tanah. Menurut syarak pula luqatah ialah harta yang ditemui di suatu kawasan yang tidak dimiliki, tidak dijaga dan penemu tidak mengenali pemiliknya.

Luqatah juga bermaksud harta yang hilang dari tuannya dan dijumpai oleh orang lain. Ia juga ditakrifkan sebagai harta tanpa milik yang dihormati yang dijumpai di sesuatu tempat yang tidak sepatutnya disimpan dan si penemunya tidak mengetahui orang yang berhak ke atas harta tersebut.

Dalil Berkaitan Hukum Luqatah

Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Setelah itu, ia dipungut oleh orang-orang Firaun kesudahannya ia akan menjadi musuh dan menyebabkan dukacita bagi mereka; sesungguhnya Firaun dan Haman serta orang-orangnya adalah golongan yang bersalah.” – (Surah al-Qasas: ayat 8)

Rasulullah s.a.w. bersabda, mafhumnya:

“Kenalilah ikatan atau bungkusannya. Kemudian umumkan selama setahun. Jika anda tidak kenali pemiliknya, gunalah ia dan jadikan nilainya sebagai simpanan anda. Jika pemiliknya datang menuntutnya pada bila-bila masa, hendaklah anda serahkan kepadanya.” – (Riwayat Bukhari)

Zaid bin Khalid al-Juhani meriwayatkan, seorang lelaki bertanya Rasulullah s.a.w. berkenaan dengan harta luqatah lalu Baginda bersabda yang bermaksud:

“Hebahkanlah harta tersebut selama setahun.” – (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Hukum Pemilikan Harta Luqatah

Apabila seorang Muslim menemui barangan luqatah, dia digalakkan mengambilnya jika yakin mampu bersifat amanah dan bimbang barangan tersebut tidak akan ditemui oleh pemiliknya. Ini dilakukan bagi menjaga hak saudara Muslimnya.

Jika dia tidak yakin akan bersifat amanah dan bimbang dia sendiri akan mengambil terus barang tersebut, makruh jika dia mengambilnya.

Jika dia merasakan dirinya tidak akan bersikap amanah dan akan mengambilnya untuk memilikinya dan bukan untuk dikembalikan, haram baginya untuk mengambilnya.Rasulullah s.a.w. pernah menyentuh perkara ini:

“Orang yang mengambil barang yang hilang adalah berdosa selagi dia tidak menghebahkannya.” – (Riwayat Ahmad)

Mengikut pandangan jumhur fuqaha’, harus bagi penemu harta luqatah memiliki harta tersebut selepas tempoh hebahan sama ada beliau seorang yang kaya atau fakir. Jika harta tersebut telah dijual dia boleh memiliki harganya. Sekiranya pemilik asal ditemui beliau hendaklah mengembalikan harta atau harganya kepada pemilik tersebut sewajarnya.

Jenis-Jenis Harta Luqatah

a) Luqatah Bukan Haiwan:

  • Harta yang cepat rosak seperti makanan. Dari segi hukum begini boleh diberi pilih kepada penemunya sama ada untuk memakan atau menggunakannya dan diganti, atau dia menjualnya dan menyimpan harganya.
  • Harta yang cepat rosak tetapi boleh dijaga supaya tidak rosak. Bagi harta jenis ini wajib bagi penemunya mengambil tindakan yang sewajarnya bagi kepentingan pemilik asal iaitu menjual dan menyimpan harganya, melakukan sesuatu yang boleh mengelakkan harta tersebut dari rosak dengan belanja sendiri, atau dia menjual sebahagian harta tersebut bagi tujuan perbelanjaan penjagaan harta yang selebihnya.
  • Harta yang tidak rosak. Bagi harta ini wajib bagi penemu menjaganya selama tempoh hebahan.

b) Luqatah Haiwan:

Harus bagi penemu memelihara haiwan yang ditemuinya dan dikembalikan kepada tuannya apabila dituntut. Beliau boleh meminta dari tuan asalnya jumlah perbelanjaan yang digunakannya. Harus juga bagi beliau menjual dan menyimpan wang hasil jualan.

Kuasa Penjaga Harta Luqatah

Semasa berada di bawah jagaannya, penemu Harta Luqatah berkewajipan untuk menjaganya dengan cara yang sepatutnya. Dia tidak bertanggungjawab sekiranya berlaku apa-apa perkara kepada harta tersebut selama mana tidak ada kecuaian dari pihaknya. Walau bagaimanapun, penemu berkewajipan membuat hebahan terhadap Harta Luqatah tersebut.

Harta Luqatah yang bersifat remeh dan kecil yang kebiasaannya tidak dipedulikan oleh pemiliknya tidak wajib dihebahkan dan boleh dimiliki oleh penemunya.

Tempoh Hebahan

Tempoh hebahan bagi harta yang bernilai ialah selama setahun sebagaimana yang disebut dalam hadis Rasulullah s.a.w. Bagi harta yang tidak begitu bernilai pada pandangan masyarakat, tempoh setahun adalah tidak perlu. Bahkan adalah memadai untuk satu tempoh yang dianggap pada kebiasaannya telah sampai hebahan tersebut kepada pemilik asalnya.

Hebahan hendaklah dilakukan di tempat-tempat awam seperti pasar, di pintu-pintu masjid, akhbar-akhbar dan seumpamanya yang menjadi tempat kunjungan orang ramai.

Rujukan

  1. Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji, Jabatan Perdana Menteri. 2007. Manual Pengurusan Harta Luqatah. Putrajaya: Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji.
  2. Mustofa Al-Khin, Mustofa Al-Bugho & Ali Asy-Syarbaji. 2005. Kitab Fikah Mazhab Syafie. Jilid 7. Kuala Lumpur: Pustaka Salam Sdn. Bhd.
  3. Tafsir Pimpinan Ar-Rahman.

Waktu Solat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur & Sewaktu Dengannya

Imsak 5.34 Subuh 5.44 Syuruk 07.06 Zohor 13.19 Asar 16.45 Maghrib 19.28 Isyak 20.44
Arab Saudi
Malaysia
SIRIM IQNet SIRIM QAS MPC
Hubungi JAWHAR
Jabatan Wakaf, Zakat & Haji (JAWHAR)
Aras 8-9, Blok D, Kompleks Islam Putrajaya (KIP),
Jalan Tun Abdul Razak, Presint 3,
62100 Putrajaya, Malaysia
Talian Awam
Telefon: +(6) 03-8883 7400
Faks: +(6) 03-8883 7406
Emel: pejabatam[at]jawhar[dot]gov[dot]my
Statistik
Kemaskini Terakhir: 14 Julai, 2020 @ 4:23 PM
Top