Bengkel Sistem Pengurusan Kualiti MS 1900:2005
Bahagian Penyelidikan dan Penyelarasan (P&P) JAWHAR telah mengadakan Bengkel Sistem Pengurusan Kualiti MS 1900:2005 di Hotel Pantai Puteri, Tanjung Kling, Melaka. Bengkel ini telah diadakan pada 4 Oktober sehingga 6 Oktober 2013 dan seramai 30 kakitangan JAWHAR telah terlibat sebagai peserta. Antara objektif pelaksanaan bengkel tersebut adalah sebagai inisiatif kepada peserta untuk menimba ilmu dan meningkatkan pemahaman terhadap sistem pengurusan kualiti di JAWHAR serta merupakan persiapan Jabatan dalam mengadakan Audit Dalaman ISO dan memberi latihan kepada ahli Jawatankuasa Syariah.
Cik Hjh. Hanida bt Ghazali sebagai Konsultan telah memberikan kerjasama baik dalam mengendalikan bengkel tersebut. Antara modul yang dibentangkan dalam bengkel ini adalah pengenalan sistem pengurusan kualiti MS 1900:2005 dan ISO 9001:2008, pengenalan audit proses, penerangan mengenai keperluan audit dalaman dan prosedur audit dalaman JAWHAR, pembentangan senarai semak, pelaksanaan audit dalaman, pelaporan audit dalaman (ketidakpatuhan dan pemerhatian) serta penerangan mengenai peranan Jawatankuasa Syariah.
Perasmian Penutup Bengkel telah dilaksanakan oleh YBhg. Datuk Ketua Pengarah JAWHAR pada 6 Oktober 2013, jam 12.00 tengah hari. Semoga segala ilmu yang diperolehi dalam bengkel yang dijalankan dapat dimanfaatkan sebaiknya dalam persediaan mengadakan Audit Dalaman MS 1900:2005.
Disediakan oleh : Bahagian Penyelidikan dan Penyelarasan, JAWHAR