Awam Kerajaan Warga JAWHAR

Hibah

Definisi

Hibah dari segi bahasa ialah suatu pemberian yang diberikan bukan kerana tanggungjawab tertentu dan pemberian ini memberi manfaat kepada penerima. Menurut istilah syarak, hibah ialah suatu akad yang dapat memindah milik sesuatu tanpa sebarang gantian ketika masih hidup dan dibuat secara sukarela. Menurut kamus dewan, hibah diertikan sebagai pemberian hak (harta) secara sukarela kepada orang lain dengan tujuan baik. Selain hibah, pemberian dalam bahasa Arab juga disebut Tabarru’ dan `Atiyah. Apabila masuk kedalam bahasa Melayu, terdapatlah istilah menghibahkan dan dihibahkan yang membawa maksud diberikan secara percuma. Hibah merupakan pemberian kepada seseorang kerana sesuatu penghargaaan atau kasih sayang kepadanya.

Firman Allah S.W.T:

طِبْنَ لَكُمْ عَن شَئْءٍ مِّنْھُ نَفْسًا فكلوه ھنیٔاً مریٔاً ۝  وَءَاتُواْ ٱلنِّسَآءَ صَدٌقَٰتِھِنَّ نِحْلَةًۚ

ِMaksudnya: “Berikanlah maskawin (mahar) kepada wanita (yang kamu nikahi) sebagai pemberian dengan penuh kerelaan. Kemudian jika mereka menyerahkan kepada kamu sebahagian dari maskawin itu dengan senang hati, maka makanlah (ambillah) pemberian itu (sebagai makanan) yang sedap lagi baik akibatnya.”

(Surah An-Nisa’: 4)

Dalil hadis:

عن خالد بن عدي الجهني قال سمعت رسول الله صلى الله عليه وسلم يقول : من بلغه معروف عن أخيه من غير مسألة ولا أشراف نفس فليقبله ولا يرده فإنما هو رزق ساقه الله عز وجل إليه

Maksudnya: Daripada Khalid bin `Adi al-Jahni telah berkata: Saya mendengar Rasulullah S.A.W bersabda: “Barangsiapa diberikan kebaikan oleh saudaranya bukan kerana ia minta dan dengan tidak berlebih-lebihan, maka terimalah dan janganlah ditolak kerana sesungguhnya kebaikan tersebut merupakan rezeki yang Allah berikan kepadanya ”.

(Riwayat Ahmad)

Hukum Hibah

Sunat dan amat digalakkan.

Rukun Hibah

  • Pemberi
  • Penerima
  • Barang yang diberi
  • Sighah (ijab dan qabul)

Syarat Hibah

Syarat-syarat pemberi:

  • Dewasa (baligh), berakal sihat dan cekap
  • Pemberi adalah pemilik sah benda yang dihibahkan
  • Pemberi bukanlah sedang berada dalam pengawasan orang lain kerana sesuatu sebab
  • Tidak ditekan mana-mana pihak

Syarat penerima:

  • Tidak meminta
  • Wujud

Syarat-syarat mauhub (barang yang dihibahkan):

  • Ada bendanya secara jelas
  • Barang yang dihibahkan adalah suci dan mempunyai manfaat
  • Benda yang dihibahkan benar-benar ada di tangan atau pada kekuasaan wahib
  • Barang yang dihibahkan tidak melekat dengan milik wahib sendiri; umpamanya menghibahkan pokok atau rumahnya tidak dengan tanah. Dengan kata lain, barang yang dihibahkan mestilah terpisah secara murni dengan benda-benda yang tidak dihibahkan.

Syarat Sighah:

  • Berkesinambungan
  • Tidak bersyarat
  • Tidak bertempoh

Hikmah Hibah

  • Membina masyarakat penyayang dan cinta-mencintai
  • Menghilangkan perasaan dendam dan sakit hati di antara sesama manusia
  • Mewujudkan sifat tolong-menolong antara umat Islam

Hukum Penarikan Hibah

Menarik balik hibah hukumnya haram, kecuali hibah yang diberikan oleh seseorang ayah kepada anaknya.

Dalil Hadis:

عن ابن عباس : عن النبي أنه قال العائد في هبته كالعائد في قيئه

Maksudnya: Daripada Ibnu Abbas Nabi S.A.W bersabda: “Orang yang mengambil semula pemberiannya umpama orang yang menelan semula muntahnya”.

Waktu Solat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur & Sewaktu Dengannya

Imsak 5.41 Subuh 5.51 Syuruk 07.07 Zohor 13.15 Asar 16.22 Maghrib 19.20 Isyak 20.29
Arab Saudi
Malaysia
SIRIM IQNet SIRIM QAS MPC
Hubungi JAWHAR
Jabatan Wakaf, Zakat & Haji (JAWHAR)
Aras 8-9, Blok D, Kompleks Islam Putrajaya (KIP),
Jalan Tun Abdul Razak, Presint 3,
62100 Putrajaya, Malaysia
Talian Awam
Telefon: +(6) 03-8883 7400
Faks: +(6) 03-8883 7406
Emel: pejabatam[at]jawhar[dot]gov[dot]my
Statistik
Kemaskini Terakhir: 28 September, 2020 @ 2:56 PM
Top