Fidyah
Definisi
Fidyah ialah memberi makan kepada orang-orang fakir dengan satu cupak makanan asasi untuk setiap satu hari yang ditinggalkan. Fidyah juga merupakan denda yang dikenakan ke atas seseorang sebab-sebab tertentu ataupun sengaja melewatkan puasa ganti (qada’) bulan Ramadhan.
Ini berdasarkan kepada firman Allah s.w.t yang bermaksud :
“Dan wajib ke atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa,(kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah dengan memberi makan orang-orang miskin”. (al-Baqarah : ayat 184)
Rasulullah s.a.w bersabda mafhumnya :
“Barangsiapa yang mati sedangkan dia masih mempunyai puasa Ramadhan yang belum digantikan , hendaklah diberi makan seorang miskin bagi setiap hari yang ditinggalkan bagi pihaknya”. (Riwayat at-Tirmizi)
Sebab-Sebab Dikenakan Fidyah
1. Orang Yang Terlalu Tua Dan Pesakit Yang Tiada Harapan Untuk Sembuh
Terdiri daripada golongan tua yang tidak mampu berpuasa, atau golongan yang menghidapi sakit kuat dan tidak mempunyai harapan untuk sembuh. Golongan ini tidak perlu menggantikan puasa, tetapi perlu membayar fidyah satu cupak makanan asasi bagi setiap hari yang ditinggalkan.
2. Perempuan Hamil
Dengan syarat bimbang akan keselamatan bayi yang dikandungnya Golongan ini diwajibkan membayar fidyah dan juga mengqantikan puasa yang ditinggalkan.
3. Ibu Yang Menyusukan Anak
Dengan syarat ibu yang menyusukan anak merasa bimbang akan memudaratkan bayi yang disusuinya seperti kurang air susu atau menjejaskan kesihatan bayinya itu. Golongan ini dikenakan membayar fidyah dan juga menggantikan puasa yang ditinggalkan.
4. Orang Yang Telah Meninggal Dunia
Hutang puasa bagi orang yang telah meninggal dunia hendaklah disempurnakan dengan bayaran fidyahnya oleh waris-warisnya mengikut bilangan hari yang ditinggalkan.
5. Melambatkan Menggantikan Puasa
Mereka yang melambatkan mengantikan puasanya hingga telah melangkah ke tahun yang berikutnya, dikenakan denda membayar fidyah juga wajib menggantikan puasa yang ditinggalkan. Bayaran fidyah akan berganda mengikut jumlah tahun-tahun yang ditinggalkan.
Kadar Bayaran Fidyah
Kadar bayaran fidyah bagi satu hari puasa yang ditinggalkan ialah satu cupak beras.
Mereka yang ingin membayar fidyah boleh melakukannya dengan memberi sedekah kepada fakir miskin ataupun menghubungi pihak berkuasa negeri untuk maklumat lanjut seperti pengiraan kadar bayaran dan sebagainya.